Industri pemprosesan makanan di Malaysia kini semakin giat berkembang. Lebih banyak usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang kini mampu mengeksport produk mereka ke luar negara kerana kualiti produk mereka yang setanding jenama antarabangsa.

Pada tahun 2015 sahaja, eksport untuk pemprosesan makanan Malaysia adalah berjumlah RM18 billion dan ianya semakin meningkat tahun demi tahun. Tetapi setiap produk yang berjaya untuk dieksport perlu mencapai standard dan piawaian yang ditetapkan terlebih dahulu.

Pernah lihat logo MeSTI? Makanan Selamat Tanggungjawab Industri atau MeSTI adalah inisiatif Kementerian Kesihatan untuk setiap pengusaha makanan mementingkankan isu keselamatan dan kebersihan makanan yang mereka hasillkan. Jadi secara mudah, jika anda nampak sesuatu produk ada logo MeSTI, produk berkenaan sudah mendapat pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan.

Objektif utama MeSTI semestinya untuk setiap tempat pemprosesan makanan mengikut prosedur penyediaan makanan yang betul serta menjadikan aspek kebersihan perkara paling penting dalam proses penyediaan makanan. Jadi, sekiranya pengusaha makanan sudah ada MeSTI, produk berkenaan sudah lulus untuk membawa produk mereka ke peringkat antarabangsa.

Susahkah untuk mendapatkan pengiktirafan MeSTI ini? Kami sempat bertemu dengan dua pengusaha tempatan yang sudah berjaya memiliki pengiktirafan MeSTI ini untuk produk keluaran mereka.

Serantau Desa Industries Sdn Bhd

Mesti Serantau 1

Serantau Desa adalah pengeluar makanan sejuk beku berasaskan ikan seperti otak-otak dan satar. Sehingga kini, terdapat 12 jenis makanan yang mereka hasilkan dan sudah mendapat kelulusan MeSTI dan sijil halal.

Serantau Desa bermula di Melaka dan kini sudah berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang ini. Pada tahun 2009, Serantau Desa mendapat tawaran untuk beroperasi di Kompleks industri perniagaan MARA (Kimar) dan mula beroperasi secara penuh pada tahun 2014.

Mesti SD
Puan Azlin bersama ibu & ayah serta adiknya

Puan Azlin merupakan pengendali perniagaan Serantau Desa. Menurut Puan Azlin, proses untuk mendapatkan MeSTI ini tidaklah serumit yang disangka. “Selepas kami isi borang, prosesnya cepat dan mudah. Pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan turun audit kilang kami dan jika mengikut piawaian dan standard, mereka akan luluskan permohonan kita. Mereka akan bimbing dan beri prosedur yang perlu kita ikut,” terang Puan Azlin.

Mesti SD 2
Pakaian yang perlu dipakai sebelum mula bekerja
Mesti SD 1
Mesin akan dibersihkan setiap kali habis digunakan

“Bagus sebenarnya bila kita dah ada MeSTI ini. Yang saya nampak sebelum dan selepas ada MeSTI ini adalah keyakinan pembeli. Kalau kami masuk mana-mana expo makanan, pengunjung mesti akan tanya ada MeSTI tak? Mestilah ada. Jadi perkara-perkara seperti ini pun pengguna dah pandang serius.MeSTI ni dah jadi seperti benchmark untuk produk kita. Untuk eksport ke luar negara pula, ada negara yang mahukan sijil kesihatan. Bila dah ada logo MeSTI pada packaging kita, mereka dah tahu produk kita ini sudah di-endorsed oleh KKM. Bila ada logo MeSTI, produk kita selamat untuk dimakan,” tambah Puan Azlin.

Produk Serantau Desa kini boleh didapati di pasaraya Mydin dan akan memasuki pasaraya-pasaraya lain di seluruh dunia. Serantau Desa juga merupakan supplier produk dan pes otak-otak untuk beberapa hotel 5 bintang di serata Kuala Lumpur. Disebabkan ada MeSTI, demand untuk produk Serantau Desa juga meningkat kata Puan Azlin.

mesti SD 3
Antara produk keluaran Serantau Desa

Serantau Desa juga kini giat mengikuti expo makanan di luar negara dan kini cuba untuk menembusi pasaran Singapura dan China di masa hadapan.

Perniagaan Kak Asiah

MA1

Jika perniagaan Serantau Desa mempunyai fasiliti yang lebih moden, perniagaan Kak Asiah pula hanya bertempat dirumahnya di Banting Selangor. Kak Asiah sudah 20 tahun dalam bidang membuat rempeyek dan bahulu ini.

Kak Asiah sendiri baru sahaja menerima pengiktirafan MeSTI ini dan menurut Kak Asiah, MeSTI banyak membantu menambah baik cara Kak Asiah menyediakan produk makanan beliau. “Bila kita dah hantar borang untuk permohonan, wakil dari KKM datang untuk tengok tempat Kak Asiah bakar Bahulu dan goreng rempeyek. Dari situ pihak KKM bagi nasihat kepada Kak Asiah cara-cara untuk tambah baik fasiliti dapur kami supaya ianya menepati standard yang ditetapkan KKM. Kalau dahulu lampu siling kami tak bertutup, sekarang dah bertutup. Periuk kena terus dibersihkan selepas menggoreng. Benda-benda macam itulah,” kata Kak Asiah.

MA3
Kak Asiah meneliti keadaan bahulu di dalam ketuhar
MA6
Antara produk keluaran Kak Asiah dengan logo MeSTI
MA7
Dapur dicuci setiap kali habis gorengan
MA8
Setiap bahulu yang sudah siap dibakar akan disimpan di tempat khas

“Selepas dapat MeSTI ni, cara kami bekerja pun lebih teratur dan kemas. Rasa lebih puas hati bila produk kita dah ada logo MeSTI ni. Barang-barang yang sudah siap dipaket sekarang sudah ada tempat khusus untuk disimpan. Sekarang ini, produk Kak Asiah dah boleh dapat di Putrajaya; dari Pahang ada yang datang ambil dari Kak Asiah,” Tambah Kak Asiah.

Pensijilan MeSTI adalah salah satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membantu pengusaha produk makanan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menghasilkan produk yang bersih dan selamat untuk pengguna.

Dengan adanya pensijilan MeSTI sebagai PJKM, dapat mengelakkan pengusaha produk makanan didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak lebih 2 tahun jika disabitkan kesalahan. Sebab itulah pentingnya ada logo MeSTI ini pada produk makanan anda.

Selain keyakinan pengguna terhadapa produk, apa lagi faedah MeSTI ini? BANYAK. Di bawah ini adalah antara faedah MeSTI yang perlu anda tahu:

  1. Pensijilan dan bimbingan adalah PERCUMA.
  2. Tempoh sah pensijilan selama tiga tahun.
  3. Memudahkan proses permohonan pensijilan halal (JAKIM).
  4. Memudahkan pasaran produk di pasaraya besar KR1M, COOP1M dan sebagainya.
  5. Mempercepatkan pengeluaran sijil pengeksportan seperti Sijil Penjualan Bebas (Free Sale Certificate) dalam tempoh satu hari TANPA dokumen tambahan.
  6. Logo MeSTI pada label produk makanan dapat menyakinkan pengguna terhadap keselamatan makanan produk tersebut
  7. Memenuhi keperluan perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Dengan adanya pengiktirafan MeSTI ini, ianya akan memudahkan urusan-urusan anda yang lain. Cara untuk anda memohon seperti yang Kak Asiah dan Puan Azlin mudah sahaja. Syarat utama, anda perlulah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dengan KKM melalui Pendaftaran Premis Makanan melalui fosimdomestic.moh.gov.my.

Permohonan pula adalah melalui online melalui FoSIM Domestik. Selain itu, perlu muat turun borang permohonan dari fsq.moh.gov.my, isi dan hantar ke Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran dengan premis masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, layari laman ini dan Facebook @BKKMHQ atau hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Selepas anda dapat pengiktirafan MeSTI ini, produk anda mesti laku keras dan impian anda untuk jual produk ke peringkat antarabangsa pasti akan tercapai. Ada MeSTI, mesti boleh!

BACA: Makan Di Luar, Kenapa Anda Perlu Pilih Logo Ini