Hidup lelaki ini hancur berkecai selepas mendapati bahawa dia mempunyai pertalian genetik dengan isterinya yang juga ibu kepada kedua-dua anaknya yang masih kecil. Perkara ini baru diketahui olehnya selepas dia menjalani ujian untuk menderma buah pinggang.

Menurut laporan Mirror, pasangan tersebut sebenarnya adik beradik yang terpisah. Di mana si suami telah diambil menjadi anak angkat setelah dia dilahirkan dan sehingga kini tidak tahu siapakah ibu bapa kandungnya. Bagaimanapun, sebahagian daripada sejarah keluarganya terbongkar selepas lelaki terbabit menjalani ujian untuk melihat sama ada dia boleh menderma buah pinggang kepada isterinya selepas enam tahun berkahwin.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Isteri saya jatuh sakit sejurus selepas anak kami dilahirkan dan kini memerlukan pemindahan buah pinggang. Kami memeriksa dengan saudara-maranya dan tidak ada yang sepadan,” kata lelaki England itu, seperti dipetik oleh Mirror. “Saya memutuskan untuk menjalani ujian untuk melihat sama ada saya boleh menderma. Saya mendapat panggilan pada hari lain mengatakan buah pinggang saya adalah yang terbaik.”

“Doktor kemudian mengatakan sesuatu tentang ujian tambahan kerana menemui beberapa maklumat daripada keputusan ujian tisu HLA (antigen leukosit manusia). Saya tidak terlalu memikirkannya dan bersetuju,” tambahnya. Tetapi apabila keputusan keluar, lelaki itu mendapati bahawa dia dan isterinya mempunyai peratusan keserasian yang sangat tinggi. “Saya terkejut dan keliru,” katanya.

“Doktor menerangkan bagaimana maklumat DNA disampaikan dari generasi ke generasi, ibu bapa kepada anak boleh mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus padanan dan adik-beradik boleh mempunyai padanan 0-100 peratus.”

Lelaki itu kemudian menjelaskan bagaimana dia bertemu isterinya lapan tahun lalu ketika dia bekerja di salah satu bandar di sekitar England. Mereka kemudiannya bertukar nombor telefon dan mengatur beberapa pertemuan sebelum masing-masing bersetuju untuk berkahwin.

“Doktor kata kami adik beradik. Saya tak tahu nak buat apa. Dia isteri saya dan ibu kepada anak-anak kami,” tambahnya. Selepas berkongsi kisahnya di Reddit, kebanyakan pengguna media sosial berkongsi rasa simpati kepada beliau dan menitipkan mesej sokongan kepadanya.