Filem Harum Malam karya Dain Said baru sahaja melepasi tayangan perdana beberapa hari yang lepas dengan dihadiri oleh beberapa penggiat filem tanah air.

Bagaimanapun, pengalaman menonton filem ini sedikit terencat apabila sebahagian daripada babak dan dialog di dalam filem ini dipotong oleh pihak Lembaga Penapisan Filem.

Baca Juga:

Pembikin filem dan penerbit popular Datuk Yusof Haslam adalah antara individu yang tampil mengkritik LPF kerana pendekatannya yang tidak konsisten terhadap garis panduan penapisan filem.

Ketika ditemuramah oleh The Star, Yusof Haslam meminta agar LPF bersikap lebih terbuka dan bergerak mengikut peredaran zaman dalam dunia yang serba maju ini.

“Kita perlu berubah atau kita akan kekal jumud. Penonton pada zaman sekarang bukanlah bodoh. Ini adalah kritikan terbuka kepada LPF,” kata Yusof selepas tayangan malam gala filem seram baharu Harum Malam di GSC Starling di Petaling Jaya.

Semasa tayangan, filem ini menerima penarafan PG-13 daripada LPF, memaparkan pelbagai adegan di mana sebahagian kawasan skrin dikaburkan dan dialog diredam.

Penerbit Nandita Solomon dari Apparat Films berkata pada mulanya terdapat 17 potongan untuk filem itu, tetapi dikurangkan sehingga 14 potongan agar filem itu lepas untuk ditayangkan di pawagam.

Selain Yusof Haslam, seorang pengulas filem Mat Don turut meluahkan rasa ketidakpuasahan hati beliau kepada LPF.

Dalam ciapan yang dimuat naik di laman Twitter, beliau berkata bahawa tindakan LPF ini sebenarnya telah ‘menjahanamkan filem tempatan’ dan merosakkan pengalaman penonton.

“Kejutkan LPF daripada tidoq! Muted dialogue, blur & cut scene boleh merosakkan jalan penceritaan sesebuah filem serta mengurangkan atau memusnahkan pengalaman sinema penonton. COME ON LA!” Katanya di laman Twitter miliknya.

Syafiq Yusof pula dalam ciapannya berkata bahawa pihak LPF terlalu kebal sehingga segala keputusan yang dibuat olehnya tidak boleh dilawan di mahkamah.

Beliau mempersoalkan bagaimana di tahun 2022 ini masih ada satu undang-undang yang melindungi satu badan daripada dicabar oleh orang awam.

“Tahukah anda bahawa (LPF) Lembaga Penapisan Filem mempunyai KUASA MUTLAK yang TIDAK BOLEH DICABAR oleh MAHKAMAH?

Ya kawan2, kita di tahun 2023 negara demokrasi dengan kepimpinan reformasi, tetapi masih ada entiti yg kebal dari mahkamah,” katanya dalam ciapan yang dimuat naik pada 30 Januari lalu.

Harum Malam, filem arahan Dain Said dibintangi oleh Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein.

Ia mengisahkan mengenai seorang budak lelaki yang mempunyai kebolehan istimewa dan membesar di dalam keluarga yang menjalankan ilmu pengubatan tradisional.

Filem ini menerima Dana Geran Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bakal ditayangkan di 90 pawagam seluruh negara mulai 9 Febuari ini.