Akhirnya. Antara filem yang saya sangat-sangat nantikan tahun ini kini sudah berada di pawagam. Hugh Jackman kembali sebagai Wolverine, watak yang beliau pegang sejak siri X-Men yang pertama. Tetapi Logan adalah filem terakhir beliau sebagai Wolverine. Aduh, sedihnya.

Kita mulakan dengan sinopsis filem ini. Filem ini bertempat pada tahun 2029 di mana mutan sudah hampir pupus. Masih ada mutan cuma mereka hidup secara bersembunyi termasuklah Logan. Kehidupan beliau memang sangat menyedihkan dan hidup sebagai pemmbawa kereta mewah untuk meneruskan hidup dan tinggal di sempadan Mexico bersama Professor X yang sakit dan pembantu mereka, Caliban.

Caliban, antara mutan terakhir selain Wolverine dan Professor X

Tiba-tiba, muncul seorang wanita misteri yang datang meminta pertolongan Logan untuk membawa seorang budak kecil perempuan ke Canada. Bermula dari pertemuan ini, Logan terpaksa kembali sebagai Wolverine untuk menyelamatkan gadis perempuan ini dari ancaman Transigen, musuh utama dalam filem Logan ini.

Kalau anda terlepas tengok siri X-Men yang sebelum-sebelum ini, tak perlu risau kerana Logan adalah filem stand-alone dan tidak berkait dengan siri X-Men yang sebelum ini. Kali ini jalan cerita filem ini berdasarkan siri komik Old Man Logan di mana Wolverine adalah antara mutan terakhir yang masih hidup. Kalau anda tak pernah tengok X-Men sebelum ini pun anda akan faham filem Wolverine ini.

Kebanyakkan mutan dalam filem Logan ini dihapuskan oleh satu kumpulan jahat yang berlindung di bawah nama Transigen. Tetapi jika dalam versi komik Old Man Logan, cara penghapusan mutan ini adalah jauh lebih tragis. Dalam satu serangan di X-Mansion, beliau membunuh kesemua musuh yang datang menyerang. Hinggalah ke musuh yang terakhir iaitu Bullseye, barulah beliau dikejutkan rupanya kesemua ‘musuh’ yang beliau bunuh adalah rakan X-Men beliau sendiri. penjahat dengan nama Mysterio yang membuatkan ilusi optik itu yang membuatkan Logan percaya X-Mansion ditawan pihak musuh. Dan dari kejadian itu, beliau hilang semangat untuk menjadi Wolverine dan hidup sebagai orang biasa.

Pembunuhan total X-Men oleh Wolverine dalam komik ‘Old Man Logan’

Jadi di sini saya akan membuat kupasan filem ini tanpa membuat sebarang spoiler.

1. Emosi

Jaga-jaga, filem ini boleh bermain dengan emosi anda. Dalam filem ini, anda dapat rasa bagaimana peritnya hidup Logan selepas tidak lagi berada dalam keadaaan terbaik. Beliau kini sudah berusia dan proses untuk beliau sembuh dari luka juga semakin lambat dan kesan pertarungan di usia muda Wolverine kini memberikan hasil kepada tubuh badannya.

Ditambah lagi dengan muzik country pada filem ini, ianya seperti melihat filem koboi lama era Clint Eastwood, cuma koboi dalam filem ini mempunyai kuku Adamantium dan bukannya pistol. Kesan dari tekanan hidup ini, Logan menjadi seorang kaki botol. Logan juga terpaksa menjaga Professor X yang kini mempunyai masalah kesihatan yang perlu bergantung kepada ubat-ubatan. Memang sedih melihat mereka struggle dalam hidup. Sebelum ini kita lihat superhero hidup di zaman kegemilangan mereka. Jadi dalam Logan kita dapat lihat bagaimana superhero ini hidup jika mereka tidak lagi berada dalam keadaan terbaik.

2. X-23

X-23 atau Laura Kinney adalah hasil eksperimen pihak Transigen. Beliau dilahirkan dari genetik mutan yang disimpan pihak Transigen dan Laura adalah hasil klon dari Wolverine. X-23 mempunya kuasa sama seperti Wolverine – proses pemulihan cepat, kelajuan dan refleks hebat.

Laura tidak banyak bercakap tetapi aksi beliau dalam filem ini memang sangat awesome. Laura adalah hasil eksperimen paling ingin ditangkap Transigen kerana di kalangan kanak-kanak hasik eksperimen genetik mutan Transigen, Laura adalah yang paling ganas dan mempunyai killer instinct. Muka comel tapi ganas teruk.

3. Ganas


Perlu diingatkan filem ini dikategorikan untuk 18 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur ini tidak boleh tontonnya di pawagam. Sebabnya? Filem ini memang sangat ganas dan setiap aksi memang sangat real. Walaupun ada Laura, tetapi filem ini memang dikhaskan untuk penonton dewasa.

Jackman sanggup menerima potongan bayaran untuk merealisasikan filem ini sebagai R-Rated. Jika R-rated, lebih kurang audience ke pawagam kerana kanak-kanak tidak boleh menonton filem ini di pawagam. Jadi Jackman tidak mempunyai masalah dengan pemotongan gaji beliau itu kerana visi Jackman dan pengarah filem James Mangold yang mahu filem terakhir Wolverine ini menjadi sebuah karya yang epik. Sudah lama tak tonton filem di pawagam yang tidak censored f-word. Barulah tak hilang mood filem ini.

Owh, Logan tidak sama seperti filem R-Rated Deadpool yang penuh kelucuan. Filem Logan lebih serious dan lawaknya juga bertempat.

4. Penyambung legasi

Laura bukanlah satu-satunya kanak-kanak yang terselamat. Terdapat beberapa lagi rakan-rakannya yang perlu mengembara dari Mexico ke Kanada. Tempat pertemuan mereka bernama Eden. Jika 20th Century Fox ingin membuat sebuah filem mutan baharu dengan pelakon-pelakon remaja, mereka ini penyambung legasi para mutan yang sudah tiada. Semestinya Laura akan menjadi ketua di kalangan kanak-kanak ini semasa itu nanti.

Jika benar 20th Century Fox ingin membuat siri spin-off dari Logan ini, saya mahu Dafne Keen yang melakonkan watak Laura dikekalkan memegang watak X-23. Begitu juga rakan-rakan beliau yang lain. Sebab sudah nampak sangat sesuai untuk Fox menyambung legasi ini dan tidak mematikan watak X-23 begitu sahaja.

5. Filem terakhir Hugh Jackman sebagai Wolverine

Sedih juga apabila mendapat tahu perkara ini diawalnya tetapi bagi Hugh Jackman, enough is enough. Beliau tidak mahu peminat bosan dengan beliau sebagai Wolverine dan Logan adalah titik noktah beliau sebagai Wolverine. Beliau juga berkata dalam satu temubual bahawa pelawak Jerry Seinfeld adalah antara penyebab beliau tidak lagi mahu membawa watak Wolverine.

Dalam pertemuan Seinfeld dan Jackman, Seinfeld berkongsi kisah kenapa beliau menamatkan siri popular Seinfeld. Kalau siapa yang biasa tengok TV tahun 90an, mesti tahu siri Seinfeld ini. Bagi Seinfeld, sirinya perlu ditamatkan sebelum penonton bosan dan mengatakan ‘Owh, siri ini lagi’. Setelah mendengar kata-kata Seinfeld itu, Jackman berpendapat Logan adalah masa terbaik untuk beliau melepaskan watak yang sudah dipegangnya selama 16 tahun.

Kesimpulannya? Filem ini pastinya akan mendapat reaksi pelbagai kerana jalan ceritanya memang slow untuk membina jalan cerita filem ini. Logan padat dengan aksi dan aksi pertarungan bermula di awal minit ke-3. Aksi pertarungan dalam Logan juga sangat ganas. Kalau nak tengok kuku Wolverine tusuk kepala, cantas tangan dan kaki, ini filem yang anda kena tonton.

Filem ini juga berdurasi 2 Jam 20 minit dan saya nasihatkan untuk tonton filem ini dalam keadaan segar. Kalau anda mengantuk, takut tidak enjoy ini kerana filemnya yang panjang. Logan memang sebuah filem yang heavy dan lari dari tipikal filem superhero yang fun.

Bagi pengkritik filem Hollywood, mereka sangat mengangkat filem ini dan ada yang mengatakan Logan adalah filem terbaik dari siri X-Men setakat ini. Dan saya sangat menyokong statement ini. Filem ini hebat kerana jika anda menghayatinya, boleh berkaca jugalah mata. Tahniah James Mangold kerana berjaya menghasilkan sebuah filem yang sangat personal serta masterpiece buat Wolverine. Saya beri rating 9.5/10 untuk filem ini. Rust in peace, Logan.

P/S: Tunggu sehingga habis kredit tahu? Jangan keluar awal. Ada mesej penting yang anda perlu tahu. =)