Lakukan sesuatu kerana minat dan bersangkut paut pula dengan impian pastinya akan membuahkan hasil yang lumayan apabila dilakukannya dengan begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh. Ia menyeronokkan sehingga tidak rasa jemu meskipun ada cabaran menanti.

Hal ini turut dialami oleh Dr. Ahmad Syahid Mohd Fadzil, 36. Dalam kesibukan bekerja sebagai doktor perubatan, beliau turut mengasaskan jam tangan eksklusif Swiss buatan tempatan jenama MASA Horlogerie yang turut mengetengahkan senireka bercirikan Malaysia.

Saya mengikutinya di Instagram @masahorlogerie kerana terpesona dengan kecantikan dan kekemasan jam tangan mewah Horologi Warisan (nama lain bagi Masa Horlogerie).

Makin tertarik apabila menonton video Teraju (lihat di bawah) berkenaan beliau dan produknya. Maka, saya menemubual beliau agar lebih ramai orang Malaysia mendapat inspirasi daripadanya.

1. Latar Belakang Diri

Gambar: Youtube Teraju

Saya dilahirkan pada tahun 1981 dalam keluarga yang sederhana. Kedua ibubapa saya merupakan penjawat awam dan kini telah bersara. Saya mempunyai seorang adik perempuan yang kini sedang menyambung pengajian post-doctorate. Saya adalah seorang saintis bioperubatan dan doktor perubatan.

Saya boleh dikatakan thorough-bred dari Universiti Malaya, sedari pengajian di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), diikuti dengan penganugerahan kedua-dua ijazah Sarjana Muda Bioperubatan dan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya.

Saya pernah ditawarkan untuk menyambung pengajian di peringkat PhD dalam bidang pharmacogenetics di US dan nanomedicine di UK, tetapi saya memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan dan pembedahan.

Saya kemudiannya bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya di mana minat saya menjurus ke dalam bidang neurosurgery dan cardiology. Kini saya berkhidmat dengan salah sebuah universiti tersohor di Malaysia.

Jika berdasarkan minat, saya sangat cenderung dalam bidang yang memerlukan ketelitian dan perspektif serta pelaksanaan yang kompleks.

Dari sudut cita-cita, sedari kecil saya amat cenderung kepada bidang design dan architecture. Dan bidang micromechanics dalam pembuatan jam adalah salah satu daripada kegemaran saya sejak kecil lagi.

Hobi saya selain bidang horologi atau ‘kajian pengukuran masa’ adalah bidang automotif terutamanya hypercars, kesemua kereta keluaran BUFORI® Motors Malaysia, dan JDM Street Culture oleh Liberty Walk, Rocket Bunny dan Rauh-Welt Begriff.

2. Sejarah Permulaan Sebelum Pergi Lebih Serius Di Dalam Bidang Ini

Gambar: Youtube Teraju

Saya mempunyai afiniti dan minat yang tinggi terhadap benda “hidup”, sama ada semulajadi, biologik, buatan atau mekanikal.

Saya selalu melihat seutas jam tangan sebagai sejenis “living mechanism”, seperti sebuah jantung mekanikal yang sedang berdegup secara sekata dan konsisten di pergelangan tangan, atau di dalam poket.

Sejak dari usia 6-7 tahun, hobi saya adalah ‘membedah’ mainan atau instrument mekanikal. Robot, kereta, radio, jam, selalunya tidak akan kekal lama dalam rupa asal di rumah saya. Kebanyakannya akan dijadikan bahan eksperimen dan akan menjadi benda “hybrid” baharu.

Ibubapa saya menganggap ia adalah satu “fasa tumbesaran”, sehinggalah saya mula mengenali jam mekanikal pada sekitar usia 12 tahun. Jam Seiko abah merupakan “mangsa”, atau lebih tepat lagi, “pesakit” saya yang pertama, apabila ia tidak lagi menunjukkan waktu yang tepat.

Abah saya bukan seorang peminat jam, malah beliau adalah seorang yang sangat setia pada jam beliau bertahun-tahun lamanya, tetapi memahami minat saya. Ibu saya adalah individu yang “membekalkan” saya dengan “cadaveric watches” atau “jam mayat”, yang menjadi sumber untuk saya belajar. Saya selalu menganggap mereka adalah pendorong dan penyokong terbesar saya.

Sejak usia tersebut saya mula belajar secara tidak formal mengenai jam dan jenama besar dunia. Semasa saya berusia sekitar 15 tahun, tatkala rakan-rakan sebaya sibuk membeli G-Shock, saya pula mengumpul duit untuk membeli Rolex 6422 Oyster Precision terpakai.

Dan saya mula mengenali dan mendalami bidang horologi secara serius semasa letusan teknologi internet sekitar waktu tersebut, di mana saya mula membina jaringan rakan-rakan di serata dunia termasuk di Switzerland melalui chatroom dan forum.

Pada masa tersebut, dan saya percaya sehingga kini, tiada ibubapa yang tergamak untuk menyokong anak mereka untuk menjadi pembuat jam, kerana secara rasional ia bukanlah satu pilihan kerjaya yang boleh menjamin masa hadapan.

Saya bersetuju, kerana bidang ini bukan dalam budaya kerjaya rakyat Malaysia, dan jauh sekali dalam senarai “Kerja-Kerja Paling Popular” atau “Kerja-Kerja Pilihan Ibu Bapa dan Mertua” di Malaysia. “Doktor, lawyer, majistret??!” “Pembuat jam..” “Pembuat jam??? Pantang nenek moyang aku..”

Tetapi tiada siapa yang boleh menghalang jika minat itu terlalu mendalam. Dalam hidup perlu ada passion, dan perlu bijak. Pekerjaan hakiki akan memberi kelangsungan hidup, dan pekerjaan berdasarkan minat akan memberi kelangsungan mental dan kepuasan diri.

Jangan sesekali padamkan minat dan bakat, jika kita percaya ia boleh membawa kebaikan kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Bagi saya MASA Horlogerie bukanlah satu entiti perniagaan, tetapi lebih kepada fardhu kifayah, satu usaha dan sumbangan saya serta rakan-rakan MASA kepada Malaysia. Sesuatu yang menjadi sejarah, dan mencipta sejarah.

3. Penguasaan Ilmu Dan Kemahiran Pembuatan Jam

Saya belajar daripada pelbagai sumber, secara rasmi dan tidak rasmi. Ilmu pembuatan jam, seperti ilmu-ilmu lain, perlu mempunyai sumber yang baik dan kita mesti belajar dari tahap paling asas. Barulah ilmu ini dapat dimanfaatkan dalam apa jua keadaan dan dapat kita menguasainya dengan baik dan betul.

Sebagai seorang “purist”, iaitu seorang yang sangat menghargai ilmu dan warisan bidang pengukuran masa atau “horologi”, sumber saya secara rasmi adalah daripada negara ibunda industri ini, Switzerland.

Saya mempunyai beberapa orang guru dan mentor di beberapa buah institusi di sana yang mendidik dan menjadi motivasi kepada saya untuk membawa bidang ini ke Malaysia.

Ilmu dan inovasi adalah perkara paling penting dalam industri ini. Bertahun-tahun lamanya, dan saya masih belajar. Horologi adalah bidang yang sangat dinamik dan progresif.

Dari sudut horologi, guru atau mentor saya yang paling rapat adalah Mr. Kari Voutilainen dari Voutilainen d’Art, Mr. Max Busser dari MB&F, adik-beradik Rexhepi dari Akrivia dan Mr Konstantin Chaykin dari Russia.

Kesemua mereka adalah Master Watchmaker dan mempunyai kepakaran masing-masing. Mereka adalah individu-individu yang banyak mengajar saya tentang bidang dan dunia horologi.

Dari sudut perniagaan berkaitan horologi, guru dan mentor terbaik saya adalah Tan Sri (Dr) Francis Yeoh Sock Ping dari YTL dan Starhill Gallery yang merupakan individu penaung industri ‘haute horlogerie’ paling berpengaruh di Malaysia dan Asia.

Bagi mendalami bidang ini, pelbagai ilmu dan kemahiran dipelajari. Dari pembuatan sekecil-kecil skru menggunakan tangan, lukisan enamel di atas paparan jam, ukiran pada kelonsong jam, penghasilan dan penataan blueprint enjin jam secara manual dan berkomputer, sehingga pemasangan ratusan komponen mikro dalam case yang berdiameter hanya 39mm.

Saya juga mempelajari proses pembuatan peralatan sendiri, untuk membuat komponen sendiri. Kami dalam proses pembangunan makmal horologi berskala penuh di galeri kami.

4. Kerjaya Sebelum Ceburi Bidang Ini

Gambar: YouTube Teraju

4.1 Apakah kerjaya sebelum jadi pencipta jam?

Doktor perubatan.

4.2 Apakah kerjaya sebelum ini ada kaitan dengan bidang yang diceburi ini?

Ya, dari segi kemahiran untuk ketelitian, kemahiran mengendalikan komponen bersifat mikro, dan kesabaran.

4.3 Bagaimana Dr. Syah seimbangkan masa bagi kedua-dua bidang ini?

Secara jujurnya urusan di MASA Horlogerie kini hampir bersifat autonomous dengan strategi unik kami. Kebanyakan proses penghasilan jam tangan saya lakukan di luar waktu tugasan saya di klinik dan tidak mengambil masa yang lama, mungkin kerana kemahiran yang mencukupi dan piawaian kaedah kerja yang optimum.

Kerjaya saya selama bertahun-tahun dalam bidang perubatan juga membantu saya berfungsi secara fizikal dan membuat keputusan kritikal meskipun dalam keletihan dan stress yang tinggi. Perkara yang paling penting adalah masa bersama keluarga yang amat saya jaga.

5. Bagaimana MASA Horlogerie Bermula

Ditubuhkan pada 31 Ogos 2015, mengambil tarikh keramat kemerdekaan negara, MASA Horlogerie bermula hanya dengan cita-cita, seawal tahun 2010.

Berkecimpung dalam bidang ini secara mendalam sekian lama, saya rasakan sudah tiba masanya untuk sesuatu dilakukan bagi industri horologi tempatan.

Saya agak bernasib baik kerana mendapat sokongan yang sangat hebat dari rakan-rakan baik saya di Switzerland, yang sedia membantu atas dasar persahabatan dan atas nama horologi.

Nama asal cadangan saya adalah ‘Malaysian Watch Company’ (MWC), tetapi saya berpendapat nama Malaysia adalah nama berdaulat dan tidak wajar saya jadikan entiti komersil.

Jadi saya namakan usaha ini sebagai “MASA Horlogerie”, gabungan perkataan dari dua bahasa, MASA dari Bahasa Malaysia, dan “Horlogerie” adalah dari Bahasa Perancis yang bermaksud “bidang kajian pengukuran masa” atau “horologi”, yang juga menjadi simbol kerjasama antara dua negara, Malaysia dan Switzerland.

Bahasa Perancis adalah bahasa pengantaraan rasmi bagi industri jam Switzerland, selain Bahasa Inggeris. Saya memilih nama ini bagi memartabatkan Bahasa Malaysia dalam arena eksklusif ini supaya rakan-rakan dari luar negara mengetahui mengenai Malaysia dan bahasanya, dan pada masa yang sama mendidik masyarakat tempatan mengenai bidang horologi dan budaya Switzerland.

Logo rasmi kami yang saya reka sendiri mempunyai unsur Songket Bunga Pecah Lapan, dan jata rasmi kami direka berdasarkan jata asal Tanah Melayu.

Kami juga amat komited dalam usaha memartabatkan seni tradisi, kebangsaan, warisan dan patriotisma Malaysia dalam usaha ini, dan dengan itu kami telah menjadikan Horologi Warisan™ atau Heritage Horology™ sebagai trademark kami.

Jujur saya katakan, untuk terlibat secara serius dan mengikut etika horologi sangat susah, dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan kewangan.

Saya berdikit dan merangkak, perlahan-lahan membawa idea ini kepada beberapa orang yang saya kenali, dan kesemuanya tidak percaya ia mampu dilakukan oleh seorang rakyat Malaysia.

Malah ramai yang mencadangkan agar jam-jam ini dibuat secara pukal di sebuah negara yang terkenal di Asia dan dipasarkan dengan harga berlipat kali ganda.

Malangnya saya mempunyai prinsip yang sangat bertentangan dan pemikiran seperti ini hanya akan mencemarkan usaha saya.

Pada akhir tahun 2014 saya mendapat peluang untuk mengikuti program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) di bawah kelolaan Agensi Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Secara jujurnya saya menyertai program ini secara tidak sengaja, kerana pada masa itu saya sedang mencari kursus keusahawanan yang boleh saya ikuti yang berdekatan dengan tempat kerja saya, agar saya boleh ikuti sambil bertugas.

Daripada ribuan peserta yang bertanding, hanya beberapa orang sahaja terpilih untuk menyertai bootcamp selama seminggu. Bootcamp mereka adalah yang terbaik di negara ini setakat ini, dan segala kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak TERAJU.

Tetapi perkara yang paling berharga adalah melalui program ini, kita akan mengetahui kelemahan dan kelebihan kita secara spesifik, dan persahabatan yang terjalin di antara peserta-peserta yang bertanding. Malah, rakan sebilik saya semasa program ini, kini merupakan CFO MASA Horlogerie, dan alumni SUPERB adalah sangat rapat.

Alhamdulillah, saya telah diberi amanah dan kepercayaan sebagai salah seorang pemenang pada tahun 2015, dan memandangkan kesemuanya perancangan telah diatur rapi, kami merupakan antara syarikat pemenang yang terawal mencapai ‘Key Performance Index’ (KPI) yang ditetapkan dan antara terawal memasuki fasa komersil.

Kemenangan ini merupakan suntikan signifikan bagi MASA Horlogerie. Pihak TERAJU akan memastikan para pemenang dapat menjalankan operasi perniagaan secara optimum dengan bantuan agensi-agensi “mentor” yang dipilih khas berdasarkan segmen perniagaan.

MASA Horlogerie amat bertuah kerana mendapat agensi kreatif terbaik di Malaysia dari pandangan saya, MyCreative Ventures, di bawah seliaan Encik Johak Ishak, CEO industri kreatif tempatan yang sangat aktif memperjuangkan industri kreatif Malaysia.

MASA Horlogerie ditubuhkan atas beberapa tunggak dan nilai utama. Antaranya adalah:

  • Memperkasakan ilmu horologi antarabangsa dan mewujudkan medan ilmu horologi di Malaysia,
  • Memartabatkan seni tradisi dan kebudayaan Malaysia melalui bidang horologi,
  • Mencipta sejarah bagi negara dalam setiap langkah,
  • Menjadikan usaha ini sebagai fardhu kifayah dan mematuhi syariah dari segi material, kaedah pembuatan dan tenaga kerja yang digunakan,
  • Menyatukan peminat horologi Malaysia dan Asia Tenggara,
  • Mewujudkan koleksi terbaik dengan nilai terbaik, dan
  • Memberi kembali kepada masyarakat melalui kebajikan dan khidmat nasihat.

Kami hanyalah sebuah syarikat kecil dengan impian yang besar, dan keuntungan bukanlah keutamaan. Bagi kami asalkan kami dapat membanggakan dan menyumbang kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara, tidak mempunyai hutang dan mampu untuk kami beroperasi, itu sudah mencukupi.

Risiko perniagaan dalam bidang ini adalah tinggi kerana jenama adalah perkara yang paling penting proses pembelian jam, dan di Malaysia, pasaran jam tangan dikuasai oleh jenama-jenama besar dan popular, dan hampir 70-85% pasaran adalah dari kategori fashion watches.

Begitu juga dengan kehadiran ratusan jenama-jenama start-up baharu di pasaran, yang sebilangan besarnya diwujudkan oleh mereka yang bukan dari bidang horologi dan bersifat one-off.

Pasaran jam tangan tiruan pula adalah antara yang terbesar di Asia Tenggara, menjadikan penetapan segmen adalah sukar dan risiko peniruan agak tinggi.

Dan antara faktor paling signifikan saya menubuhkan MASA Horlogerie adalah sebagai fardhu kifayah, apabila saya mendapat tahu terdapat tali jam berjenama popular diperbuat daripada unsur yang tidak mematuhi syariah, hanya kerana kos penghasilannya lebih murah.

Kita sering mendengar mengenai kasut dengan isu seperti ini tetapi dalam industri jam tangan ia bukan sesuatu yang dititik-beratkan, terutamanya apabila pembelian dilakukan melalui penjual rasmi atau tidak rasmi yang tidak tahu mengenainya atau tidak melalui prosedur yang betul.

Satu lagi sebab utama saya menubuhkan MASA Horlogerie adalah untuk memberi jaminan mengenai asal-usul jam tersebut.

Saya adalah seorang “purist” dan bagi saya nilai dan asal-usul jam tangan yang dibeli adalah sangat penting, kerana ia menggunakan wang hasil titik peluh saya bekerja dan menyimpan. Saya tidak akan membeli jam yang berharga RM500 apabila saya tahu kos pengeluarannya hanya sekitar RM50.

Dan saya selalunya akan berhati-hati dengan jenama yang menggunakan tatanama “SWISS MADE”, kerana hanya ada sebilangan sahaja jenama yang benar-benar 100% dibuat di Switzerland, menggunakan material yang dibuat di Switzerland, dan menghormati etika horologi sebenar.

Dalam perniagaan bukan semua orang bersifat jujur, dan ada yang mengambil kesempatan terhadap pembeli apabila pembeli tidak mempunyai ilmu yang cukup, atau membuat ‘overclaim’ yang kadang-kala tidak munasabah.

Seringkali saya terpaksa berterus-terang dengan rakan-rakan yang bertanya mengenai jam mereka yang dibeli dengan harga ribuan, malah belasan ribu ringgit, bahawa jam mereka bukanlah seperti yang mereka harapkan.

Sehinggakan ada di antara mereka yang marah dan mencabar saya membuktikannya, tetapi enggan menurut apabila saya menawarkan untuk membawa mereka ke pengedar sah jenama tersebut. Melalui MASA Horlogerie, masalah dan keraguan ini dapat diatasi.

Seperti bidang perubatan, bidang horologi sebenarnya mempunyai etika yang sangat tinggi, dan ia adalah di antara aspek terpenting yang perlu dipatuhi dalam industri ini.

6. Modal Bisnes

Modal yang paling bernilai dalam industri ini adalah ilmu horologi, kemahiran teknikal dan kekuatan jaringan individu pengasas itu sendiri.

Kredibiliti individu yang mengasaskan jenama jam Swiss adalah sangat bernilai dan menentukan keteguhan profil jenama tersebut. Saya bernasib baik kerana merupakan antara rakyat Malaysia yang boleh dikatakan dikenali dalam industri ini di Switzerland, kerana tidak ramai doktor perubatan yang terlibat secara langsung dalam bidang ini.

Secara umumnya modal dari segi kewangan untuk industri horologi Swiss yang sebenar melibatkan nilai jutaan Swiss Franc, dan lebih banyak lagi jika dalam nilai ringgit di atas faktor nilai matawang, dan ia merupakan antara industri paling mahal, paling bernilai dan paling kompetitif di dunia.

MASA Horlogerie digerakkan hanya selepas segala persediaan disempurnakan bermula dari tahun 2012. Modal kami adalah secara kolektif dan persendirian.

Kemudiannya dibantu dengan kemenangan saya dalam cabaran keusahawanan kebangsaan anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB), yang secara peribadi bagi saya merupakan program berteraskan ekonomi dan keusahawanan Bumiputera yang terbaik dari sudut kewangan dan jaringan domestik.

7. Punca Cipta Jam Tangan Eksklusif Tempatan

Secara jujurnya MASA Horlogerie ditubuhkan dengan objektif untuk memartabatkan seni budaya dan warisan Malaysia melalui pembuatan jam bernilai tinggi, dengan mematuhi piawaian tertinggi di peringkat antarabangsa.

Sedari awal saya telah menetapkan keunikan MASA Horlogerie adalah berdasarkan trademark kami, Horologi Warisan™ atau Heritage Horology™, di mana setiap jam kami bukan sahaja mempunyai kualiti mengikut piawaian industri horologi Switzerland, tetapi lebih menumpukan kepada elemen dan seni warisan Malaysia, menjadikan kami syarikat jam Malaysia-Swiss pertama yang diiktiraf dengan keunikan ini dalam industri.

Setiap jam tangan MASA Horlogerie mempunyai elemen warisan Malaysia, sama ada dari sudut elemen atau pembuatan, dan dikeluarkan dalam kuantiti terhad.

Teknologi yang digunapakai adalah pelbagai dan setiap komponen adalah mengikut piawaian serta akreditasi industri Switzerland, dan meskipun teknologi menjadi aspek penting dalam industri ini, proses tradisional seperti ukiran tangan dan lukisan enamel masih diutamakan.

Dan kebanyakannya dibuat oleh saya sendiri memandangkan seni warisan Malaysia masih asing bagi industri jam Switzerland, tetapi selepas MASA Horlogerie diperkenalkan ia telah menarik banyak perhatian.

Antara cabaran paling sukar adalah mendapatkan kelulusan dan paten bagi rekabentuk jam dan enjin, dan juga menerangkan tentang seni warisan Malaysia kepada rakan-rakan di Switzerland.

Hinggakan saya dan rakan MASA akan ke mesyuarat di sana dengan berbaju Melayu lengkap bersampin songket bagi membolehkan mereka memahami budaya dan tradisi kita.

Tetapi bagi kami, ini adalah perkara yang menjadikan perjalanan MASA Horlogerie ini unik dan menjadi identiti kami dalam industri.

8. Pelanggan Dan Peminat MASA Horlogerie

Gambar: YouTube Teraju

Pasaran sasaran merupakan antara perkara paling sukar untuk industri ini, kerana walaupun ia bersifat eksklusif, tetapi peminatnya tidak dapat ditentukan secara spesifik kerana sesiapa sahaja yang meminati dunia horologi yang sebenarnya, akan dapat memahami usaha kami.

Jujur saya katakan, kami adalah lebih daripada sekadar sebuah syarikat jam tangan. Di MASA Horlogerie, kami meraikan ilmu horologi, etikanya, nilainya, warisannya, serta intipati horologi yang berabad usianya.

Kami bukan sebuah entiti perniagaan tipikal, dan saya membangunkan MASA Horlogerie dengan tidak mengikuti teori pembangunan perniagaan yang biasa kerana bagi saya, setiap usaha mempunyai keunikan dan matlamatnya yang tersendiri.

Saya secara peribadi tidak akan mempengaruhi sesiapa untuk membeli, sebaliknya saya akan memberikan sebaik-baik penerangan pengenai MASA Horlogerie dan jam keluaran kami.

Saya selalunya tidak membenarkan klien membayar sehingga benar-benar puas hati, dan tiada booking fees perlu dibayar untuk apa-apa transaksi. Meskipun kualiti jam kami adalah antara yang tertinggi dalam kelasnya, tetapi harga jam tangan MASA Horlogerie juga adalah antara terbaik dalam kelasnya.

9. Pemasaran Unik MASA Horlogerie

Gambar: Instagram MASA Horlogerie

Pemasaran kami adalah sangat unik bagi MASA Horlogerie, di mana strategi kami adalah bersifat adaptif dan interaktif, terutamanya melalui media sosial Instagram.

Bagi saya pemahaman klien mengenai MASA Horlogerie dan usaha kami adalah sangat penting. Sebelum ini media sosial adalah perkara yang ‘taboo’ atau terlarang dalam industri barangan mewah, tetapi kami membuktikan ia adalah salah satu strategi terbaik jika dilakukan dengan betul.

Ia juga fleksibel, bersifat real-time dan bagi saya ia adalah satu cara kami menghormati rakan-rakan yang berminat dengan MASA Horlogerie.

Saya sentiasa melihat pemasaran sebagai satu entiti kreatif dan dinamik. Tetapi apabila para pelanggan datang ke galeri kami, ia akan menjadi satu pengalaman yang unik dan berbeza, kerana setiap perjumpaan bukan bersifat perniagaan, tetapi lebih bersifat perkongsian ilmu dan minat peribadi.

10. Masa Depan MASA Horlogerie

Dalam tempoh 5 tahun, saya merancang untuk MASA Horlogerie sebagai sebuah manufacture dengan fasiliti dan infrastruktur setaraf piawaian antarabangsa, dengan kemudahan pembelajaran, latihan dan pembuatan.

Sasaran pameran Basel World pada tahun 2018, dan SIHH dan SalonQP pada 2019 serta A Journey Through Time oleh Starhill Gallery yang diadakan setiap tahun akan sentiasa diberi keutamaan.

Kami adalah usaha yang kecil, dan kami tidak merancang untuk menjadi sebuah syarikat yang besar dengan keuntungan yang banyak, tetapi lebih kepada sebuah usaha yang signifikan, dan boleh dibanggakan oleh Malaysia dan rakyatnya.

11. Nasihat Bagi Anda Yang Mahu Menceburi Bisnes

Dalam apa jua usaha yang hendak diceburi, sentiasa fikir tentang apa sumbangannya pada masyarakat, agama, bangsa dan negara, dan apa yang kita boleh beri kembali.

Ceburi bidang yang belum lagi diceburi oleh rakan-rakan yang lain supaya bidang itu menjadi fardhu kifayah dan mengelakkan market saturation, sekaligus mengelakkan market assasination yang kini sudah banyak terjadi.

Jangan menghina atau merendah-rendahkan persaingan, dan anggap sesuatu bidang itu sebagai satu ‘keluarga’.

Perkara paling penting adalah ilmu pengetahuan, niat dan pelaksanaan. Berikan nilai terbaik setara dengan kualiti. Letakkan yang sepatutnya pada tempatnya, dan jangan biarkan niat menghalalkan cara.

Sentiasa percaya rezeki adalah hak Allah SWT, walaupun sikit yang penting adalah keberkatannya.