Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Baru-baru ini kita dilaporkan dengan keruntuhan sistem kesihatan di India yang terkesan dengan lonjakan kes wabak COVID-19. Selain dari India, Biro Kewartawanan Penyiasatan menganalisis data yang disediakan oleh Breath Counts Coalition, NGO Path dan Clinton Health Access Initiative (CHAI) mendapati bahawa terdapat sejumlah negara lain yang bakal menghadapi situasi sama disebabkan peningkatan kes wabak COVID-19 yang tinggi dan kekurangan bekalan oksigen.

Dilaporkan menerusi The Guardian semalam, difahamkan bahawa terdapat 19 negara dari seluruh dunia yang berisiko mengalami ‘kehancuran total’ pada sistem kesihatan akibat daripada situasi yang tidak terkawal. Negara-negara terbabit antaranya adalah India, Argentina, Iran, Nepal, Filipina, Malaysia, Pakistan, Costa Rica, Ecuador dan Afrika Selatan.

Dakwaan ini muncul setelah beberapa negara terbabit mencatatkan peningkatan besar kepada permintaan bekalan oksigen sejak bulan Mac lalu. Difahamkan bahawa terdapat peningkatan sekurang-kurangnya 20 peratus ditengah-tengah situasi kekurangan program vaksinasi di negara-negara terbabit.

af_msiacovid_1805

The Straits Times

Sebilangan besar negara-negara ini menghadapi kekurangan oksigen sebelum wabak COVID-19, kata Leith Greenslade, koordinator Koalisi Every Breath Counts. Keperluan tambahan telah mendorong sistem kesihatan ke ambang bahaya. “Situasi tahun lalu, dan sekali lagi pada Januari tahun ini di Brazil dan Peru, seharusnya menjadi peringatan,” kata Greenslade.

“Tetapi, dunia tidak sedar. Kita harus tahu apa yang akan berlaku di India, setelah melihat apa yang berlaku di Amerika Latin. Dan sekarang melihat Asia, kita harus tahu ini akan berlaku di beberapa bandar besar di Afrika,” sambungnya.

Bagi Robert Matiru, yang mengetuai Pasukan Petugas Kecemasan Oksigen COVID-19 bagi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), mengatakan bahawa kesan lonjakan wabak COVID-19 akan menghancurkan sistem kesihatan di beberapa negara yang mempunyai sistem yang sangat rapuh.

The coronavirus disease (COVID-19) outbreak in Kuala Lumpur

REUTERS/Lim Huey Teng

Di India ketika ini telah melaporkan kekurangan oksigen yang sangat ketara. Melalui data yang dikeluarkan, India memerlukan tambahan 15.5 juta meter padu oksigen sehari untuk pesakit COVID-19, lebih dari 14 kali ganda yang diperlukan pada bulan Mac, menurut kajian tersebut.

Akibat daripada gelombang kedua wabak COVID-19 di India, negara terbabit telah melarang semua eksport keluar bekalan oksigen. Ini memberi kesan kepada negara-negara jiran India seperti Pakistan, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka dan Myanmar yang bergantung harap pada bekalan oksigen dan peralatan perubatan buatan India.

Di Nepal, data menunjukkan bahawa mereka memerlukan lebih dari 100 kali ganda lebih banyak bekalan oksigen. Sri Lanka pula mencatatkan peningkatan sebanyak 7 kali ganda. Manakala Pakistan yang menderita dengan gelombang ketiga wabak COVID-19 merekodkan hampir 60 peratus lebih banyak pesakit yang menggunakan oksigen di hospital.

20210511YM03

Malay Mail

Greenslade menyatakan bahawa permintaan oksigen yang tinggi telah memberi tekanan kepada sistem kesihatan dan akan memberi kesan kepada pesakit apabila ia tidak dapat dipenuhi. Dia turut menyatakan bahawa negara-negara miskin yang memiliki sistem kesihatan yang lemah tidak mampu untuk berdepan dengan situasi seperti sekarang.

“Dari ketua negara, menteri kesihatan, menteri kewangan … negara-negara ini tidak mengutamakan oksigen sebagai peralatan penting. Seperti yang telah kita lihat di India, banyak orang telah terkorban dan terus terkorban setiap hari kerana kekurangan oksigen,” kata Greenslade.

Sementara itu, beberapa negara menuntut agar syarikat yang menghasilkan oksigen mengalihkan produk dari pemain industri kepada hospital. Oksigen perubatan hanya merangkumi 1 peratus pengeluaran oksigen cecair global. Di Iraq sebagai contoh, syarikat gas dapat menghasilkan kira-kira 64,000 meter padu oksigen cair sehari, satu pertiga daripada keperluan pesakit COVID-19 negara itu.

Daily life amid coronavirus pandemic in Malaysia

EPA-EFE/AHMAD YUSNI

“Kita harus bertanyakan soalan yang sangat kritikal: mengapa sumber penting seperti oksigen terkurung di lombong, keluli, minyak dan gas apabila sistem kesihatan awam yang lemah tidak dapat menyediakan cukup [oksigen] untuk bayi, orang dewasa dan orang tua yang masih hidup.

“Negara-negara ini harus melihat bagaimana mereka melabur dalam oksigen perubatan dalam sistem kesihatan. Jika kapasiti oksigen tersedia untuk digunakan oleh syarikat perlombongan, maka kapasiti yang sama juga mesti ada untuk sistem kesihatan bagi menyelamatkan nyawa.”

Untuk rekod, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, UNICEF, Bank Dunia, penderma dan NGO telah menghantar bantuan kepada negara-negara yang terkesan untuk membantu mereka menangani peningkatan keperluan oksigen. Bank Dunia juga telah membuka peluang kepada beberapa negara untuk memohon bantuan pinjaman kewangan bagi menangani wabak COVID-19.

Saintis di China beri amaran, pandemik tahun ini diramal lebih buruk daripada tahun 2020. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Saintis Di China Beri Amaran, Pandemik Tahun Ini Diramal Lebih Buruk Daripada Tahun 2020

Anda Mungkin Suka