Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Sebelum ini, kami pernah berkongsi jawapan Kartunis Lengkuas tentang penutupan majalah Ujang dan Apo? Pada kali ini kami ingin berkongsi jawapan Anuar Hassan, Pensyarah Senireka Animasi dan VFX di Fakulti Multimedia Kreatif, Multimedia University (MMU) atau lebih dikenali sebagai Kartunis Sireh, pelukis siri Student Life dan Life Journey di Majalah APO? Kami mendoakan agar karyawan-karyawan kreatif Malaysia terus gigih dan utuh untuk mencipta karya-karya baru untuk rakyat Malaysia.

kartunis-sireh-02

FB Sireh Cartoonist

Sebelum bermula, kami ingin mengucapkan takziah di atas penutupan MOY Publication. Terima kasih kepada Tuan kerana sudi memberikan kami peluang untuk mengetahui serba sedikit tentang peristiwa ini.

Terima kasih.

1. Sejak bilakah Tuan dan rakan-rakan mendengar khabar angin tentang penutupan syarikat ini?

Saya tak pasti dengan sahabat-sahabat lain yang bekerja di pejabat MOY Publication, mereka mungkin tahu lebih awal dari saya (untuk makluman saya sebenarnya bertugas di MMU sebagai tenaga pengajar, info selalunya lambat sedikit). Saya cuma mengagak melalui desas-desus di Facebook group kami (MOY), seterusnya menelefon Pengarah/Editor APO? (Kartunis Pandan) untuk kepastian. Beliau tidak menafikan tetapi akan maklumkan kepada saya setelah mendapat kepastian.

2. Apakah yang berlaku sehingga menyebabkan penutupan MOY Publication?

Saya sempat berdiskusi dengan Pengarah Urusan, Mr. Boy (Tuan Yusof Huzairy) cuba bertanya sebab-sebab keputusan drastik tersebut. Dengan berat hati, beliau menyatakan dengan trend yang ada sekarang, kos operasi yang besar tidak mampu menampung penerbitan majalah secara fizikal untuk jangka masa yang lama. Dengan nilai RM yang semakin jatuh, kos kertas yang melambung, GST dan trend pembacaan terkini yang lebih ke arah online, dunia penerbitan majalah secara konservatif sedang mengalami kemuncupan.

kartunis-sireh-01

FB Sireh Cartoonist

3. Adakah Tuan dan rakan-rakan sudah bersedia atau berita penutupan ini datang secara tiba-tiba?

Secara jujurnya, saya memang menjangkakan kemerosotan jualan majalah secara fizikal dan sentiasa bersedia. Malah saya kagum Majalah APO? dan Ujang masih kekal bertahan dan melakukan pelbagai pembaharuan untuk melawan arus, namun begitu kami terpaksa akur dengan trend teknologi terkini. Walaupun berita penutupan ini datang secara tiba-tiba tetapi rasanya masing-masing sudah dapat menjangkakan, cuma tidak pasti bila. Sebab itu ramai yang tenang sewaktu mendapat berita tersebut.

4. Bagaimanakah penerimaan Tuan dan rakan-rakan dengan berita ini?

Sedih dan redha tapi masih mampu berjenaka dan mentertawakan diri sendiri. Resam kartunis, waktu seronok kita gurau. Waktu sedih pun masih mampu sengih… Hehehe…

kartunis-sireh-03

FB Sireh Cartoonist

5. Apakah perasaan Tuan sekarang?

Suka dan duka. Suka sebab lepas ini tak ada lagi kena kejar deadline. Duka sebab mengenangkan lepas ini tak ada lagi editor telefon untuk kejar deadline… kadang-kadang rindu juga dengan editor… Hahaha.

6. Apakah perancangan Tuan selepas ini?

Banyak. Tetapi tak tahu hendak mula yang mana dahulu… hahaha. Kalau confirm nanti saya cerita. Kalau cerita lebih-lebih di sini tak jadi kang (nanti) malu.

FB Faiz Hauza

FB Faiz Hauza

7. Bagaimana masyarakat dapat membantu Tuan dan rakan-rakan supaya warisan komik Malaysia tidak hilang?

Memang sokongan masyarakat itu perlu. Dari segi moral Alhamdulillah. Dari segi materialnya pulak banyak faktor-faktor lain yang di luar kawalan seperti kekangan dan birokrasi politik, ketidakstabilan ekonomi, kos operasi yang tinggi, GST dan lain-lain yang menyebabkan kuasa membeli masyarakat semakin berkurangan, secara tidak langsung ianya menjejaskan jualan.

Di pihak yang lain pula karyawan-karyawan juga perlu terlebih dahulu menghasilkan sesuatu yang relevan untuk diterima masyarakat, InsyaAllah, saya yakin pasti suatu hari nanti pasti ada medium baru sebagai pengganti. Namun karyawan tetap perlu berusaha utk berjaya.

Sebenarnya saya lihat sudah ramai bakat-bakat baru yang hebat. Mungkin peristiwa ini akan menjadi pemangkin untuk mereka berjaya. Cuma berikan mereka sedikit masa dan ruang. Ada juga ura-ura kartunis-kartunis otai sudah berminat kembali turun padang. Masalah lambakan komik manga sudah lama disedari, mengapa kita tidak pelajari formula kejayaan mereka?

Kita mungkin tidak mampu melawan arus teknologi. Oleh itu cara yang terbaik ialah karyawan berevolusi bersama-sama teknologi untuk dijadikan medium yang berkesan untuk mempopularkan warisan komik Malaysia. Pasti ada cara, walau bagaimanapun mencetuskan idea mmg senang. Nak menzahirkan sehingga ianya berjaya, itulah cabarannya.

Wallahualam.

BACA Juga: Lihat Apa Yang Ada Di Dalam Taman Tema ‘One Piece’ Ini

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Anda Mungkin Suka