Hari ini Mahkamah Sesyen telah mendenda seorang ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana atas pertuduhan tidak melaporkan ‘permintaan suapan’ kepada pihak berkuasa pada tiga tahun lalu.

Memetik Berita Harian, hukuman itu dijatuhi Hakim Rozilah Salleh selepas tertuduh Zaidi, 38, mengaku bersalah terhadap pertuduhan sejurus dikemukakan kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa tidak melaporkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis suatu permintaan suapan wang tunai di sebuah hotel di Puchong, Selangor, pada Julai 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(4) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh berjumpa pegawai penguat kuasa di hotel berkenaan pada Julai 2019 dan pegawai tersebut meminta suapan wang tunai RM110,000 sebulan bagi tujuan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas majikannya. Bagaimanapun, sehingga kini tertuduh tidak melaporkan permintaan itu kepada mana-mana pegawai SPRM atau polis.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab yang mengendalikan kes memohon hukuman denda maksimum untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam bela tertuduh, Effa Azuin Aidrul Hisham merayu supaya hukuman denda sahaja dikenakan kerana isteri tertuduh dalam pantang selepas melahirkan anak kelima dan tertuduh menjaga bapa berusia 74 tahun, selain pengakuan salahnya itu juga menjimatkan masa mahkamah.

Selepas mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan serta rayuan peguam, Rozilah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM10,000 terhadap tertuduh.

Rozilah berkata, perbuatan tidak melapor permintaan suapan adalah satu kesalahan serius dan sekiranya dilaporkan ia dapat mengekang jenayah berkenaan berleluasa.

Difahamkan, SPRM juga kini dalam proses permohonan melucutkan aset tertuduh yang bernilai RM1 juta.

Baca lagi perkembangan kisah-kisah Addy Kana yang pernah kami kongsikan sebelum ini menerusi pautan di bawah.

Mahkamah Tinggi Benarkan Addy Kanna Dan Dua Anggota Polis Dibebaskan POCA Serta-Merta

Terlibat Aktiviti Macau Scam, 31 Polis Bersubahat Dengan Addy Kanna Bakal Diberhentikan Kerja