Bekas pemain beregu wanita negara, Lim Pek Siah tidak menyembunyikan keinginannya untuk kembali menabur bakti membimbing skuad badminton Malaysia sekiranya diberikan peluang.

Pek Siah yang pernah bergelar jurulatih skuad wanita negara bermula Mei 2015 hingga Disember 2018 kini berkelana ke Singapura dalam mengembangkan karier kejurulatihannya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Peningkatan dalam kem badminton Singapura jelas kelihatan selepas anak didik Pek Siah, Terry Hee/Jessica Tan berjaya memenangi pingat emas acara beregu campuran temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Dalam pada itu, beliau dalam usaha untuk terus menggilap bakat gandingan Jin Yujia/Crystal Wong Jia Ying dalam usaha untuk melayakkan pasangan wanita ini ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Pasangan itu juga berada di Ipoh bagi menghadapi saingan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022 dan lebih manis berjaya menjuarai kejohanan tersebut.

Ketika ditanya adakah beliau berhajat untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lim Pek Siah tidak menolak kemungkinan itu.

“Mestilah saya nak balik latih pemain kita. Siapa yang tak ingin berbakti di negara kelahiran sendiri. Saya juga sudah tiga tahun di Singapura,’’

“Tetapi tiada sebarang tawaran diterima setakat ini daripada pihak BAM. Sekiranya diberikan peluang, saya tidak akan melepaskannya,’’ ujar Pek Siah bercakap kepada wakil The Vocket.