Nama Aeril Zafrel memang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Selain dari berlakon, jejaka tampan ini juga turut mengusahakan perniagaan kosmetik bersama isterinya, Wawa Zainal.

Baru-baru ini, pelakon dan usahawan yang berusia 33 tahun itu dikhabarkan bakal membuka perniagaan baru berasaskan makanan ringan yang diberi nama Rielkies.

Apa yang menariknya, pembukaan perniagaan baharu tersebut difahamkan bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat yang terkesan ekoran penularan Covid-19.

Menurut Aeril, terdapat 2000 orang peniaga yang sudah tampil berdaftar dan mahu memasarkan produknya yang bakal dilancarkan pada 21 Februari 2021 ini. Aeril yang pada awalnya hanya mencari 1000 orang sahaja membuat keputusan untuk menambahkan bilangan kerana permintaan yang tinggi.

“Kebanyakan yang menghantar menghantar mesej peribadi (DM) adalah mereka yang diberhentikan kerja, ingin membantu suami dan gajinya dipotong. Ini juga tujuan utama saya mewujudkan perniagaan ini yang mana saya ingin membantu mereka yang benar-benar memerlukan sumber pendapatan,” ujar Aeril.

Menerusi akaun peribadi Instagram miliknya, Aeril menjelaskan bahawa beliau memilih untuk membuat operasi perniagaan di wisma meskipun perniagaannya itu masih baru kerana beliau yakin bahawa perniagaannya boleh berkembang maju.

Aeril turut meminta agar para peminat mendoakan agar beliau menjadi sebaik-baik manusia dan ketua serta berharap agar semuanya dipermudahkan.

“Niat saya untuk melabur dalam perniagaan adalah untuk membantu lebih ramai lagi dan semoga memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Aeril dan isteri merupakan figura pasangan yang sering menjadi contoh merpati dua sejoli yang bukan sahaja romantis, tetapi bersama-sama menguruskan perniagaan. Diharapkan perniagaan terbaharu Aeril ini bakal dipermudahkan agar beliau boleh membantu mereka yang terkesan.

Ingin membaca lebih banyak lagi perkongsian mengenai industri hiburan tempatan? Klik pada pautan di bawah!

Mahu Jaga Nama Baik Keluarga, Syafi Tee Elak Babak Bersentuhan Dalam Lakonan

‘Satu Dalam Sejuta’- Ketabahan Edika Yusof Terus Setia Jaga Isteri Lumpuh Buat Netizen Terharu