“You! Are you Muslim?” tanya seorang lelaki berkopiah dengan anak mata dikecilkan.

“What?” balas orang dihadapannya itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Are you Muslim?” kali ini dia berdiri meninggikan suara.

“Yes, I am,” jawab pemuda berlainan bangsa itu sambil memandang tepat pada mata lelaki tadi.

Keadaan bertukar, terus terpapar suasana hidup gaya bebas di kota Bangkok, Thailand. Pemuda yang dibentak dengan soalan itu tadi melompat-lompat mengikut alunan muzik rancak sambil meneguk air berbuih berwarna kuning.

Dia jalan terhuyung-hayang ditemani rakannya yang turut berkelakuan sama. Tanpa disangka, dia terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan ketua samseng mati. Dia diburu dan lari bersembunyi di rumah pelacuran, tempat rakan senegaranya bekerja.

Keesokkannya dia ke masjid menemui kakaknya yang baru tiba dari Indonesia membawa khabar tentang ayahnya. Tapi dia tetap tidak peduli kerana masih berbekas di hatinya dengan apa yang telah terjadi antara dia dan ayah.

Degil dan tegar menyalahkan orang lain, pemuda bernama Mada ini turut memarahi Tuhan kerana apa yang dipinta dan dihajatkan tidak menjadi nyata. Menurutnya, “27 tahun, saya solat. Puasa tidak pernah putus. Berdoalah kamu, maka doa kamu akan dimakbulkan. Mana?”

Dia marah pada Tuhan apabila ibunya meninggal dunia. Dia marah pada Tuhan apabila kekasih meninggalkan dia di hari pernikahan mereka. Dia marah pada Tuhan sehingga dia hilang keimanan dan hidup terpesong.

Dia gembira hidup berkelana di negara orang dan berkawan dengan backpacker dari pelbagai negara. Rentetan dikejar sekumpulan samseng tadi, Mada terpaksa meninggalkan Thailand dan menuju ke Vietnam.

Hidup sebagai gelandangan di Vietnam, Mada jatuh sakit. Mujur ada pasangan tua yang merawatnya. Kemudian Mada melakukan kerja mengangkat barang dagangan bagi menyara hidupnya. Di sebelah malam Mada masih tidur merata-rata tempat.

Pada satu hari, Mada yang masih demam dipindahkan ke tempat lain apabila kotak yang menjadi tempat tidurnya diangkat ke atas lori. Sedar dari tidur, Mada telah sampai di kediaman keluarga Cina Muslim di Yunnan, China.

Perkenalan Mada dengan Suuchun telah membuka lembaran baru di dalam hidupnya. Kejadian demi kejadian menjadi pengajaran sehingga mencelikkan hatinya yang buta bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan dia.

Haji Backpacker

Ini adalah sebahagian kisah Mada di dalam filem Haji Backpacker (2014). Kekecewaan watak Mada di dalam filem ini adalah cerminan bahawa dia tidak mahu hidupnya diatur oleh Tuhan.

Filem ini mendedahkan sifat manusia yang lupa dunia ini tempat ujian, tempat hidup sementara. Dan apabila seseorang itu bertaubat, dia akan kembali kepada fitrahnya sebagai hamba Allah.

Terdapat juga petikan ayat dari kitab Al Hikam yang menarik di dalam filem ini.

Petikan 1: Tuhanku, puaskan aku dengan aturan-Mu, bukan aturanku, dengan pilihan-Mu bukan pilihanku dan tempatkan aku di tempat terbaik menurut-Mu.

Petikan 2: Tuhanku, berilah aku hati yang bersih sebagaimana hati orang-orang yang dekat dengan-Mu dan bimbinglah aku di jalan mereka yang menuju kepada-Mu.

Pengembaraan Mada mencari jawapan kepada mimpinya yang berulangan turut membawa penonton ke sembilan buah negara.

Dia melalui jalan darat dari Thailand, Vietnam, China, Tibet, Nepal, India, Iran, Arab Saudi sehingga tiba di Mekah. Perjalanannya itu menemukan dia jalan kembali ke rahmat Tuhan.

Secara keseluruhan, Haji Backpacker bukan tentang mengerjakan ibadah haji. Ia adalah detik detik transformasi seorang pemuda yang pernah soleh telah hilang iman akibat kegagalan cinta dan harapan kembali menemui cinta Illahi.

Sepanjang menonton filem ini, boleh dilihat aliran filem ini dari awal hingga akhir agak tenang dengan penegasan bahawa apa apa pun yang berlaku, ia bukanlah kebetulan tetapi kehendak Tuhan.

Ketika kamu mengharap sesuatu, kamu merasa Tuhan menyokongmu. Ketika harapan itu tidak kunjung tercapai, kamu menganggap bahwa Tuhan meninggalkanmu. Itu bukan cinta.

Oleh sebab ketenangan itu, tak terasa sangat impak taubat Mada. Perjalanan spiritual yang mahu ditonjolkan di dalam filem ini tidak mendalam. Mungkin juga punca Mada marah pada Tuhan itu tidak kuat. Hanya kerana cinta.

Tapi filem Haji Backpacker ini tetap menarik untuk ditonton. Selain sinematografi dan pendedahan budaya 9 negara yang ditonjolkan dengan baik, filem ini dekat di hati kita.

Ini kerana setiap orang pasti ada melalui fasa diuji Tuhan. Dan mungkin ada yang tertanya mengapa harus ujian terjadi kepadanya, hal yang berlaku tidak sama sepertimana yang direncanakan.

Malah, identiti Muslim dikaitkan dengan hafalan bacaan Al-Quran yang baik turut menyentak kita tentang kepentingannya saat Mada diambang kematian ketika ditangkap di Iran.

Skor review: 3/5