Selain aplikasi media sosial, MySejahtera sudah menjadi salah satu aplikasi mudah alih paling penting di dalam telefon pintar masing-masing. Menerusi aplikasi tersebutlah kerajaan dapat memantau perkembangan orang ramai dan menawarkan program dos penggalak.

Terbaharu, Kiosk Bantuan MySejahtera dalam bentuk fizikal kini dibuka untuk penduduk sekitar Lembah Klang. Tujuan kiosk tersebut diadakan supaya dapat membantu orang ramai yang mempunyai masalah atau pertanyaan mengenai aplikasi tersebut.

Menurut ciapan rasmi MySejahtera, kiosk ini hanya menawarkan bantuan penyelesaian terhadap isu-isu di aplikasi MySejahtera kecuali daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri. Manakala Kiosk Bantuan MySejahtera untuk PPV industri pula akan diumumkan pada satu tarikh yang ditetapkan kelak.

Sebagai permulaan, kiosk ini hanya dibuka pada hari hujung minggu di dua lokasi sahaja bermula 19 Februari sehingga 13 Mac untuk World Trace Centre (WTC) Kuala Lumpur dan 26 Februari sehingga 6 Mac yang bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.

Setakat artikel ini tulis, kiosk tersebut ternyata mendapat sambutan orang ramai pada hari pertama beroperasi apabila nombor giliran sudah pun habis dikeluarkan pada pukul 11 pagi tadi dan orang ramai yang merancang untuk datang pada waktu petang diminta untuk hadir pada hari operasi seterusnya.

Ekoran itu, netizen meminta agar pihak kerajaan dapat membuka lebih banyak Kiosk Bantuan MySejahtera di lokasi berbeza supaya orang ramai tidak tertumpu memenuhi pada satu-satu tempat.

Jika anda mempunyai masalah mengenai aplikasi MySejahtera, pastikan anda cuba hadir seawal mungkin dan bawa dokumen-dokumen yang diperlukan bagi memudahkan urusan semasa berada di kiosk nanti. Klik sini untuk lihat dokumen yang perlu dibawa.

Pada masa sama, pihak MySejahtera turut melarang mana-mana individu yang yang mempunyai masalah notis HSO lambat dikeluarkan, untuk kes kontak rapat atau positif COVID-19, anda tidak dibenarkan hadir ke kiosk bantuan MySejahtera.

Bagi individu-individu yang berada di bawah HSO, anda semua diminta untuk menggunakan ‘Interaktif Helpdesk’ pada aplikasi MySejahtera untuk bertanyakan mengenai masalah pada aplikasi ini.

Ibu bapa yang mahu mendaftar vaksin untuk anak-anak bolehlah buat menerusi aplikasi MySejahtera. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Pendaftaran Vaksin Kanak-Kanak Berusia 12 Tahun Dan Ke Atas Dibuka Menerusi Aplikasi MySejahtera

Sumber