Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Meneruskan misi untuk menyemarakkan kebaikan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan masyarakat, Harian Metro berganding bahu dengan Hijrah bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik sempena bulan Ramadan tahun ini di samping membantu menyediakan kelengkapan dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Usaha murni itu dilaksanakan di bawah kempen ‘Hijrah, Bermula Dari Hati’ menerusi program kerjasama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Hijrah. Hijrah ialah produk susu krimer manis pilihan rakyat Malaysia yang diiktiraf seratus peratus halal.

Sebagai jenama yang prihatin, Hijrah mengambil inisiatif membawa lebih banyak kebaikan dan memberi sumbangan yang diperlukan oleh masyarakat sejajar dengan istilah ‘Hijrah’ itu sendiri.

Sebanyak 150 keluarga kurang berkemampuan dan 150 kanak-kanak asnaf diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Rinching Hilir, Kampung Rinching Hilir, Bangi, baru-baru ini.

Selain itu, terdapat lima kampung terbabit dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini iaitu Kampung Rinching Hilir, Kampung Sungai Kembong Hulu, Kampung Sungai Kembong Hilir, Kampung Batu 5 dan Kampung Batu 4.

Selain Kotak Rezeki, Hijrah Bermula Dari Hati juga membawa kanak-kanak membeli-belah pelbagai kelengkapan bagi menyambut Hari Raya di pasar raya di Bangi. Setiap kanak-kanak diperuntukkan sebanyak RM150 untuk membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri seperti baju Melayu, baju kurung, songkok dan tudung mengikut cita rasa masing-masing.

Program Titipan Kasih Harian Metro bersama Hijrah diteruskan dengan penyampaian sumbangan duit raya dan Kotak Rezeki yang mengandungi pelbagai barangan keperluan harian termasuk susu krimer manis Hijrah, beras, gula, minyak masak dan tepung bernilai RM150 sekotak kepada 150 keluarga yang kurang berkemampuan.

Keluarga dan kanak-kanak ini kemudiannya diraikan dalam majlis berbuka puasa di pekarangan Masjid Rinching Hilir. Juadah berbuka puasa termasuk bubur lambuk disediakan secara bergotong-royong oleh ahli jawatankuasa masjid, penduduk kampung serta sukarelawan daripada Harian Metro dan Hijrah.

Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Program TKHM, Husain Jahit berkata, Harian Metro berbesar hati dapat bekerjasama dengan Hijrah buat kali kedua berturut-turut bagi membantu lebih ramai masyarakat memerlukan.

“Sejajar objektif TKHM menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami adalah untuk membantu keluarga miskin, anak-anak yatim, serta golongan asnaf termasuk ibu tunggal miskin dengan memberikan bantuan berupa barangan keperluan asas serta sedikit wang tunai,” katanya di Program TKHM Bersama Hijrah di Masjid Rinching Hilir, di Bangi, baru-baru ini.

Hadir sama, wakil jenama Hijrah, Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan, Mohd Zurairi Mustafa dan Pengarang Berita HM yang juga Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei), Santharuban Thurai Sundaram berkata, walaupun negara kian kembali normal, ramai yang masih bergelut akibat wabak COVID-19.

“Hijrah menyedari kepentingan usaha daripada semua pihak untuk mengharungi cabaran kehidupan dan oleh sebab itu mereka berharap kempen ini akan mengingatkan rakyat Malaysia bahawa mereka tidak keseorangan dalam apa jua cabaran yang mereka tempuhi.
“Kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyertai kami dalam kempen ini sambil berusaha menjadi versi terbaik diri sendiri setiap hari,” katanya.

Penyanyi terkenal, Siti Nordiana pula berkata, sebagai jenama yang memahami masalah komuniti setempat, Hijrah bekerjasama dengan Harian Metro sekali lagi tahun ini.

“Fokus utama kami adalah untuk memberikan harapan baharu kepada keluarga yang kurang berkemampuan di Kampung Rinching Hilir pada Ramadan mulia.
“Oleh itu, kami berharap Kempen Hijrah Bermula Dari Hati ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengorak langkah mereka sendiri menyumbang kembali kepada komuniti mereka,” katanya.

Tular pada minggu ini apabila Ryan Reynolds akui teruja dengan hasil kerja Sofyank yang berjaya hasilkan video menarik menerusi shooting dalam masa yang singkat.

Diberi Masa 4 Minit Sahaja Untuk ‘Shooting’, Ryan Reynolds Terkejut Dengan Hasil Kerja Sofyank

Wanita Dari Selangor Mahu Pulangkan Perisai Antik Berusia 300 Tahun Kepada Sultan Brunei