Pada tahun 2014 yang lalu, pengilang kereta China, Jiangling telah melancarkan model Landwind X7 yang sangat mirip dengan rekaan model Range Rover Evoque. Model berkenaan menimbulkan rasa tidak senang kepada Tata Group (syarikat induk kepada Jaguar Range Rover) dan pihak Tata Group telah mengemukakan tuntutan saman di mahkamah.

Mahkamah Daerah Chaoyang, Beijing baru-baru ini telah memutuskan untuk berpihak kepada Jaguar Land Rover setelah kenderaan berkenaan melanggar lima kes hak milik intelektual rekaan ciri unik Evoque.

Jiangling diperintahkan untuk segera menghentikan penghasilan Landwind X7 dan menghentikan penjualan kereta tersebut. Mahkamah juga telah memutuskan bahawa Jiangling perlu memberikan pampasan setimpal kepada Jaguar Land Rover dan nilaipampasan tersebut masih belum diumumkan.

range rover palsu
Rekaan Range Rover Evoque
Landwind
Rekaan Landwind X7

Sebelum ini, beberapa pengeluar kereta yang lain juga telah mencuba untuk memfailkan kes ke mahkamah berikutan pengeluar dari China meniru reka bentuk model kereta mereka selama bertahun-tahun, akan tetapi kes yang diadukan oleh mereka tidak berjaya dibawa ke mahkamah.

Berbeza untuk kali ini pula apabila kes yang melibatkan pengeluar China ini telah berjaya dibawa ke muka pengadilan. Ini adalah kes pertama mahkamah China berpihak kepada pengeluar kereta luar negara dan sedikit sebanyak bakal menguatkan kembali pasaran Jaguar Land Rover di China di masa akan datang.