Ramai yang pastinya sudah mengenali syarikat animasi Les’ Copaque yang sering menghiburkan rakyat Malaysia tidak kira lapisan umur dengan siri animasi ‘Upin & Ipin’. Watak animasi kembar berusia 5 tahun ini mula menemui penonton pada tahun 2007 sehingga kini boleh ditonton di YouTube dalam beberapa bahasa yang berlainan.

Menurut pengasas, Hj Burhanuddin Radzi beliau memulakan syarikat ini berdasarkan dorongan dan insentif yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk memartabatkan lagi industri animasi di negara ini. Beliau turut melihat potensi graduan animasi ketika itu yang dibazirkan begitu sahaja akibat kurangnya ruang untuk mereka bekerja.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
7n_lescopaquebanggadenganen00
Watak Upin & Ipin bersama Tun Mahathir

Bermula dengan 6 episod istimewa Ramadhan pada tahun 2007, Les’ Copaque mula menjadi fenomena dalam hiburan keluarga di Malaysia dan seterusnya mengorak langkah menuju ke platform yang lebih besar apabila berjaya menemui penonton Disney Channel Asia pada tahun 2009. Pada tahun 2011 pula ‘Geng: The Adventure Begins’ yang disiarkan di pawagam seluruh Malaysia telah mencatat rekod baharu kutipan ‘box office’ tertinggi di negara ini.

Kejayaan tidak terhad di dalam negara sahaja tetapi juga di luar negara. Buktinya, ‘Upin, Ipin dan Kawan-kawan’ diterima baik oleh penonton di Indonesia disebabkan budaya serumpun yang ditonjolkan dalam siri episod tersebut yang memudahkan negara jiran untuk memahami jalan cerita. Kini, siri animasi ini turut diterima baik dan dialih suara dalam bahasa Arab, Mandarin, Turki dan Hindi. Hj Burhanuddin Radzi berkata untuk mencipta nama di luar negara, beliau percaya Les’ Copaque perlu membina kejayaan besar di dalam negara terlebih dahulu.

Seiiring dengan perkembangan teknologi terkini, siri animasi ‘Upin & Ipin’ juga mula melebarkan sayap di platform YouTube. Les’ Copaque kini berjaya memperoleh pendapatan sehingga USD180,000 (±RM735,000) sebulan melalui jumlah tontonan di YouTube sahaja. Menurut rekod YouTube, kebanyakan penonton adalah dari Malaysia, Indonesia dan Amerika Syarikat. Pengasas berkata, jika dilihat mengikut negeri, penonton siri ini turut datang dari Los Angeles dan Texas.

Kini, Les’ Copaque memegang rekod animasi tempatan sebagai animasi terpanjang pernah dihasilkan; kini sudah memasuki musim ke-12. Perancangan terbaharu Les’ Copaque ialah membina taman tema khas ‘Upin & Ipin’ yang kini sedang berada dalam proses perancangan terakhir sebelum direalisasikan tidak lama lagi.

Produk terbaru Les’ Copaque ‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ juga sedang hangat di pawagam dan mendapat kutipan RM5.3 juta dalam masa 4 hari tayangan sahaja.

Bagi Hj Burhanuddin, beliau berharap agar kejayaan ini dapat memeberi inspirasi kepada pelopor animasi di negara ini untuk berusaha lebih kuat dan mencipta kejayaan di persada dunia. Jika anda belum menonton lagi filem ini, boleh tonton dahulu 10 minit awal filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal di bawah ini.

Sumber