Kecoh baru-baru ini apabila tular seorang lelaki berbadan ‘sado’ memarah dan menunjal kepala seorang wanita yang memandu Perodua Myvi gara-gara memandu secara merbahaya sewaktu perjalanan dari Cameron Highlands.

Terbaharu, lelaki yang menjadi buah mulut orang ramai serta netizen ini telah mendapat perhatian pihak polis. Malah, perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap suspek berusia 29 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Hanum Mohmad Shah di Mahkamah Majistret Tapah.

Baca Juga:

Siti Hanum membenarkan permohonan pihak polis untuk menahan reman lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang, Selangor itu sehingga Jumaat ini.

Reman terhadap lelaki itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/506/509 Kanun Keseksaan.

Dilaporkan, lelaki yang diiringi pegawai polis dan memakai baju lokap berwarna ungu itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Tapah pada pukul 8.35 pagi.

Menerusi rakaman video tular berdurasi 59 saat, seorang lelaki dipercayai suspek dilihat turun dari kereta Proton Persona dan mengetuk cermin kereta dipandu mangsa.

Wanita itu yang menurunkan cermin keretanya untuk berbincang telah dimarahi oleh suspek dengan kata-kata kesat sebelum dia bertindak memukul kepala mangsa.

Tangkapan ke atas lelaki terbabit dibuat susulan laporan polis dibuat wanita berusia 24 tahun itu semalam di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh.

Sumber