Tempoh hari saya ceritakan tentang orang Melayu Capetown termasuk budaya dan makanan mereka. Kali ini saya sempat menghadiri majlis perkahwinan orang Melayu di sini iaitu Malika, berumur 26 tahun dan merupakan anak perempuan kepada seorang kenalan host saya.

Malika dan suaminya di majlis perkahwinan mereka.
Malika dan suaminya di majlis perkahwinan mereka.

Yakin Untuk Bernikah

Semasa bertemunya buat pertama kali dirumahnya beberapa hari sebelum hari perkahwinannya, dia memberitahu bahawa dia membuat keputusan untuk berkahwin minggu lalu dan akan berkahwin dalam masa seminggu sahaja.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Terkejut dengan jawapannya, Malika memberitahu bahawa dia yakin dengan keputusannya kerana telah mengenali bakal suaminya selama setahun.

Walaupun hanya berkawan biasa, apabila menerima ‘lambar’ (lamaran) dari keluarga Shahid, beliau terus menerimanya. Mereka tidak di ‘unang’ (bertunang) tetapi terus berkahwin pada minggu tersebut.

Walau bagaimanapun, saya sempat bertanya neneknya mengenai cara orang Melayu disini berkahwin. Menurut neneknya, setiap pasangan yang hendak berkahwin akan melalui proses ‘Lambang’(di sebut: Lambar) iaitu melamar yang diwakili oleh ibu bapa dan keluarga sebelah lelaki.

Kemudian mereka ditunangkan mengikut tempoh yang dipersetujui yang dipanggil ‘Unang’ yang diadakan semasa ‘Lambang’. Hanya ketika ini pasangan yang bertunang akan bertukar hadiah.

Kemudian, mereka akan dinikahkan dan disandingkan pada hari yang sama di rumah pengantin perempuan sebelum dijemput ke rumah pengantin lelaki oleh ‘Hujaj’(pakaian yang dipakai oleh ahli keluarga perempuan yang pernah menunaikan Haji).

Jemputan @ ‘unang’ (bermaksud: Undang, turut digunakan untuk merujuk bertunang) ke majlis perkahwinan dibuat oleh pasangan yang akan berkahwin, bakal pengantin baik lelaki mahupun perempuan akan menjemput ahli keluarga mereka dari rumah ke rumah dengan ditemani pengapit masing-masing secara berasingan.

Setiap kali mereka menjemput ahli keluarga mereka ke majlis perkahwinan, mereka akan meminta agar didoakan perkahwinan yang bakal dibina.

Menurut host saya, amat penting bagi pasangan yang bakal berkahwin untuk menjemput ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan dari rumah ke rumah kerana apabila mereka menjemput secara personal, kerana saudara mara yang kita jemput hanya tahu kita akan berkahwin apabila kita sendiri yang memaklumkannya.

Masa inilah, orang muda akan dapat mengenali saudara mara yang lebih tua serta melawat saudara mara mereka yang jauh dan dekat. Setelah mengetahui tentang berita gembira tersebut, saudara mara akan mendoakan perkahwinan kita secara personal.

Baginya doa dan mendoakan seseorang adalah amat penting kerana apabila perkahwinan tidak dimulakan dengan doa, disebabkan itu perceraian banyak berlaku kerana tidak ramai orang yang mendoakan perkahwinan mereka.

Tradisi menjemput ini bukan saja mengukuhkan silaturahim sesama keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan tetapi mengembalikan semula amalan mendoakan sesama kita.

Ini kerana, lebih ramai orang yang kita jemput lebih ramai yang mendoakan perkahwinan tersebut. Lantas, perkahwinan akan menjadi lebih berkat dan berkekalan lebih lama kerana ramai yang mendoakan perkahwinan yang bakal didirikan.

Perkara ini dipersetujui oleh nenek Malika kerana beliau merasakan orang muda sering mengambil jalan mudah dengan menjemput melalui media sosial (whatsapp, facebook dsb) hinggakan hampir tidak ada interaksi sesama manusia (human communication).

Baginya, manusia zaman sekarang semakin bersikap individualistik berbanding zaman dahulu yang sangat menjaga hubungan kekeluargaan dan nilai-nilai kekeluargaan ini semakin hilang dalam masyarakat masa kini.

Menurutnya, apabila menjemput tetamu dari rumah ke rumah, mereka dapat mengenali saudara -mara yang jarang mereka jumpa. Ketika inilah, ahli keluarga akan menawarkan diri untuk membantu apa sahaja yang diperlukan oleh pasangan tersebut.

Sebagai contoh, ada ahli keluarga yang akan menolong membuat masakan tertentu untuk majlis mereka, ada yang akan membantu dalam menghias pelamin, dan sebagainya. Semangat gotong-royong masih kekal diamalkan oleh orang Melayu disini dan tidak ramai yang menempah ‘catering’ kecuali mereka berkemampuan.

Hadiah akan diberikan sebelum hari perkahwinan mengikut masa yang tetamu dan ahli keluarga ada untuk datang ke rumah keluarga pengantin.

Oleh kerana kebanyakan tetamu adalah ahli keluarga dan saudara mara mereka sendiri, hadiah-hadiah di berikan beberapa hari sebelum majlis perkahwinan semasa mereka datang menolong. Hadiah ini akan dipamerkan di satu ruang khas di dalam rumah.

Mas Kahwin

Gambar mas kahwin yang diberikan oleh anak host saya kepada isterinya.
Gambar mas kahwin yang diberikan oleh anak host saya kepada isterinya.

Menariknya, orang Melayu disini tidak meletakkan wang hantaran, tetapi bakal suaminya diwajibkan mempunyai sebuah rumah berserta semua kelengkapan asas serta perabot perlu disediakan sebelum berkahwin.

‘Maqawi’( disebut: Maskawi) @ mas kahwin berbeza-beza mengikut kemampuan pasangan masing-masing. Dahulu, mas kahwin orang Melayu hanya 5 Rand ke atas yang dipersetujui oleh keluarga masing-masing.

Salah seorang anak kepada host saya turut berkongsi bahawa dia memberikan 13 keping syiling Dirham Perak kepada isterinya.

Akad Nikah

Akad nikah akan diadakan di masjid tetapi hanya pengantin lelaki, wali, jurunikah, dua orang saksi dan orang lelaki sahaja yang akan menghadirinya manakala pengantin perempuan akan menunggu di rumah.

Setelah akad nikah selesai, pengantin lelaki berserta rombongannya akan datang ke rumah pengantin perempuan untuk menyarungkan cincin dan ucapan ‘Slamat’ kepada pengantin baru akan diberikan oleh tetamu yang hadir sebelum makanan dihidangkan.

kahwin-21

kahwin-18

Makanan yang dimakan di majlis perkahwinan biasanya dimasak dan dibawa ke majlis perkahwinan. Jenis makananan yang perlu dibawa akan diputuskan semasa ‘Masura’ (mesyuarat) sesama keluarga manakala pinggan mangkuk akan dipinjam dari saudaramara terdekat.

Hanya keluarga yang kaya sahaja yang akan menyewa dari kedai yang berdekatan. Sepasang cawan porselin yang cantik dan keemasan seperti cawan dari Mekah akan digunakan untuk di minum oleh pengantin.

Pernikahan di Capetown amat mudah, mereka hanya perlu mendapatkan Imam di masjid terdekat untuk menikahkan mereka, biasanya keluarga pengantin perempuan akan memilih Imam yang hendak menikahkan mereka bagi memudahkan urusan.

Saya diberitahu, jika kita dijemput ke kenduri kahwin orang Melayu disini pada minggu tersebut bermakna ia adalah majlis yang kecil, biasanya diadakan di rumah.

Keluarga Malika contohnya menjemput sekitar 200 tetamu sahaja manakala jika kita dijemput sebulan dari sekarang, ini menunjukkan ia adalah majlis secara besar-besaran yang diadakan di dewan.

Di Hari Perkahwinan

Semasa hari perkahwinan, orang Melayu dahulu sering memainkan muzik dan ada juga yang akan menyanyi lagu Melayu sebelum majlis dimulakan antaranya lagu ‘Rosa’, ‘Havanas’, tetapi kebanyakannya dipengaruhi oleh lagu dari Belanda.

Lagu ‘Rosa’ biasanya dinyanyikan semasa pengantin tiba ke majlis. Adakalanya ada kumpulan choir Melayu yang menyanyi di hari perkahwinan.

Contoh choir Melayu yang menyanyikan lagu ‘Rosa’:

Menurut host, zaman sekarang, tidak ramai yang menyanyi di majlis perkahwinan atau memasang lagu di majlis perkahwinan kerana menganggapnya bidaah.

Lantas majlis perkahwinan adalakanya menjadi sunyi atau di isi dengan ceramah sahaja. Majlis perkahwinan menjadi suram dan tidak lagi meriah seperti zaman dahulu, sedangkan perkahwinan seharusnya diraikan seperti yang diamalkan semasa zaman Rasulullah SAW.

Pada hari yang sama, pengantin lelaki akan menjemput pengantin perempuan ke rumah ibu dan bapanya untuk mengucap ‘Slamat’ kepada mentuanya.

‘Trousou’ (di sebut Tru-so) atau hadiah-hadiah dari tetamu akan dipamerkan di bilik pengantin. Ramai orang Melayu dahulu kala yang masih menyimpan ‘Trousou’ perkahwinan mereka.

Pakaian Di Hari Perkahwinan

Contoh pakaian pengantin lelaki Melayu dahulu dan pengapitnya.
Contoh pakaian pengantin lelaki Melayu dahulu dan pengapitnya.
Contoh Midora yang dipakai oleh pengantin perempuan Melayu dahulu bersama pengapit mereka.
Contoh Midora yang dipakai oleh pengantin perempuan Melayu dahulu bersama pengapit mereka.

‘Midora’ atau hiasan kepala akan dipakai oleh pengantin perempuan, midora ini hanya boleh dipakai oleh anak dara sahaja dan tidak boleh dipakai oleh janda. Namun, pemakaian Midora semakin kurang dipakai oleh pengantin masa kini dan digantikan dengan ‘veil’ atau tiara/mahkota.

kahwin-04

Wanita ‘hujaj’ (saudara perempuan yang pernah menunaikan haji) akan menjemput pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki dengan memakai ‘Modurieng’ (disebut mu-dier-rang) yang berwarna keemasan yang dibeli dari Mekah setelah pulang dari haji.

Ada yang memakai dengan menutup seperti purdah, ada yang tidak menutup wajah mereka dan pakaian ini masih boleh diperolehi dari Mekah. Adakalanya wanita ‘hujaj’ ini turut memakainya semasa Maulud selain dari menjemput pengantin perempuan.

Apabila tiba di rumah pengantin lelaki, wanita Hujaj akan berselawat manakala imam akan membacakan doa diikuti dengan nasihat dari ibu bapa pengantin mengenai peranan suami dan isteri serta cabaran dalam alam perkahwinan.

Sebagai contoh, ibu bapa pengantin akan menasihatkan anak mereka mengenai pentingnya berbincang sesama pasangan dan tidak terbawa-bawa masalah rumah tangga hingga ke luar rumah atau menghebohkannya kepada seluruh dunia.

Mereka juga akan dinasihatkan agar saling menghormati antara satu sama lain. Biasanya, bapa kepada setiap pasangan pengantin akan memberi nasihat tersebut kepada anak mereka.

Jika pasangan tersebut tidak mempunyai bapa, bapa saudara mereka yang akan memberi nasihat dan jika tidak ada bapa saudara, maka Imamlah yang bertanggungjawab memberi nasihat kepada pasangan pengantin.

Setelah itu, wanita ‘Hujaj’ mempersiapkan pengantin perempuan dan menjaga keperluan pasangan pengantin selama 7 hari. Wanita Hujaj ini akan datang ke rumah keesokan pagi untuk memeriksa dan mengemas bilik pengantin dan rumah mereka, memandikan pengantin, memasak dan menghantar makanan ke rumah pengantin bagaikan Raja 7 hari.

Kenduri Kahwin

kahwin-13

‘Walimah’ atau kenduri kahwin akan diadakan dari pagi hingga ke petang, tetamu akan diberikan sarapan dan makan tengahari. Manakala pengantin akan memakai dua pasang baju iaitu semasa ‘nikkah’ dan selepas zohor di waktu petang.

Tetamu tidak akan makan sehingga pengantin tiba dan biasanya hanya pulang apabila majlis selesai dan diakhiri dengan selawat.

Menurut host, ketika sedang berselawat, kain ‘shawl’ dipakaikan kepada pengantin perempuan dan mereka akan saling memeluk ibu bapanya tanda melepaskan anak perempuan mereka kepada suaminya.

kahwin-05

Semasa menghadiri kenduri kahwin Malika, kami tiba sekitar 10 pagi. Ketika itu, saudara mara Malika kelihatan sibuk menyiapkan makanan untuk tetamu bersarapan.

Meja-meja telah siap dihias di dalam dan di luar rumah berserta set pinggan mangkuk dan bunga di setiap meja. Pelamin juga telah siap dihias manakala Malika sedang memakai gaun pengantinnya yang dibantu oleh ibunya.

kahwin-11

kahwin-09

Kemudian, salah seorang rakannya membantunya memakai tudung dan veil diatasnya. Sebahagian besar ahli keluarga lelaki telah pergi ke masjid untuk menyaksikan akad nikah manakala yang selebihnya sibuk membantu di dapur.

Contoh majlis perkahwinan orang Melayu dahulu
Contoh majlis perkahwinan orang Melayu dahulu

Apa yang dapat saya perhatikan, perkahwinan orang Melayu banyak dipengaruhi oleh Barat dan Timur disebabkan asimilasi budaya.

Pengantin lelakinya tiba dengan memakai jubah dan kopiah manakala pengantin perempuan memakai gaun pengantin. Malika sendiri tidak memakai Midora seperti di zaman ibu dan neneknya. Namun, Imam yang menikahkan mereka turut hadir untuk mendoakan perkahwinan mereka di awal majlis.

Pelamin

Pelaminnya juga agak ‘simple’ tetapi tetap cantik, dan satu meja khas untuk pengantin dan ibu bapa pengantin makan beradab turut disediakan.

Selain itu, sesi bergambar turut dibuat bermula dengan ahli keluarga, saudara mara dan akhirnya sahabat handai. Kemudian, bapa Malika menari bersama Malika dengan alunan lagu romantis dari Barat sebelum kembali ke tempat duduk masing-masing.

kahwin-08

kahwin-06

Oleh kerana kami perlu pulang lebih awal, kami meminta diri untuk pulang awal dan diberikan beberapa jenis kek sebagai ’baraka’ atau berkat untuk dibawa pulang.

Anda boleh membaca artikel penuh di sini.