Mavcom kini bersedia membentangkan Rang Undang-undang Mavcom (Pinda­an) pada persidangan Parlimen Oktober ini bagi membolehkan Mavcom me­ngenakan caj levi RM1 kepada semua penumpang yang berlepas dari Malaysia kecuali mereka yang terbang dengan perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Mavcom (Malaysia Aviation Commission) merupakan satu entiti bebas yang mengawal selia urusan ekonomi dan perdagangan berkaitan penerbangan awam di Malaysia.

Peranan MAVCOM berbeza daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA). MOT bertanggungjawab untuk membuat dasar industri dan perbincangan kerajaan (termasuk untuk menerajui rundingan dua hala atau pelbagai hala mengenai hak lalulintas), sementara DCA akan terus mengatur hal-hal teknikal dan keselamatan bagi industri penerbangan awam Malaysia.

Rang undang-undang itu telah pun di­­bentangkan di Dewan Rak­yat ming­gu lalu bagi membolehkan Mavcom mengenakan caj dan peraturan terhadap syarikat dan individu.

Malah, di bawah rang undang-undang itu, Mavcom bo­leh menge­nakan penalti sehingga maksimum RM1 juta bagi individu yang gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Perkara ini telah disahkan oleh Azmir Zain, CEO Mavcom semasa membentangkan laporan industri sulung Mavcom yang dikenali sebagai Waypoint pada 15 Ogos (semalam).

Jika pembentangan ini diluluskan, caj levi akan mula berkuatkuasa bermula Januari 2018. Menurut Azmir, Mavcom dijangka akan berjaya mengutip sebanyak RM30 juta pada tahun pertama levi ini dikuatkuasakan. “Tujuan levi RM1 dikenakan adalah untuk mengekalkan kemampuan kewangan Mavcom,  di samping tidak bergantung kepada komisen.”

Caj levi RM1 ini juga selari dengan perancangan kerajaan yang akan berhenti menyalurkan pembiayaan operasi Mavcom mulai tahun depan, selepas membiayainya selama dua tahun sejak penubuhannya pada tahun 2016.

klia2-2

Mavcom juga kini masih mengkaji untuk menya­makan caj perkhidmatan pe­­numpang (PSC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 yang dijangka dikuatkuasakan pada Januari 2018.

Katanya, pelaksana­an PSC itu akan me­nyaksikan caj yang di­kenakan akan meningkat daripada RM50 kepada RM73 bagi penerbangan jarak jauh mulai tahun depan.

“Buat masa ini, kami sedang membangunkan rangka kerja jangka panjang untuk me­netapkan caj lapangan terbang. Ini ke­rana pada masa akan datang juga, Mavcom akan melihat ke­perluan untuk mengkaji ke­perluan bagi caj pendaratan dan meletak pesawat bersama-sama dengan PSC,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan pelancong telah jimat sebanyak RM30 sejak Mavcom menurunkan (PSC) dari RM65 kepada RM35 (caj sama rata) untuk semua destinasi ASEAN.

Perkara lain yang turut dikongsikan di dalam laporan itu adalah mengenai kejayaan Mav­com menyelesaikan 95 peratus daripada 2,000 kes aduan pengguna setakat Jun tahun ini. Suruhanjaya itu juga mendapati aduan paling banyak diterima adalah berkenaan bayaran balik tiket, kegagalan pengendalian bagasi serta penangguhan dan pemba­talan penerbangan.

Untuk rekod, aduan berkaitan syarikat penerbangan boleh dibuat di laman web Mavcom di sini.

Sumber