Nota Editor: Seorang doktor mata telah menulis kisah ini di laman profil Facebook miliknya. Dia mahu masyarakat mengambil iktibar daripada kisah ini. Ia merungkaikan kesan apabila seorang pesakit memutuskan untuk berhenti menghadiri temujanji dengan doktor di hospital. Ubat yang tidak sepatutnya dipakai secara berterusan oleh pesakit itu boleh dibeli dengan mudah di kedai farmasi selama 2 tahun. Dengan izin penulis asal, kami kongsikan semula di sini buat pembaca The Vocket. Semoga bermanfaat.

17 Jun 2015, 11:14pm

Seorang makcik hadir berkerusi roda ditolak anaknya ke klinik mata. Pesakit baru, failnya nipis kerana pertama kali ke klinik mata. Catatan pada bahagian Visual Acuity diteliti, ‘NPL/NPL’. (Nil perception to light for both eyes).

Wah teruk juga tahap penglihatan makcik ni. Kerana kedua-dua mata sama tak nampak langsung. Kebiasaannya pesakit datang dengan salah sebelah mata lebih baik jadi kita berusaha untuk mengubati dan memelihara mata yang masih berfungsi (precious eye).

“Makcik dah pernah tukar manik dua-dua mata. Lama dah, 15 tahun dulu. (Cataract operation)”

“Lepas tukar manik dulu mata makcik cerah ke?”

“Cerah, lepas tu selepas banjir bulan 12 baru ni start tak nampak balik.”

“Yang betul-betul tak nampak ni sejak bila lagi makcik?”

“2, 3 bulan lepas dah tak nampak langsung.”

“Selama ni ada temujanji susulan dengan klinik mata ke lepas tukar manik, ada guna apa-apa ubat?”

“Ada tapi makcik dah tak pergi. Dengan hospital X. Makcik guna ubat ni je sambung beli kat farmasi.”

Ubat dihulur. Campuran Dexametasone dan Neomycin.

“Makcik ada guna ubat lain lagi tak? Macam mana makcik dapat ubat ni?”

“Makcik tunjuk je ubat ni kat farmasi, memang boleh beli yang serupa. Jadi senang sikit beli je kat farmasi. Makcik memang tak guna ubat lain.”

“Berapa lama dah makcik guna ni?”

“Dua tahun.”

“Kenapa, untuk apa makcik guna ubat ni?”

“Entahla makcik sambung je. Lagi pun bila pakai rasa sedap sikit mata.”

Mata diperiksa. NPL pada semua quadrant di kedua belah mata. Pupil juga tidak reaktif pada cahaya, mid-dilated keduanya. Cornea kiri agak bengkak dan separa keruh.

Fundus pula dilihat menggunakan kanta. Saraf optik rosak teruk dengan full cupping dan sangat pucat warnanya. Tekanan mata juga tinggi. Kes dikongsi dengan doktor pakar yang turut bersetuju dengan pengamatan saya, bilateral steroid-induced absolute glaucoma.

Kebutaan yang berpunca daripada kecuaian akibat penggunaan ubat titik berasaskan steroid untuk jangka masa panjang.

Petang itu konsultan yang sama memanggil saya, meminta saya menelefon pesakit bagi mendapatkan nama farmasi yang terus-menerus membekalkan ubat titik berkenaan kepada pesakit tanpa kawalan.

Nyata beliau amat kecewa dengan kecuaian ini. A reckless action that could have been avoided, a reckless action that has costed a patient her sight.

Kepada para pesakit mata, bukan semua ubat titik mata itu sama. Dapatkan nasihat daripada doktor mata sebelum menggunakan apa-apa ubat titik. Dan temujanji sangat perlu dihadiri bagi memastikan rawatan terbaik dapat diberikan oleh doktor. Sesetengah rawatan memerlukan pemerhatian dan pantauan justeru jangan buat tindakan sendiri kerana bimbang menyesal di kemudian hari.

Wallahua’lam.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group