Bagi seorang pelajar perubatan seperti Ahmad Wazir Aiman atau lebih mesra dipanggil Wazir saja, rutin harian beliau bangun seawal sebelum subuh. Dengan mengenakan kot putih, Wazir berjalan kaki ke hospital ketika matahari pagi belum menyinar.

“Hari-hari saya adalah bertemu pesakit baik di klinik, di wad, di dewan bedah mahupun di bilik bersalin dan kadang-kadang, saya akan keluar semula daripada hospital untuk pulang ketika langit telah pun senja dan gelap. Dan saya akan pulang awal pada keesokan paginya pula apabila saya on-call malam” – Wazir.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

wazir-aiman-1

Impian masa kecil

Namun bagi Ramadhan kali ini, Wazir ingin lakukan sesuatu yang berbeza dan lari jauh daripada rutin harian beliau ini. Ia merupakan satu impian yang pernah terlintas di fikiran beliau sewaktu masih bersekolah rendah dan akhirnya baru dapat dilaksanakan setelah beliau berusia 22 tahun.

Menurut pelajar Ijazah Perubatan Tahun 3, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan berasal dari Wangsa Maju ini, impian untuk membantu golongan susah tercetus setelah beliau melihat ramai daripada rakan sekolahnya yang berasal daripada keluarga yang kurang bernasib baik sewaktu di sekolah rendah.

Ada di antara rakan sekelasnya yang mempunyai ayah yang lumpuh, ada yang ibunya adalah ibu tunggal, ada yang ibunya bekerja sebagai janitor sekolah dan perlu menempuh berbagai kesukaran hidup lagi.

“Setelah melihat semua ini lahir satu perasaan yang cukup sebak dalam hati saya dan turut membuat saya tertanya-tanya; Tak ada orang nak bantu mereka kah? Dan apa yang boleh saya buat untuk menolong?”

Menurut Wazir, di usia yang sebegitu muda adalah sesuatu yang sukar bagi beliau untuk membantu rakan-rakannya kerana beliau sendiri berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana.

Apatah lagi apabila melihat ayah dan ibu beliau juga bersusah payah mencari rezeki demi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Limitasi saya ketika itu adalah saya tidak ada pendapatan ataupun modal untuk disedekahkan, justeru hasrat saya adalah untuk melaksanakan idea ini setelah saya berkahwin dan bekerja, dalam erti kata lain bila saya sudah stabil dari segi kewangan” – Wazir.

wazir-aiman-8
Wazir turut bergiat aktif dalam forum dan ceramah di UKM.

Pertama kali rasa nikmat ‘memberi’

Ujar Wazir lagi, perasaan ingin membantu itu adakala membuatkan beliau sukar tidur di waktu malam. Apatah lagi setelah melalui satu pengalaman yan membuatkan beliau mula mengerti betapa nikmatnya membantu insan yang hidup susah. Ujar Wazir;

“Pernah satu ketika, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur daripada kampung halaman, kami singgah sebentar di sebuah masjid dan saya terlihat seorang perkerja masjid yang pakaiannya agak compang-camping sedang membersihkan tandas dan kawasan masjid.

Dengan senyum manisnya, dia menegur saya dan sebelum pulang saya teringat yang saya ada lebihan pakaian lama yang saya memang berhajat untuk memberikan kepada golongan yang memerlukan.

Kebetulan ada satu lagi plastik pakaian lebihan daripada program gelandangan sebelum ini yang memang saya simpan dalam kereta.

Sebaik saya berikan kepada pekerja tersebut, saya tak dapat lupa betapa jujurnya air mata dan kegembiraan beliau. Juga terasa betapa tenangnya hati bila dapat membantu orang lain”.

“Sejak daripada itu, saya lebih bersemangat untuk memberi kerana salah satu pegangan hidup saya ialah ‘erti hidup’ pada memberi” – Wazir.

Wazir jug bertekad setelah beliau bekerja nanti, 1 hujung minggu di setiap bulan akan diperuntukkan untuk masuk ke kawasan yang telah dikenal pasti mempunyai golongan yang susah dan memerlukan bantuan khususnya kawasan yang telah dilanda banjir.

Namun siapa sangka di saat masih belum menamatkan pengajian, Wazir telah mula dapat melaksanakan impian yang terpendam lama ini melalui program Ramah dan Voyage of Hope yang akan berlangsung selama 5 hari.

wazir-aiman-7

Apakah Voyage of Hope

‘Ramadhan Voyage of Hope’ ini merupakan program jelajah amal di mana kru Voyager Organisasi Dakwah Dosage International akan pergi ke setiap negeri di semenanjung dengan membawa bekalan barangan dan wang untuk disalurkan kepada keluarga-keluarga miskin dan mereka yang kurang bernasib baik. Kebanyakan daripada penerima sumbangan telah dikenalpasti semenjak sebelum Ramadhan lagi.

Program yang memakan masa selama 5 hari ini akan bermula pada 9 Jun 2016. Destinasi pertama adalah Perak, kemudian terus ke negeri-negeri utara sehinggala ke Pulau Pinang.

Pada hari ke 2 jelajah akan diteruskan ke pantai timur bermula daripada Kelantan hingga ke Pahang.

Manakala pada hari ketiga, jelajah diteruskan ke Johor, Melaka dan kemudiannya Putrajaya. Baki 2 hari terakhir akan meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

wazir-aiman-9

Kenapa di bulan Ramadhan

Menjawab tentang persoalan ini, ujar Wazir Ramadhan adalah bulan yang paling sesuai untuk melaksanakan program ini. Tambahan pula ganjaran dalam beramal akan digandakan Allah.

“Pada mulanya saya berhasrat untuk pergi sendiri dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga-keluarga ini sebelum saya bertolak ke Jepun untuk posting dan research saya di sana.

Namun, memandangkan saya akan bergerak jauh dan terdapat ramai keluarga yang memerlukan, maka saya putuskan untuk membuka peluang ini kepada mereka yang turut berminat untuk menderma.

Saya berharap apa yang saya lakukan ini dapat mengurangkan beban mereka yang kurang bernasib baik dan di waktu yang sama membuka ruang untuk orang lain turut beramal dan peroleh barakah pada bulan Ramadhan yang mulia ini” – Wazir.

Untuk pengetahuan pengumpulan dana bagi program ini telah bermula sejak 1 Jun dan akan berlangsung sehingga 10 Jun.

Bagi anda yang ingin turut serta, sumbangan boleh disalurkan ke akaun bank Islam 14-256-02-020312. Untuk  maklumat lanjut tentang program ini, info lengkap boleh didapati di Facebook Page Dakwah Dosage.

Secara peribadi saya sering membaca dan mengikuti aktiviti amal yag dilakukan oleh Wazir di akaun Facebook peribadi beliau. Itulah sebabnya tanpa ragu saya bersetuju untuk berkongsi program yang akan beliau laksanakan ini di Vocket.

Semoga usaha murni yang merupakan impian Wazir sejak kecil ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Buat Wazir, anda sentiasa buat kami yakin bahawa masih ramai insan yang prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik.