Tular satu hantaran Facebook yang dimuat naik oleh seorang lelaki yang mahu menjual motosikal Yamaha RX-Z tahun 2001 bagi membina sebuah surau di sebuah pusat rekreasi di Gopeng.

Memetik portal mStar, Izrul Nizam, pemilik motosikal tersebut menyatakan hasrat itu selepas beliau bertemu dengan pemilik pusat rekreasi tersebut iaitu ikon penjelajah negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang lebih dikenali sebagai Qobin di Sungai Itik, Gopeng, Perak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Saya dijemput ke tempat itu baru-baru ini. Luas tempatnya, ada chalet dan tempat perkhemahan bersebelahan sungai. Saya sangat tertarik dengan tempat tersebut.

“Saya memberikan cadangan kepada sahabat saya untuk bina surau yang boleh menganjurkan pelbagai program keagamaan serta menjemput para penceramah. Tambah saya lagi, biarlah surau tersebut dibina dengan lengkap siap dengan kubah sekali,” ujar Izrul ketika dihubungi wakil portal mStar.

Menurut Izrul, bagi memulakan projek ini, beliau sedang menjual motor RX-Z kesayangannya pada harga RM20,000 dan keseluruhan hasil jualan itu akan disalurkan untuk pembinaan surau berkenaan.

Sumber Gambar: Facebook Bat Jacko

Tambahnya lagi, beliau sejujurnya amat sayang untuk melepaskan motosikalnya kepada orang lain, namun demi ‘saham akhirat’, beliau terpaksa berbuat sedemikian. Beliau telah membeli motor tersebut pada tahun lalu pada harga RM15,500 dan membaik pulih dengan kelengkapan original menjadi seperti baharu dan tidak pernah menunggang jauh motosikal tersebut.

“Saya bukanlah baru main motor, saya sudah pakai RX-Z sejak tahun 90-an lagi. Tapi Nabi Muhammad S.A.W pun pernah pesan, kalau nak mendermat atau infaq, berilah barangan yang kita paling sayang.

“Inilah ujian untuk saya, adakah saya sanggup untuk berkorban demi agama, lepaskan benda yang paling sayang? Saya berasa sedih, namun saya rela lepaskannya,” kata Izrul.

Sumber Gambar: Facebook Bat Jacko

Walaupun ada segelintir pihak yang salah faham dengan hantaran Facebook tersebut dengan menawarkan harga lebih murah daripada yang diminta, Izrul masih bersabar menunggu pembeli yang mahu berkongsi saham akhirat sama-sama dengannya.

Beliau membuka peluang ini kepada sesiapa sahaja dan boleh terus berurusan dengannya melalui Facebook. Pembeli hanya perlu datang untuk urusan ambil motosikal dan menukar nama sahaja. Seterusnya, RM20,000 itu akan diserahkan kepada tuan tanah untuk pembinaan surau.

Setakat artikel ini ditulis, proses pembinaan masih belum dimulakan, namun tanah di tapak surau berkenaan sudah pun diratakan. Jika anda berminat untuk berkongsi ‘saham akhirat’ bersama-sama dengan Izrul, bolehlah hubungi beliau di sini.

Pada awal tahun lalu seorang lelaki berjaya jual Nissan GT-R miliknya untuk biayai dana kerja amal yang dilaksanakan oleh pasukannya. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Lelaki Ini Sanggup Jual Nissan GTR Miliknya Untuk Biayai Dana Kerja Amal

Selepas Dihadiahkan Motosikal, Netizen Tumpang Gembira Abang Viva Viral Terima Mitsubishi Triton

Sumber