Skuad Malaysia Tigers menempa sejarah baru apabila layak ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh apabila berjaya mengikat kedudukan seri 1-1 dengan Korea Selatan.

Perlawanan pada peringkat kumpulan ‘Super 4s’ ini menemukan 4 buah negara yang telah layak selepas melepasi peringkat kumpulan iaitu India, Pakistan, Malaysia dan Korea Selatan.

Pada peringkat ‘Super 4s’ Malaysia menang kepada Pakistan dan Korea Selatan namun tewas kepada India. Akibat kekalahan Korea Selatan kepada Malaysia telah memberi peluang kepada pasukan negara berada di tempat kedua di belakang India sekaligus berjaya layak ke peringkat akhir dan akan bertemu dengan India selaku juara kumpulan.

Korea Selatan berada dalam keadaan terdesak kerana kejohanan ini merupakan peluang terakhir slot Piala Dunia selepas India, Malaysia dan Pakistan sudah layak untuk pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dari 24 November hingga 16 Disember tahun depan. Atas sebab ini, Korea Selatan telah membuka jaringan gol melalui pukulan sudut penalti jaringan Yang Jihun pada minit ke-24.

Saingan tampak sukar dibawakan oleh anak buah Stephen van Huizen, namun pada suku dan minit-minit terakhir perlawanan, jurulatih pasukan negara ini telah mengeluarkan penjaga gawang dan menurunkan pemain pertahanan untuk memberi peluang kepada pasukan negara melakukan serangan habis-habisan ke gawang Korea Selatan.

Hoki Piala Asia 2017
Kredit Foto: Facebook page Malaysian Hockey Confideration

Atas berkat usaha pemain negara, mereka dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-58 dan jaringan dihasilkan oleh ayam tambatan negara, Faizal Saari.

Drama perlawanan pada minit-minit akhir berlarutan kerana Korea Selatan terdesak ingin menjaringkan gol demi mencerahkan peluang mereka ke peringkat akhir. Namun, berkat usaha dan iltizam yang jitu oleh kesemua pemain negara, Malaysia berjaya bertahan sehingga tiupan wisel penamat.

Untuk rekod, ini merupakan sejarah terbaru pasukan hoki negara melangkahkan kaki ke perlawanan akhir semenjak Persekutuan Hoki Asia (AHF) memperkenalkannya pada tahun 1982. Dalam perlawanan ini, peringkat terbaik yang pasukan negara pernah capai ialah tempat ketiga pada tahun 2007 di India.

Syabas sekali lagi wira hoki negara dan marilah kita menyokong mereka pada perlawanan akhir yang bakal berlangsung pada hari ini, 22 Oktober 2017 jam 7:30 petang waktu Malaysia.