Kedegilan pihak MariMobility untuk meneruskan perkhidmatan ‘MariCar Go-Kart’ di Jepun berdasarkan watak popular Nintendo menerima padah apabila Mahkamah Tinggi Harta Intelek Jepun mengarahkan MariMobility membayar pampasan sebanyak ¥50 Juta Yen (~RM1.93 Juta) kepada Nintendo.

Pada 3 Jun yang lalu, pihak Nintendo telah mengemukakan saman terhadap MariMobility yang mengarahkan syarikat berkenaan menghentikan penggunaan watak ikonik siri ikonik milik Nintendo, Mario. Pada mulanya, Nintendo cuma menuntut pampasan ¥10 Juta Yen (RM387,000) sahaja tetapi tidak diendahkan oleh MariMobility. Malah, MariCar Go-Kart tetap beroperasi seperti biasa di jalanan.

Ianya satu kesalahan untuk menggunakan hak intelek orang lain tanpa izin dan perkara ini sangat dipandang serius di Jepun. Jika anda pernah menaiki go-kart ini ketika di Jepun suatu ketika dahulu, anda sebenarnya menaiki perkhidmatan ‘haram’ yang tidak mendapat restu daripada pihak Nintendo.

Pihak Nintendo juga akan secara terus mengambil tindakan terhadap pihak yang menggunakan harta intelek mereka tanpa izin. Bagi Nintendo, ianya tidak adil untuk mengaut keuntungan daripada watak yang mereka telah cipta dan bangunkan sejak 1980an lagi. Semoga isu ini menjadi pengajaran buat kita semua.

Sumber