Kajian Indeks China 2022 dalam hal pengaruh kuasa global kerajaan China meletakkan Pakistan di senarai paling atas. Kajian ini difahamkan meneroka pengaruh China di 82 negara dengan meminta pakar menjawab beberapa soalan mengenai aktiviti kerajaan China di negara mereka, lapor Arab News.

Kajian itu dijalankan dan diterbitkan oleh rangkaian China in the World (CITW), sebuah inisiatif kumpulan anti-disinformasi yang berpangkalan di Taiwan, Doublethink Lab. Laporan itu menanyakan soalan merentasi sembilan hal untuk menilai pendedahan setiap negara kepada pengaruh China.

Antara soalan yang ditanya termasuk media, akademik, ekonomi, masyarakat, ketenteraan, penguatkuasaan undang-undang, teknologi, politik dalam negeri dan dasar luar negara. Selain itu, aktiviti luar negara China turut dinilai yang merangkumi perjalanan pegawai kerajaan, biasiswa pelajar, latihan kewartawanan, pembiayaan penyelidikan, perdagangan, pelaburan dan kerjasama ketenteraan.

Antara 10 negara teratas yang paling terdedah kepada pengaruh China, lapan berada di Asia. Kemboja dan Singapura diketahui masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga sebagai negara “paling terdedah” kepada pengaruh China. Sementara itu, Malaysia berada di kedudukan ke-10 dalam kalangan 82 dalam senarai negara paling dipengaruhi China di dunia.

Puma Shen, pengerusi Doublethink Lab memberitahu VOA bahawa penyelidikan ini membolehkan orang ramai di seluruh dunia melihat cara China mendekati negara mereka. “Dengan membandingkan semua kedudukan ini dan membandingkan semua strategi yang berbeza, semua negara ini boleh belajar [tentang] satu sama lain, seperti bagaimana untuk menentang operasi pengaruh China,” katanya.