Bagi mereka yang bekerja sebagai wartawan pastinya tahu kesibukan bagaimana yang perlu ditempuh dalam kerjaya ini. Ditambah apabila perlu mengejar deadline bagi setiap tugasan, dan di waktu yang sama adakalanya dihantar membuat liutan di luar kawasan (dan di luar negara).

Begitulah yang dilalui oleh Cik Zairina Zainudin yang bekerja sebagai wartawan. Namun apa yang menarik, di sebalik segala kesibukan tersebut beliau membulatkan tekad untuk menyambung pengajian di peringkat Master in Integration Marketing and Communication.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pengajian Zairina kini telah pun memasuki semester ke 5. Dan ujar gadis ini, “sekarang saya tengah tunggu keputusan peperiksaan. Maknanya dah 2 tahun setengah saya belajar dan masuk ke kelas.”

Cabaran belajar sambil bekerja

Menurut Zairina bekerja sambil belajar bukan perkara yang mudah. “Saya percaya mereka yang mengambil langkah 2 dalam 1 ini banyak melakukan pengorbanan, baik dari segi masa, wang ringgit hingga kepada keperluan sosial.”

Bagi Zairina sendiri, cabaran paling besar yang perlu dihadapi adalah pembahagian masa.”Kerjaya saya sebagai seorang wartawan amat mencabar sebab jadual waktu kerja tidak menentu. Kerja membuat liputan perlu mengikut masa acara majlis dan terikat dengan VIP.  Andai kata VIP datang lambat ke majlis, waktu program akan ‘lari’ membuatkan masa yang sepatutnya ada untuk menghadiri kelas malam terganggu.”

Hujung minggu juga bagi Zairina bukanlah waktu untuk berehat. “Kalau cerita hujung minggu pula, belum tentu dapat cuti sabtu dan ahad. Kadang-kadang kena kerja secara kecemasan kerana faktor staff  tak cukup, kawan jatuh sakit dan adakala kerana banyak perkara dan berita perlu dibuat liputan.”

Pernah juga Zairina dihantar bertugas ke luar negara di saat-saat akhir dan ini turut menjejaskan perancangan beliau untuk menyiapkan tugasan belajar mengikut masa yang telah diperuntukan.

“Ada ketika saya perlu melakukan liputan luar negara secara mengejut seperti lagi seminggu sebelum tarikh fly, baru organiser hantar surat jemputan. Kena pula saya yang ditugaskan oleh boss sebab giliran memang dah sampai pada nama saya.”

Malahan menurut Zairina, dalam banyak keadaan beliau perlu mengutamakan tugas hakiki sebagai wartawan melebihi tugasan belajar kerana ia merupakan satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.

“Pernah juga saya minta maaf pada ahli kumpulan (study group) sebab tak dapat turut serta untuk ‘group presentation‘ gara-gara jemputan saat akhir untuk membuat liputan. Bila begini saya redha saja kalau professor cakap markah saya akan diberi secara pro-rate. Bahayanya di sini adalah saya tak tahu sejauh mana persediaan ahli kumpulan yang lain. Tetapi daripada dapat markah kosong, lebih baik pro-rate.”

Bertugas di luar negara memang menyeronokkan. Apatah lagi jika di waktu yang sama dapat turut berjalan dan melihat tempat orang. Tetapi bagi Zairina, ia turut datang bersama cabaran lain.

“Kalau cerita bab travel lagi lah. Kalau buat liputan di luar negara selalunya pihak organiser mesti akan bawa jalan-jalan sikit kat mana-mana tempat menarik kat negara tu. Saya ingat lagi, boss pernah tawarkan saya job ke Turki. Seronoknya Allah sahaja yang tahu sebab saya belum pernah ke Turki.

Mungkin ini masa untuk saya merayap dan melihat Turki secara sampingan. Tapi keseronokan tu tak lama bila mana boss maklumkan tarikh job, saya terus down sebab tarikh tu beretmbung dengan tarikh peperiksaan. Sentap.”

I’m here for the announcement of 2050 National Transformation (TN50) by Prime Minister later tonight.. TN50 will be our guide in transforming the nation towards the year of 2050, charting our way after achieving the 2020 Vision (mooted by Tun Mahathir).

Minat travel dan cabaran antara kerjaya vs belajar

Sebagai seorang yang minat mengembara pastinya ada ketika Zairina juga ingin meluangkan masa bagi melakukan aktiviti yang digemari ini. Menurut Zairina beliau perlu bijak memilih masa.

“Kerjaya wartawan ni bukan setiap masa free. Ada ketikanya cuti beku. Bukan seminggu, tapi sebulan dua. Sebagai contoh, bila tiket kapal terbang dah beli dan dah dekat masa nak travel tiba-tiba banjir besar berlaku. Secara automatik cuti dibekukan. Malahan yang sedang bercuti pun dipanggil bertugas.”

Contoh lain yang turut dikongsikan Zairina adalah bila melibatkan acara tahunan. Pada Oktober setiap tahun adalah bulan pembentangan bajet negara tapi tarikhnya tidak tetap. Maka sepanjang sebulan ini cuti beliau dibekukan. Begitu juga bila melibatkan pilihanraya, acara sukan peringkat antarabangsa, dan lain-lain lagi.

Baca: Bagaimana Travel Sambil Jalankan Misi Kerja Amal Beri Kepuasan Berbeza Kepada Gadis Ini

Bagaimana pula penerimaan keluarga

Bagi Zairina sendiri, beliau tidak kisah bila perlu korbankan masa demi melanjutkan pelajaran sambil bekerja. Malahan hujung minggu Zairina lebih banyak dihabiskan sama ada di depan laptop dan buku-buku di rumah atau menelaah di Perpustakaan Negara bagi menyiapkan tugasan master.

“Dulu balik kerja boleh layan cerita-cerita Korea dan drama Melayu di waktu malam. Hujung minggu pula boleh keluar dengan kawan-kawan dan keluarga, hang out dan makan-makan. Sekarang semua tu jadi terbatas.”

Ujar Zairina beliau beruntung kerana keluarga sangat memahami situasi yang sedang dilalui. “Bila tengok saya sibuk bukak buku, duduk depan laptop, masing-masing akan faham bendera ‘Jangan Kacau’ sedang berkibar.

Paling terasa bila mak ajak teman pergi kenduri atau majlis keramaian, saya kerap terpaksa tolak sebab nak peruntukkan masa untuk assignment atau bertembungdengan kelas. Waktu bersosial dengan keluarga juga jadi terhad.”

Media luncheon with Minister of International Trade and Industry DS Mustapa Mohamed. He walk fast, talk fast, eat fast, all fast and its not easy to chase him ya.

Faktor mendorong Zairina sambung belajar

Mak ayah saya bukan orang senang. Perit jerih mereka mencari duit sekolah kan kami adik-beradik jadi pendorong saya untuk sentiasa belajar. Saya pasang niat, belajar betul-betul. Kalau tak pandai tak apa. Janji jangan malas dan sentiasa ada keingingan untuk belajar.

Di situ saya akan push diri untuk menjadi lebih baik. Saya bercita-cita paling kurang belajar sampai dapat genggam Master. Ada rezeki, mungkin saya pertimbangkan PHD.

Sewaktu konvokesyen ijazah (pengajian International Business Management di UUM), saya tengok ekspresi mak dan ayah. Tergambar kegembiraan di wajah mereka bila dapat turut serta majlis graduasi saya. Seperti ibu bapa yang lain, mereka juga barangkali bangga anak terima ijazah. Jadi inilah satu lagi faktor yang buat saya nak siapkan Master. Saya nak mereka terus bangga dengan pencapaian saya.

Mengakhiri perkongsian, menurut Zairina beliau bakal menempuh thesis yang mesti disiapkan pada semester depan. Jika semuanya berjalan lancar, insya allah Zairina akan menamatkan Master dan menyambut graduasi pada bulan September atau Oktober tahun ini.

Kami di Vocket mendoakan agar Zairina berjaya dengan cemerlang dan dapat mengembirakan ibubapa beliau sekali lagi. Melihat orang tua tersenyum dengan pencapaian kita adalah satu nikmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Segala jerih payah dan lelah yang ditempuh terasa hilang bila melihat mereka riak wajah bangga mereka di hari graduasi.

Baca lagi: Kisah Silam Ayah Buat Saya Mahu Harumkan Namanya Dalam Bidang Sains