Saya terbaca satu luahan panjang di satu group Facebook, dan pernah juga saya dengar beberapa kali dari followers atau kawan. Mereka ingin berhijrah ke luar negara bersama keluarga kerana tak tahan kerja di Malaysia. Lebih-kurang begitulah.

Di sini saya menulis tentang beberapa perkara yang perlu difikirkan sebelum anda ambil keputusan mahu berhijrah mencari kerja di luar negara agar tindakan anda tidak disusuli penyesalan.

1. Perlu Mencuba dan Mencuba

Pertamanya, penghijrahan ke luar negara bukan satu perkara yang boleh kita tentukan sendiri. Bukan kita yang tentukan kita nak pergi mana kerana ia sangat tertakluk kepada supply & demand dan juga polisi setiap negara.

Kita cuba yang terbaik, dan cuba untuk beberapa negara. Berjaya atau tidak akhirnya tertakluk kepada rezeki kita sendiri yang ditentukan oleh Tuhan. Saya tidak religious jadi saya tidak tahu untuk terangkannya. Tetapi lebih-kurang, bila dan kalau ia kepunyaan kita, ia akan kita dapat. Jadi jangan putus asa.

Tidak berjaya tidak bermakna anda satu kegagalan. Ia hanya bermakna, ia belum milik anda, ataupun ia bukan untuk anda. Nantilah lain kali saya cerita pasal interview saya 8 kali dengan Apple di Cupertino.

2. Rupa Tidak Semestinya Seindah Khabar

Keduanya, walaupun anda selalu lihat di media sosial kehidupan yang semuanya indah dan mudah, apa yang anda perhatikan mungkin tidak melambangkan realiti sebenar. Saya beri contoh, di Amerika Syarikat, secara purata setiap keluarga mempunyai hutang kad kredit sebanyak $8,377 (RM35k) menurut CNBC.

Lagi satu, faktor generasi juga memainkan peranan. Kebanyakan orang yang hidup senang adalah orang generasi kedua (ertinya ibubapanya sudah ada rumah di sana), bukan orang yang baru datang. Atau orang yang kahwin dengan orang tempatan jadi secara automatik kemudahan sudah tersedia untuknya.

Lebih-lebih lagi, jangan terpengaruh dengan tulisan-tulisan mereka yang baru belajar setahun jagung di luar negara tetapi lantang membandingkan bagaimana seronoknya mereka berbanding duduk di kampung. Orang luar lebih bertamadun, lebih bersih, lebih pandai beratur, itu ini.

Itu tulisan orang yang terkejut. Orang Malaysia bukan orang dunia ketiga. Kualiti hidup di sana tidak jauh berbeza dari negara maju cuma kuasa membeli itu kurang disebabkan kejatuhan Ringgit.

3. Persediaan Kewangan dan Emosi

Ketiganya, anda tidak boleh pergi dengan tangan kosong. Kalaupun anda sudah mendapat tawaran kerja, anda harus ada 6,000-10,000 ($/Euro/Pound) untuk dibawa. Bulan pertama, semuanya akan habis sementara anda mencari rumah dan membuat segala persediaan.

Di setengah tempat seperti Amerika, anda tidak boleh tidak ada kereta. Adakah anda akan menyewa dulu sebelum beli atau terus beli kereta buruk? Kedua-duanya memerlukan modal.

Kalau anda sudah berkeluarga, anda tidak boleh bawa mereka semua terus, melainkan tempat yang memberi tawaran itu memang akan memperuntukkan bantuan kewangan serta khidmat untuk mencari rumah, mencari sekolah dll.

Anda harus pergi seorang dulu, biar stabil di tempat itu (mana tahu kalau kena tipu?), dan lebih kurang 6 bulan selepas itu baru anda cukup bersedia untuk pulang dan membawa keluarga sekali.

Adakah anda sanggup berpisah?

Baca: Ejen Cari Kerja Janji Gaji Lumayan Di Korea, Lelaki Ini Dedah Bagaimana Beliau Ditipu

cara-bekerja-luar-negara-2

4. Taraf Pekerjaan dan Taraf Sosial

Keempatnya, tidak berbaloi untuk pergi dan hanya mendapat kerja substandard. Ini pendapat saya, orang lain mungkin lain. Kalau nak bekerja di luar negara, dapatkanlah pekerjaan dan gaji yang mampu memberikan hidup kita setaraf dengan semua orang lain supaya anda tidak rasa terpinggir.

Juga jika anda mempunyai anak-anak, supaya mereka tidak perlu tinggal di tempat-tempat yang murah (ghetto) kerana dikhuatiri ia akan memberi mereka pengaruh yang kurang sihat seperti dadah, kongsi gelap dsb.

5. Integrasi Generasi Kedua Bersama Masyarakat

Kelima, anda perlu tentukan apakah tahap toleransi anda, terutamanya terhadap generasi kedua anda yang membesar dalam budaya asing. Mereka perlu berintegrasi dengan anak-anak orang lain. Tetapi pada masa yang sama, apakah reaksi anda jika bila mereka besar kelak mereka membawa balik GF/BF.

Ini ialah senario yang realistik. Mereka akan lebih pandai dari anda sebab mereka membesar di sini sedangkan anda tidak. Adakah anda akan masukkan mereka ke satu jenis masyarakat saja (masyarakat Melayu/Muslim)? Atau bagaimana?

Untuk isu ini, mereka yang berkahwin dengan orang tempatan yang lebih arif tentang hal ini.

6. Menyimpan Duit, Antara Impian dan Realiti

Keenam, anda tidak boleh jadikan duit sebagai sasaran utama kalau anda berkeluarga.

Anda mungkin akan dapat simpan duit, atau mungkin tidak. Kalau anda ada anak-anak, keselesaan dan keselamatan mereka perlu menjadi prioriti pertama. Antaranya adalah insurans untuk mereka, nursery, childcare, dll.

Di setengah negeri di Amerika, ada had berapa orang boleh tidur sebilik, termasuk anak-anak. Dan ada juga tuan rumah yang tak bagi anak lelaki campur dengan anak perempuan (yes, they’re more conservative than you). Untuk bacaan lanjut, sila baca di thespruce.com.

Menurut pengiraan saya, kalau dalam keluarga itu cuma ada satu punca pendapatan, agak susah untuk menyimpan.

Sebaliknya ambillah benda ini sebagai satu pengalaman baru untuk anda dan sesuatu yang mampu membuka peluang untuk generasi anda hidup di luar negara selepas ini. Pengorbanan itu pengorbanan anda untuk mereka.

7. Penghijrahan Melalui Perkahwinan

Kahwin dengan orang tempatan ini 50-50. In the long run, sama ada dia ikut cara anda, atau anda terikut cara dia. Ataupun separuh-separuh. Tak boleh paksa untuk ikut cara anda sebab itu negara dia, tempat dia, budaya dia.

Ada orang yang toleran dan fleksibel, ada yang tidak. Sometimes it works, sometimes it’s dysfunctional. Jadi dari awal anda perlu tahu sebanyak manakah yang anda sanggup ikut tanpa mengalami konflik dalaman nanti.

Rumusan

Ada banyak perkara yang anda harus fikir dan buat persediaan. Ini tidak mengatakan duduk di Malaysia adalah yang terbaik untuk semua orang. Kalau apa yang anda mahu terdapat di luar, anda harus cuba mencapai impian anda. Tetapi semua ini bukan berlaku seperti daun yang gugur dari pohon pada musim luruh.

Saya sendiri? Saya menetap di luar negara tapi 90% dari duit saya kekal di Malaysia (hanya ‘EPF’ saja disimpan di New York). Itu melambangkan konfiden saya terhadap ekonomi tanahair pada jangkamasa panjang.

Bagi wanita yang berkelayakan, anda boleh cuba mohon kerja di IAEA Vienna.

Daripada pautan-pautan yang terdapat di link di atas, anda akan dapat pautan ke senarai kerja kosong. Bonus,  di situ ada orang Malaysia bekerja, dan selalu juga dapat pelawat dari Malaysia (agensi Nuklear). Jadi anda tak rasa sunyi.

Baca lagi: Cara Mohon Kerja Dengan PBB Dari Perkongsian Rakyat Malaysia Bekerja Di Vienna