Tular beberapa klip video di mana dua kanak-kanak lelaki dijumpai  di dalam Toyota Vios tanpa ada orang dewasa di dalam kereta tersebut.

Menurut laporan Berita Harian, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikesan memandu kereta milik keluarganya sehingga terbabit kemalangan di Jalan Bukit Tangga di sini, malam tadi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer dari rumah bersama adiknya berusia tiga tahun untuk ke kedai, membeli mainan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, mengesahkan kejadian dalam video tular itu berlaku di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, berhampiran Kampung Titi Chanwang jam 11.15 malam.

Beliau berkata, dalam kejadian itu kereta terbabit dilaporkan dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun manakala adik lelakinya berusia tiga tahun menjadi penumpang. Mereka keluar menaiki kereta tersebut tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Kampung Ulu Melaka menghala ke Kampung Nyiur Chabang telah terbabas dan melanggar tiang lampu berhampiran Kampung Titi Chanwang.

“Susulan itu, pemandu kereta luka di dahi manakala penumpang tidak cedera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, kereta terbabit dipercayai dipandu kanak-kanak terbabit dari kediaman mereka di Kampung Padang Mengkuang, Mukim Ulu Melaka sejauh 2.5 kilometer tanpa pengetahuan ibu bapa.

“Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.