Pengalaman ke Indonesia beberapa tahun yang lalu telah mendedahkan saya kepada bebeberapa jenis makanan. Ternyata makanan Indonesia di sana ada yang boleh diterima dan ada juga sebaliknya.

Makanan Indonesia di sini pula telah diubah sedikit agar sesuai dengan selera orang Malaysia. Disebabkan itu, tidak mengejutkan apabila ia turut jadi antara makanan kegemaran saya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. Ayam Penyet

Gambar: Chef Amer

Ayam penyet, menu yang berasal daripada Jawa ini adalah hidangan ayam goreng garing yang diketuk dan dihidang bersama sambal penyet, hirisan timun, tauhu goreng dan tempe.

Selain popular di Indonesia, ia juga popular di Malaysia dan Singapura dengan kemunculan pelbagai restoran ayam penyet di kedua-dua negara dan mendapat sambutan menggalakkan.

Sambal penyet yang dibuat daripada campuran cili, ikan bilis, tomato, bawang merah, bawang putih, belacan, asam jawa dan jus limau inilah yang menambat selera dan merupakan komponen penting dalam hidangan ayam penyet.

Jika tertanya-tanya sebab namanya ayam ‘penyet’, ini kerana ayam goreng tadi diketuk sebelum dihidangkan supaya lebih lembut dan mudah dimakan.

2. Bakso

Gambar: Indo Food Store

Bakso merujuk kepada hidangan bebola daging versi Indonesia. Perkataan bakso boleh merujuk kepada sebiji bebola atau keseluruhan hidangan dalam mangkuk yang terdiri daripada bebola daging, sup, mi dan sayuran.

Bakso bersifat padat dan mempunyai tekstur yang sedikit kenyal. Dipercayai bakso dibawa oleh imigran Cina ke Indonesia. Hidangan ini sering dijual di tepi-tepi jalan raya yang sibuk di Indonesia.

Antara bahan utama untuk membuat bakso adalah daging cincang, ubi kayu, mi atau mihun, sup atau air rebusan daging, sayur kailan, saderi, sayur asin dan bawang goreng.

Ada juga yang menambah isi ayam bersama daging. Selain daripada yang dinyatakan di atas, bakso juga boleh dihidang bersama mi, cendawan enoki, daun bawang, bawang goreng dan telur rebus.

Hidangan bakso ini juga hampir sama dengan hidangan bebola daging Cina dan Vietnam (bakwan malang).

3. Nasi Padang

Gambar: Club Snap

Nasi Padang atau makanan Padang sudah pasti berasal dari Padang berdasarkan namanya. Ia sebenarnya hidangan nasi kukus dengan lauk-pauk, sayur dan snek.

Masakan Padang terkenal dengan masakan yang bersantan dan pedas. Tiga elemen penting dalam masakan Padang adalah gulai (kari), lado (cili) dan bareh (beras).

Jadi dalam masakan Padang, lazimnya akan dihidangkan sambal pedas, gulai pekat dengan nasi kukus. Namun, ada juga lauk-pauk lain contohnya rendang, asam padeh (asam pedas) dan kalio turut disediakan.

Dikatakan mereka yang arif memasak gulai Padang adalah mereka yang berbakat memasak kerana cara memasak gulai yang sedikit rumit. Tukang masak perlu pandai tentang rempah untuk memastikan gulai yang dihasilkan sedap dan lazat.

Sayur yang dihidang dalam masakan Padang adalah seperti pucuk ubi kayu, gulai nangka dan kobis. Manakala snek pula adalah kelamai, kue talam (kuih talam) dan lapek (puding pisang).

Kedai masakan Padang sudah lama bertapak di Malaysia terutamanya di Kampung Baru Kuala Lumpur. Jika berkunjung ke sini, anda hanya perlu duduk dan tunggu di meja, segala lauk-pauk dan nasi akan dihidangkan ke meja anda.

4. Pecel Lele

Gambar: Etabloid Galang Kangin 2

Pecel lele atau dikenali pecak lele adalah menu ikan keli goreng garing yang dihidang bersama nasi kukus, sambal dan lalapan, iaitu sayur-sayuran seperti daun basil, timun, kobis dan kacang panjang.

Pecel lele tidak sama dengan pecel. Pecel adalah pecal (seperti yang disebut oleh kebanyakan kita di Malaysia) yang terdiri daripada sayur-sayuran dan dimakan bersama kuah kacang.

5. Sate Minang/Sate Padang

Gambar: Indoindians

Turut dikenali sebagai sate Padang, sate ini berbeza daripada sate biasa yang dihidang bersama kuah kacang, sate yang berasal daripada Padang, Sumatera Barat ini dihidang bersama kuah kuning pekat berempah.

Dipercayai terdapat tiga jenis sate iaitu sate Padang, sate Padang panjang dan sate pariaman. Perbezaan pada ketiga-tiga sate ini adalah pada warna kuahnya.

Dalam membuat sate ini, daging lembu atau kambing akan direbus dan kemudian dipotong dadu. Potongan daging tersebut kemudiannya dicucuk pada lidi dan dibakar. Air rebusan daging tadi pula digunakan untuk membuat kuah kuning.

Kuah kuning ini dihasilkan dengan mencampurkan air rebusan daging tadi dengan tepung beras, kunyit, ketumbar, bawang putih, akar lengkuas, jintan, serbuk kari dan garam.

Dagingnya pula selain daging lembu, boleh juga gunakan ayam atau daging kambing. Cara sate Minang dihidangkan adalah dengan mencurahkan kuah ke atas sate dan ditabur bawang goreng.