Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan mencadangkan agar ahli politik diberi keutamaan untuk menerima vaksin COVID-19 bagi menyakinkan rakyat Malaysia bahawa ia selamat untuk digunakan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau yang juga merangkap Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di laman Twitter milik beliau.

“YB @guanenglim memberi cadangan yang baik agar Ahli Parlimen mendapat vaksin terlebih dahulu untuk memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa vaksin COVID-19 selamat. Kami akan mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.

Dia menambah bahawa terdapat dua sekolah pemikiran yang terjadi di kalangan masyarakat Malaysia. Pertama adalah kumpulan yang ragu-ragu dengan keselamatan vaksin, mereka mahu ahli politik menjadi kumpulan pertama yang menerima vaksin, “Sekiranya tidak ada masalah, mereka akan menerimanya.”

Bagi kumpulan kedua pula yang yakin dengan keselamatan vaksin, mereka mahu ahli politik jadi kumpulan terakhir yang menerima vaksin dan memberi keutamaan kepada kumpulan yang memerlukan – seperti kumpulan barisan hadapan, warga emas atau mereka yang berisiko tinggi.

“Jawatankuasa Vax yang saya pimpin bersama dengan @DrAdhamBaba akan membuat cadangan mengenai kumpulan yang akan diutamakan untuk vaksin berdasarkan penilaian risiko,” katanya di akhir ciapan.

Terdahulu, terdapat perdebatan yang terjadi mengenai keselamatan vaksin. Sebahagian rakyat Malaysia difahamkan tidak yakin dengan keselamatan vaksin, manakala yang lain pula mahu ia disahkan status halalnya.

Kerajaan Negeri Kelantan pula dalam satu kenyataan di Sinar Harian mahu kerajaan Persekutuan melakukan kajian terperinci ke atas status penggunaan vaksin COVID-19 supaya ia menepati syarak dalam Islam serta tidak dipolemikkan oleh mana-mana pihak.

Bagaimanapun, cadangan yang diutarakan oleh Lim Guang Eng ini mendapat reaksi positif dari rakyat Malaysia. Ada yang meminta untuk disiarkan secara langsung acara ahli parlimen disuntik dengan vaksin COVID-19.

“Saya fikir, Ahli Parlimen/ADUN harus diberi vaksin terlebih dahulu kerana mereka selalu bertemu orang. Ini dapat membantu melindungi mereka dan mengurangkan risiko penyebaran virus,” tulis Zul Aziz Abdullah di laman Twitter.

Untuk rekod, Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo turut melakukan perkara yang sama. Dalam ciapannya di lama Twitter, dia yang dikenali sebagai Jokowi berkata bahawa dia akan menjadi individu pertama yang akan menerima vaksin.

Pengumuman Jokowi itu dibuat bagi membendung penyebaran maklumat salah dan berita palsu mengenai COVID-19. “Saya secara peribadi akan menjadi penerima pertama (vaksin ini) bagi meyakinkan penduduk bahawa vaksin yang digunakan adalah selamat,” katanya dalam video yang dikongsikan di laman Twitter.

Terdahulu, apa yang anda perlu tahu mengenai vaksin percuma untuk 6.4 juta rakyat Malaysia. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Vaksin Percuma Untuk 6.4 Juta Rakyat Malaysia, Apa Yang Anda Perlu Tahu

Dua Penerima Vaksin Pfizer Alami Kesan Sampingan, Pakar Minta Semua Bertenang

Mengapa Kehadiran Vaksin COVID-19 Buatkan Harga Emas Jatuh Mendadak