LG sememangnya terkenal dengan eksperimen yang dilakukan pada telefon pintar flagship mereka. Saya masih ingat lagi ketika LG G2 mula diperkenalkan, ramai reviewer menganggap pemilihan LG untuk meletakkan butang unlock di bahagian telefon pintar merupakan idea yang kurang baik.

LG nampaknya konsisten dengan idea tersebut dan seterusnya telah menjadi ikutan buat telefon pintar yang lain. LG seterusnya menjadi telefon pintar yang pertama dengan sokongan modular sewaktu pelancaran LG G5. Pada kali ini, LG sekali lagi mahu menjadi ‘trendsetter’ dengan mahu menyediakan sebuah telefon pintar tanpa butang pengimbas cap jari.

LG mengatakan idea ini dapat diimplementasi dengan meletakkan modul dibawah skrin. Perlaksanaan pengimbas cap jari tanpa butang ini juga bakal menyediakan telefon pintar dengan rekaan yang lebih menarik serta fungsi kalis air dan kalis calar juga dapat dikekalkan. LG juga mengesahkan penggunaan teknologi baru ini bakal memberi kadar tindak balas yang lebih baik berbanding penggunaan butang pengimbas cap jari.

Setakat ini LG masih belum mengumumkan pada telefon pintar yang manakah keluaran mereka yang akan menggunakan teknologi terbaru ini. Saya menjangkakan kita semua akan dapat menggunakan teknologi ini seawal LG G6 pada tahun hadapan.