Nota Editor: Pengalaman pengembaraan ini diceritakan oleh Qaisy Jaslenda. Beliau mengembara secara solo selama 5 bulan dan telah menjejak ke lebih 11 buah negara. Ikuti kisah pengembaraan dan hasil seni beliau.

Setelah setahun bekerja sebagai seorang arkitek dan lima pekerjaan sambilan lain semasa beliau masih di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, akhirnya beliau memutuskan berhenti bekerja dan membelanjakan wang simpanannya untuk merantau dan melihat dunia berseorangan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Qaisy Jaslenda

Menurutnya lagi, tujuan utama beliau merantau adalah untuk mengenal bumi Tuhan dan belajar berserah kepada ketentuan Ilahi. Namun apa yang menarik perhatian kami adalah bagaimana beliau merekodkan pengalaman beliau dengan melukis setiap tempat yang beliau lawati.

Curzon Hall, University of Dhaka

Sepanjang beliau mengembara selama lima bulan, beliau telah pergi ke 11 buah negara bermula dari China – India – Nepal – Thailand – Finland – Italy – Scotland – England – Netherlands – Rusia dan akhirnya ke Singapura.

Sebagai graduan dalam jurusan senibina, melukis dan melakar tidak begitu asing bagi beliau. Dengan melukis, membolehkan beliau mendalami tempat yang disinggahi dan dalam erti kata yang lain to be in the moment.

Menurut beliau, melukis dapat menjadikan beliau lebih peka dan sensitif terhadap keadaan sekeliling. Melukis juga membantu beliau meneliti dan menghargai perincian pada setiap pelusuk sesuatu tempat.

Istana Larangan, Beijing (北京故宮)

Lukisan ini dihasilkan ketika beliau di Istana Larangan, “Saya berjalan menyelusuri pagar, dewan ke dewan, istana ke istana, daripada pagi hingga lewat hari. Semasa orang ramai mula meninggalkan tempat tersebut, saya mula pergi ke satu sudut di istana ini dan memula melukis. Matahari cerah, langit Tianshan biru dan tasik Qinghai beku, menyembunyikan betapa sejuknya musim salji ini. Jari-jari saya terasa sakit tetapi saya sangat berharap boleh menterjemahkan dunia khayalan ini.”

Beliau benar-benar teruja untuk menceritakan bahawa melukis juga dapat membuka ruang berkenalan dengan penduduk setempat dan mengenali mereka dengan lebih rapat.

Bhaktapur, Nepal

Lukisan ini menarik minat kanak-kanak di Bhaktapur, Nepal. “Mereka kelihatan seperti ingin tahu dan terjenguk-jenguk melihat apa yang saya sedang lukis. Pada mulanya mereka bermain layang-layang dan kemudian berhenti untuk meminta saya menangkap gambar bersama lukisan ini. Saya perhatikan renungan dan disertai senyuman daripada ibu-ibu mereka yang sedang memetik kacang dan soya sementara anak-anak mereka yang lain mengejar ayam.”

Bagi beliau, setiap helaian lukisan yang dihasilkan menyimpan bukan sekadar gambaran sesuatu tempat itu, malah mempunyai nilai sentimental yang tinggi. Walaupun sesetengah pengalaman itu hampir memusnahkan sebahagian lukisannya.

Lakaran di St. Peter’s Square

Lukisan ini dihasilkan ketika beliau di Itali. Kerana terlalu kagum terhadap seni bina tempatan, beliau duduk dan mula melukis, “Saya kagum terhadap bandar ini. Beribu-ribu tahun tamadun yang perlu difahami. Kebiasaannya saya akan duduk disetiap jalan dan piazza, sekurang-kurangnya satu jam. Sebaliknya saya memilih untuk berjalan-jalan perlahan-lahan melalui satu piazza ke satu piazza. Kemudian saya memutuskan untuk duduk di tepi sungai dan melukis patung Sant’Angelo sambil melepaskan lelah.”

Beliau juga pernah ditanya tentang ketakutan mengembara secara solo, beliau menjawab, “Soalan ini telah diulang banyak kali oleh banyak orang. Sejujurnya saya amat takut. Mengembara secara solo mengajar saya tentang banyak perkara, antaranya adalah jujur pada diri sendiri. Pernah seketika saya berada didalam situasi yang beremosi dan patah hati. Satu-satunya orang yang saya boleh harapkan adalah diri sendiri. Pada masa itu, saya merasakan Tuhan amat dekat dan kemudian saya serahkan diri saya padaNya.”

Coliseum

Apabila ditanya mengenai rencana pengembaraannya selepas ini, beliau berkata “seseorang pengembara akan kekal sebagai pengembara, apabila dia kekalkan semangat pengembaraan itu tak kira tempat, jauh mahupun dekat.” Beliau juga berharap rakan-rakan sebayanya turut merebut peluang untuk merantau jika peluang tersebut berada di depan mata.

Koleksi Travel Qaisy Jaslenda

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram