Impian ahli gusti profesional negara, Ayez Shaukat Fonseka akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau mendapat perhatian syarikat produksi Hollywood yang melamarnya untuk terbabit dalam enam episod rancangan Reality of Wrestling.

Menurut Ayez, rancangan itu akan disiarkan di saluran The CW dan ia kali pertama dia mendapat tawaran sebegitu malah bersyukur kerana diberi kepercayaan besar oleh pihak luar untuk memegang watak sebagai hero.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berdasarkan temubual Shaukat dengan Harian Metro, bagi mengetengahkan identiti Malaysia, Ayez tampil dalam rancangan itu dengan memakai tanjak dan jaket songket ditempah oleh Paul Carling, pereka pakaian dari Sarawak yang banyak menghasilkan busana pertandingan Ratu Cantik di Borneo.

Menurut Shaukat beliau telah menerima tawaran itu sejak dua tahun lalu namun terpaksa menangguhkan hasrat untuk ke sana memandangkan ada kekangan untuk mendapatkan kelulusan visa disebabkan pandemik Covid-19.

Beliau telah ke Amerika Syarikat (AS) pada awal bulan selama dua minggu bagi menjayakan rakaman yang diadakan di Stadium World Gym Arena, Texas.

Berkongsi pengalamannya, Ayez mengakui terharu kerana mendapat layanan baik oleh semua pihak yang menjayakan rancangan malah gembira kerana turut diundang Dr Tom Prichard, jurulatih legenda WWE, The Rock untuk mengajar kelas seni lakonan di Knoxville, Tennessee, AS.

Penampilan bertanjak beliau yang lain daripada yang lain ternyata menerima sambutan yang baik daripada penonton dan perlawanan pertama beliau adalah menentang Jonathan J Vega.

Beliau menang dalam perlawanan ini dan menurut pengulas, Shaukat mempunyai ‘auranya’ yang tersendiri apabila berada di dalam gelanggang. Rata-rata peminat serta rakan selebriti tempatan turut berbangga dengan pencapaian Shaukat di pentas antarabangsa.

Booker T sebelum ini pernah berkata Shaukat mempunyai bakat tersendiri dan berminat untuk membawanya menyertai Reality Of Wrestling.

Terdahulu Ayez Shaukat pernah terbabit dalam telefilem Budak Lorong serta berlakon filem Juvana 2 dan Juvana 3 dan menjadi watak utama dalam filem Gila Gusti. Kini impian Shaukat untuk menyerlahkan bakatnya di Amerika Syarikat telah terlaksana. Tahniah buat Shaukat!

Sebelum ini, Nor ‘Pheonix’ Diana turut mendapat perhatian media luar. Baca pada pautan di bawah.

Ahli Gusti Berhijab Dari Malaysia, Nor ‘Phoenix’ Diana Tersenarai Dalam Forbes 30 Under 30 Asia

Tonton Episod Great Big Story Khas Buat Penggusti Hijab Dari Malaysia, Nor ‘Pheonix’ Diana

Sumber