Euromonitor International, firma peneraju kajian strategik pasaran, meletakkan pasaran rokok seludup dan penjualannya di Malaysia sebagai yang terbesar di dunia.

Ia diperbincangkan dalam satu sesi kelolaan New Straits Times yang bertajuk ‘Pasaran Rokok Seludup: Pandangan Multinasional’, yang dihoskan Pengarang Berita Kanan NST, Faridul Anwar.

Antara ahli panel yang hadir adalah Ketua Kanan Penyelidikan Tembakau Euromonitor International, Shane MacGuill, bekas Diplomat Amerika Syarikat, David Luna dan penganalisis ekonomi yang juga kolumnis akhbar berpengaruh, Pankaj Kumar.

Kata MacGuill, pada 2019, hampir 65 peratus atau dua pertiga daripada keseluruhan pasaran tembakau di Malaysia adalah rokok tidak sah.

Tambah beliau lagi, melalui kajian Euromonitor, hanya 10 pasaran tembakau memiliki tahap perdagangan rokok seludup melebihi 30 peratus dan daripada jumlah itu, Malaysia adalah negara yang tertinggi dan kelapan terbesar di dunia dari segi jumlah rokok seludup.

“Tiada pasaran lain yang dapat menyaingi atau menghampiri Malaysia, kerana pasaran rokok seludup terbesar seterusnya ialah Brazil yang kami anggarkan kira-kira 50 peratus daripada pasaran,” katanya.

Masalah

Luna dalam sesi soal jawab terbabit mengatakan bahawa pasaran rokok seludup Malaysia telah menyebabkan bahaya besar apabila ia mula membawa kepada jenayah lain – penyeludupan manusia, narkotik atau hidupan liar.

Tambah beliau lagi, pasaran rokok seludup bukan saja menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang tinggi, tetapi ia juga menjejaskan kestabilan kepada pasaran ekonomi dan institusi kerajaan.

Luna juga percaya bahawa pasaran rokok seludup Malaysia turut memberi kesan bahaya kepada negara ASEAN serta ekonomi Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Difahamkan, beberapa laporan menunjukkan sindiket jenayah Malaysia kini mula memasuki pasaran Australia dan New Zealand kerana perbezaan harga yang wujud.

Penyelesaian

Aspek penguatkuasaan sahaja tidak memadai untuk menyelesaikan isu rokok seludup yang semakin berluasa di Malaysia. Bagi Pankaj, ia bukan sekadar mengenai penyeludup, tetapi keseluruhan rantaian nilai rokok tidak sah.

Hal ini kerana selepas kerajaan menaikan duti eksais dengan begitu tinggi pada 2015, harga rokok sah meningkat sebanyak 40 peratus kepada 42 peratus. Ia meninggalkan kelompok perokok dengan tidak banyak pilihan melainkan bertukar kepada rokok seludup.

“Hari ini, kelompok perokok tertumpu kepada segmen berpendapatan rendah di dalam masyarakat, termasuk yang berpendapatan gaji minimum.

“Jika mereka merokok rokok sah pada purata 20 kotak sebulan, ia adalah antara 15 hingga 16 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan mereka. Kos itu terlalu tinggi dan alternatif lebih murah tersedia ada,” katanya.

MacQuill bersetuju bahawa segmen berpendapatan rendah adalah mereka yang merokok dan juga pengguna produk pasaran gelap.

“Kita sekarang menyaksikan peningkatan sangat besar di dalam perdagangan rokok seludup pada tahun mendatang disebabkan impak ekonomi oleh COVID-19.

“Cara penyelesaian berbeza perlu diambil pada satu-satu masa, berbanding sekadar melihat kepada isu cukai atau penguatkuasaan secara berasingan,” katanya.

Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Denda RM1,000 Sedia Dikenakan Buat Peminum Arak Dan Perokok Di Taman Rekreasi Sekitar Selangor

Lelaki Jepun Ini Dedahkan 4,500 Puntung Rokok Berjaya Dikutip Di Putrajaya Dalam Masa Dua Jam

Puntung Rokok Bersepah Dan Tilam Bernajis, Hos Homestay Luah Kekecewaan Terima Pelanggan Dari ‘Neraka’

Sumber