Dalam usaha membantu para usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara REV Media Group (RMG) dan MyMall melalui SME Bank.

RMG telah dilantik oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai rakan strategik untuk inisiatif MyMall ini dan acara pertukaran memorandum persefahaman terbabit telah disaksikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Selangor, Jumaat lalu.

Untuk pengetahuan anda, KUSKOP telah memperkenalkan sebuah platform digital yang dinamakan MyMall dan ia adalah platform pembangunan ekosistem keusahawanan yang dikhususkan kepada usahawan serta produk-produk tempatan. MyMall merangkumi empat paksi utama; e-dagang, latihan, pembiayaan, dan pemasaran.

Sebagai rakan strategik, RMG akan membantu para usahawan PKS di Malaysia dengan memberikan peluang kepada mereka untuk menggunakan khidmat platform pengiklanan REV Ad Manager (RAM).

RAM adalah gandingan bersama REV Media Group dan Dattel Asia Group, sebuah syarikat data dan analisis pengguna yang menawarkan satu penyelesaian unik dalam memperkasakan jenama dan agensi untuk menyasar audiens berdasarkan pandangan pengguna strategik.

Ketua Pegawai Operasi RMG, Nicholas Sagau berkata RMG akan memberikan kredit percuma kepada para usahawan PKS dan ahli komuniti perniagaan MyMall untuk mereka mula mengiklankan produk dan perkhidmatan perniagaan mereka. Para usahawan PKS akan dibantu oleh REV Marketing Partners iaitu rakan kongsi platform RAM untuk proses pemasaran produk dan perkhidmatan di MyMall.

Dengan menggunakan platform REV Ad Manager, usahawan PKS dapat mengiklankan produk mereka secara terus dan memanfaatkan 15.8 juta pelawat unik pada rangkaian audiens RMG di jenama-jenama terkemuka seperti Vocket, Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times dan banyak lagi.

Sementara itu, Kiddocare juga pernah menggunakan perkhidmatan Rev Ad Manager. Klik pautan di bawah untuk ketahui lanjut.

Jualan Meningkat 5 Kali Ganda, Kiddocare Puas Hati Guna Perkhidmatan REV Ad Manager

Mudah Dan Memuaskan, REV Ad Manager Buka Peluang Bantu Promosi Perniagaan Tempatan