Jika anda merupakan penduduk sekitar Janda Baik, pastinya anda mengetahui mengenai Projek Pembinaan Talian Penghantaran 500kV sepanjang Bentong South-Lenggeng yang dijalankan semenjak 2015. Sejak projek tersebut bermula, penduduk sekitar mula menyuarakan bantahan yang bimbang akan alam sekitar yang bakal terjejas.

Hal ini telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman yang turun padang untuk menyaksikan sendiri keadaan yang menimbulkan keluh-kesah daripada penduduk sekitar lebih-lebih lagi apabila beliau melihat gambar yang dimuat naik oleh @ZoologiMY. Hasil tinjauan beliau didedahkan melalui bebenang yang dimuat naik di laman Twitter peribadi beliau.

Beliau telah memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan kemusnahan alam sekitar akibat pembukaan jalan oleh pihak kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Perhutanan Pahang. Melalui gambar-gambar tersebut jelas kelihatan kerja-kerja kontraktor berkenaan yang dilabelkan sebagai kerja yang tidak beretika oleh ADUN Ketari sendiri.

Lebih menyedihkan lagi pokok balak besar yang bukan berada dalam kawasan laluan turut ditebang.

Tidak terhenti disitu sahaja, pokok-pokok yang ditebang kemudiannya digulingkan ke dalam sungai yang menjadi sumber air yang digunakan oleh penduduk sekiar.

Beliau turut memuat naik video yang berdurasi 2:20 minit yang menunjukkan salah satu kawasan yang dikenali sebagai Kepala Gua yang turut menerima tempias akibat projek ini.

Bebenang beliau diakhiri dengan harapan yang turut disuarakan oleh penduduk setempat yang menuntut pertanggungjawaban dari pihak Jabatan Perhutanan dan Kerajaan Negeri Pahang.