Bila cantik luaran yang terlalu dikejar, habis rosak organ dalaman! Umur 33 tahun, sudah berkahwin, anak besar dua orang. Kerja model sambilan.

Nampak lawa, putih melepak. Comel. Kurus. BMI normal 22. Sebelum ini, sihat sahaja. Tidak ada sakit apa-apa. Datang hospital sebab loya, rasa nak muntah selama seminggu.

Ya Allah, memang Doktor terkejut melihat keputusan darah. Buah pinggang dan hati rosak. Teruk bacaan darah fungsi buah pinggang iaitu: Creatinine 486 umol/L (normal kurang daripada 100) dan bacaan fungsi hati: Alanine Transferase 2633 IU/L (normal bawah 140).

Mula-mula pening juga memikirkan. Tanya ambil apa-apa, tak mengaku. Tapi lepas kami menyoal (dah kami kena buat ala-ala interogasi), akhirnya beliau mengaku mengambil kopi yang dicampur macam-macam. Katanya untuk kurus!!! Pelik, betul-betul pelik dunia sekarang ini.

Beliau ambil kopi campuran ini sahaja, tak makan benda lain! Nasi, sayur, ayam, ikan, semua beliau tak sentuh. MasyaAllah. Hairan saya, tak lapar ke? Tak kurus mana pun! Mana taknya, kalori 1 sachet ini pun dah dekat 500kcal.

kopi terlarang oleh KKM

Jangan sekali-kali percaya kopi atau teh campuran yang dikatakan boleh kurus. Kalau ambil benda-benda begini dan anda tidak lalu makan, mungkin ada terdapat bahan terlarang.

Salah satu contoh bahan terlarang yang kerap dicampurkan dalam minuman seperti kopi dan teh adalah sibutramine. Boleh rujuk gambar-gambar info lain juga yang saya sertakan.

racun dalam produk

Pandailah penjual nak menipu. Kalau letak campuran 10,000 dalam 1 dalam kopi atau teh, mereka-mereka ini tidak perlu memohon kelulusan KKM. Lepas itu, mungkin suka-suka masukkan bahan terlarang untuk jadi lebih ummmmph.

Nasihat saya:
1. Yang BMI normal, tak payahlah nak kurus lagi. Terimalah seadanya.
2. Yang BMI lebih dan nak kurus pula, jangan ambil jalan mudah.

Lemak tepu yang terkumpul berpuluh tahun tidak akan hilang dalam masa sebulan! Yang suruh makan minum supplement itu ini, mengarut. Pergi pakai kasut (selipar pun boleh), jalan-jalan di taman. Ini tidak perlu belanja langsung. Makan pula kenalah berpantang, Bukan pantang tengok!!

Jangan kita lalai dan lupa yang cantik dalaman sebenarnya lebih indah. Tak pasal-pasal dapat penyakit.

Pedulikan rupa luaran!

Rafidah Abdullah
Pakar Perunding Perubatan & Buah Pinggang
#MedTweetMY

Dziehan Mustapa
Pegawai Farmasi
Medical Mythbusters Malaysia (M3)