Buah petai merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai bau yang kuat namun sangat menyelerakan apabila dimasak sekali dengan sambal atau dimakan begitu sahaja sebagai ulam-ulaman.

Buah yang umumnya dijamu oleh masyarakat dari Asia Tenggara ini bukan sahaja enak, malah ianya juga padat dengan khasiat sehinggakan buah ini turut dimakan oleh orang putih.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Secara umumnya, buah yang boleh didapati di pasar tani atau pasaraya ini dijual mengikut ikat. Namun, berbeza pula dengan usahawan ini yang memilih untuk menjual petai-petainya secara borong, runcit dan yang terbaharu, secara biji.

Melihat kepada perkongsian yang dibuat oleh usahawan ini pastinya menimbulkan persoalan. Betulkah petai-petai ini dijual secara sebiji-sebiji atau gimik semata-mata?

Untuk makluman, petai yang dijual oleh usahawan ini memang boleh didapati secara sebiji-sebiji untuk mereka yang kurang berkemampuan namun masih mahu menjamah petai.

Abdul Haq Bin Abdul Razak merupakan seorang usahawan sayuran dan buah-buahan dan jualanya terdiri dari petai, durian, strawberi dan juga sayuran lain yang dikumpul beliau dari Cameron Highland dan dijual di Sedim, Kulim, Kedah.

Menurut Haq, terdapat peningkatan permintaan untuk petai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan. Ekoran permintaan yang tinggi dan harga petai Cameron yang mahal, maka tercetuslah idea untuk menjual petai secara biji.

“Untuk mereka yang tiada pendapatan atau kurang berkemampuan dan masih mahu makan petai tapi tak mampu sebab harga petai Cameron yang mahal, bolehlah beli petai secara sebiji-sebiji dari saya. Nak sepuluh biji pun boleh, nak lima biji pun boleh,” ujar Haq kepasa team The Vocket.

Menurut usahawan itu lagi, harga petai yang dijual oleh beliau secara umumnya memang agak mahal dari penjual yang lain jika dibeli secara borong. Hal ini kerana petai yang dijual beliau adalah dari Cameron dan memang terkenal dengan kualitinya yang tersendiri.

“Ramai yang complain kepada saya dan kata bahawa petai Cameron ini dijual dengan harga Yahudi, tapi untuk mereka yang pernah rasa sendiri petai ini pasti tahu tentang kualiti dan rasanya yang lemak manis. Kerana itulah petai ini dikatakan petai yang terbaik dari petai yang lain seperti petai Siam, contohnya,” jelas Haq.

Terima sambutan yang memberangsangkan

photo_2021-02-06_15-08-11
SUMBER: FACEBOOK ROB MACHADO

Petai yang dijual secara sebiji-sebiji ini memang kedengaran agak aneh akan tetapi jualan ini mendapat sambutan yang baik dari pembeli. Menurut Haq, permintaan untuk jualan petai secara sebiji-sebiji memang agak memberansangkan.

Difahamkan, ramai yang ingin membeli petai secara sebiji-sebiji sehinggakan ada yang meminta beliau untuk mengepos petai-petai tersebut. Tambah Haq lagi, musim PKP dan kesukaran untuk keluar dari rumah juga telah mendorong kepada peningkatan permintaan tersebut

“Bagaimanapun, saya tak galakkan pembeli meminta petai ini untuk dipos kerana saya bimbang jika kualiti terjejas dan saya juga tak mahu pelanggan saya untuk menunggu lama-lama. Saya lebih galakkan kalau mereka ambil sendiri atau saya sendiri yang hantarkan ke rumah,” Jelas Haq kepada team The Vocket.

“Pelanggan selalunya akan beli dalam sepuluh ke tiga puluh biji. Untuk pelanggan yang nak masak untuk keluarga pula selalunya akan beli secara pack terus dengan harga RM10 untuk 100 gram,” tambah Haq lagi.

Meskipun usahawan ini berpangkalan di Kulim, Kedah, petai-petainya masih boleh dinikmati oleh mereka dari negeri-negeri yang lain kerana beliau turut juga mempunyai agen untuk setiap negeri.

Baca juga perkongsian kami yang lain melalui pautan di bawah. Selamat membaca!

Mahu Bantu Mereka Yang Terkesan Kerana Pandemik, Aeril Zafrel Buka Lebih 2,000 Peluang Pekerjaan

Tidak Mahu Pekerja Hilang Kerja, Pengusaha Hotel Ini ‘Turun Padang’ Jual Makanan Serendah RM3

Dikecam Netizen Kerana Tidak Membantu, Ahli Keluarga ‘Atok Long’ Tampil Perjelas Situasi Sebenar

Sumber