Nota Editor: Dengan izin penulis asal, Lucius Maximus, kami paparkan semula di Vocket buat bacaan semua. Ini adalah pendapat peribadi Lucius Maximus, bukan The Vocket. Maka, artikel ini tidak berkaitan dengan The Vocket dan tidak mewakili pendapat The Vocket. Penulisan ini juga tidak disunting untuk mengelakkan sebarang percanggahan maklumat kecuali dinyatakan jika berbuat demikian. Harap maklum.

Imej: Lucius Maximus/Facebook
Imej: Lucius Maximus/Facebook

Minggu lepas masa perjalanan pulang dari kerja isteri aku Fazliyana Mohd Ali buka cerita tentang dia dan rakan sekerjanya berkongsi meja dengan ekspatriat Sweden ketika makan tengah hari.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Biasalah, bila dah berkongsi meja masa makan mesti kau akan bersembang sikit. Dan topik yang menjadi pilihan bila kita berborak dengan orang Sweden selain dari Ikea pastilah tentang waktu kerja mereka yang dikhabarkan hanya sebanyak 6 jam sehari.

Kata isteri aku, mamat Sweden itu tak rasa hebat mana pun negara dia amalkan kerja 6 jam sehari. Tapi dia rasa pelik kenapa rakyat Malaysia tahu dan suka sangat tentang hal kerja 6 jam sehari. Bagi dia, tak kisahlah kerja berapa jam sehari tapi yang paling penting ialah kadar produktiviti dan siap atau tidak kerja itu.

“Orang Malaysia kerja lebih dari 8 jam sehari, ada yang over time sampai malam tapi produktiviti entah ke mana, kerja tak siap juga,” katanya.

Bila disebut bahawa Malaysia juga hendak jadi seperti Sweden, negara maju dan kerja 6 jam sehari tetapi tidak dapat kerana kerajaan tidak sanggup mengubah polisi, mamat Sweden itu jawab kembali,

“The government don’t have to change, but you must change first.”

Bila habis isteri aku bercerita, aku pun terfikir ada betulnya juga cakap mamat Sweden itu.

Kita rakyat Malaysia rata-rata sibuk berangan nak jadi macam Sweden. Rumah penuh perabut minimalis Ikea, pakai kereta Volvo yang paling selamat, sarung baju H&M paling hip dan paling kita suka kalau boleh kerja 6 jam sehari.

Tapi Sweden itu berada pada tahap negara maju dan boleh kerja 6 jam sehari kerana perubahan yang bermula dari rakyat ke atas. Produktiviti 6 jam mereka mungkin lebih dari 60 jam kita bekerja. Macam kata mamat Sweden tu, orang Malaysia kerja sampai malam tapi tak siap juga kerjanya. Sebenarnya pilihan memang ada pada kita, untuk buat kerja atau buat-buat ada kerja selama 8 jam sehari yang diperuntukkan.

Dan yang paling menusuk kalbu, ialah ayat dia bahawa kerajaan tak perlu berubah tapi kita (rakyat) yang perlu berubah dulu. Masalah kita di Malaysia ialah bila kita bising kerajaan korup, kita sendiri tidak sedar dalam kehidupan seharian pun kita korup juga.

Di Sweden sana kerana langsung tidak ada tolak ansur dalam korupsi di kalangan rakyat yang menjadikan kerajaan mereka bebas rasuah. Dan idea bagaimana bermulanya kerja 6 jam sehari juga datang dari rakyat Sweden sendiri yang produktif hingga menjadikan kerja 8 jam sehari tidak relevan untuk diamalkan lagi.

Senang cakap, kalau kita berubah dulu, kerajaan juga akan berubah. Mungkin dengan kerajaan insaf dan sedar sendiri, atau mungkin melalui peti undi.

Kesimpulannya, jauh lagi sebenarnya kita hendak menjadi seperti Sweden.

Imej: Kriuk Dan Krouk
Imej: Kriuk Dan Krouk
Imej: Kriuk Dan Krouk
Imej: Kriuk Dan Krouk

Janganlah bercakap tentang seronoknya kerja 6 jam sehari kalau pergi makan di Ikea atau restorang layan diri kita masih tak reti untuk kemas meja dan pulangkan tray, atau bila membelok dan bertukar lorong kita masih tak reti nak bagi isyarat, atau masih lagi belum mengamalkan kitar semula dan pengasingan sisa buangan secara teliti. Benda asas ini kita kena ubah dulu sebelum boleh bersembang nak kerja 6 jam sehari macam Sweden.

Ini tidak, bila kerajaan cadang buat dua kerja untuk tampung kos sara hidup kita mengamuk bercakap pasal Sweden negara maju kerja 6 jam sehari.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Sumber