Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sudah tiba masa negara mencari seorang pemimpin yang berkaliber dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

Dalam satu wawancara khas bersama Utusan Malaysia, beliau meluahkan bahawasanya Malaysia amat memerlukan karakter pemimpin yang bukan sahaja mampu, bahkan perlu berani mengambil pendekatan berbeza bagi menyelesaikan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda negara.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Datuk Seri Johari yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan hanya pemimpin berwibawa dan dihormati menjadi satu-satunya jalan keluar Malaysia daripada krisis yang membadai negara hari ini.

Negara kini sedang berdepan dengan tiga masalah kritikal. Pertamanya, krisis politik yang berlaku antara ahli-ahli Parlimen adalah indikasi yang tidak baik kepada kepada orang luar menurutnya.

Nombor dua, dari segi krisis kesihatan iaitu pandemik COVID-19. Berjaya atau tidak sesebuah negara itu menghadapi COVID-19 ialah dengan kepimpinan yang berwibawa. Pandangan daripada pihak kerajaan dan pembangkang sangat penting supaya krisis dapat dielakkan.

Ketiganya ialah kesan daripada ketidakstabilan politik dan krisis kesihatan ini, akan melahirkan krisis ekonomi.

“Krisis ekonomi ini sangat serius. Kalau kita tidak kendalikan dengan betul, dia seolah-olah macam sebuah kereta yang berjalan, tiba-tiba kita berhenti, lepas itu kita tak berjalan, kita undur ke belakang. Jadi bila kita nak menggerakkan balik ekonomi ini, ia akan menjadi satu masalah yang besar,” kata Datuk Seri Johari.

Sehingga ke hari ini, kes aktif COVID-19 kekal melebihi 100,000 dengan tambahan belasan ribu kes setiap hari. “Ini merupakan angka yang besar berbanding jumlah penduduk negara kita. Jadi sudah tentu apa yang kita lakukan selama ini, mungkin strategi yang kita guna pakai itu tidak efektif. Mungkin tidak memberi kesan yang baik.

“Sebab itu, kita perlu mempelajari daripada negara-negara yang terdahulu yang mendapat kesan pandemik ini. Contoh China, ada lebih 1.2 bilion penduduk, tetapi mereka boleh menangani Covid-19 ini begitu sempurna dan baik. Pada penghujung hari, pandemik ini semuanya mengenai bagaimana pemimpin negara menguruskannya dengan melihat berbagai-bagai pilihan (yang ada).

“Sebab itu, kita memerlukan leadership (kepimpinan) yang efektif, yang dihormati. Tak boleh kita ada dalam satu Kabinet, bila satu menteri buka kilang, satu menteri tutup kilang, tak boleh macam tu. Bila ada kepimpinan yang baik dan cekap, mana-mana ada pertikaian dalam kalangan menteri, kita buat keputusan yang jelas. Tak boleh double standard (pilih kasih) dari segi pematuhan SOP,” tambah Datuk Seri Johari.

Pendekatan ‘buka tutup kilang’ yang kerap bertukar juga telah menimbulkan kebimbangan kepada pelabur asing dan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) serta beberapa dewan lain telah menyuarakan supaya kerajaan membuat pendekatan mesra perniagaan.

Kekeliruan ini boleh mendatangkan kerugian buat negara kerana sebahagian daripada mereka yang datang ke negara merupakan pelabur jangka panjang.

“Sebenarnya bagi mengatasi defisit kepercayaan ini, pertama, kita kena tunjuk kepada mereka kita mempunyai kestabilan politik. Nombor dua, kita (tunjuk) mengamalkan proses demokrasi yang begitu telus apabila Parlimen tidak ditutup dan terus bersidang. Tidak payah nak tunggu YDPA untuk mengarahkan kita bersidang.

“Nombor tiga, kena ada menteri-menteri yang mengendalikan pelabur-pelabur ini. Kalau kita tidak memberi tumpuan kepada isu yang dibangkitkan oleh syarikat yang menjadi ahli dewan ini ia akan menimbulkan masalah,” kata Datuk Seri Johari.

Beliau turut menambah tidak perlu sibuk ke luar negara cari pelabur baharu. Di saat genting ini lebih baik untuk tumpukan pelabur yang sedia ada di dalam negara supaya mereka tidak ‘lari’ keluar negara.

Datuk Seri Johari berkata Malaysia mempunyai harapan untuk kembali pulih daripada krisis COVID-19. “Kita tidaklah seteruk mana. Tetapi kalau kita tidak dapat belajar daripada kesilapan selama 17 bulan menangani Covid ini, kemungkinan besar kita akan berdepan dengan keadaan lebih sukar.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita jatuh -5.6 peratus pada 2020 kesan daripada satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi pada 2021 kita sudah ada dua PKP, kalau masih berterusan dengan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan lain-lain, saya tak tahu sama ada ekonomi ini (boleh bertahan) dan keyakinan pelabur boleh berterusan atau tidak,” komen Datuk Seri Johari mengakhiri temu bualnya.

Temu bual penuh Datuk Seri Johari Abdul Ghani boleh dibaca di sini.

Berikut adalah beberapa artikel yang tular sepanjang minggu ini. Baca lagi pada pautan di bawah.

430 Hari Tanpa Kes Baharu, Rahsia Brunei Menang Melawan COVID-19

Dengan Kehadiran COVID-19 Varian Delta, Ramalan Bill Gates Pada December 2020 Didakwa Benar

Ini Sudut Pandang Datuk Seri Johari Abdul Ghani Mengenai Masa Depan Dan Kepentingan E-Dagang