Pada hari semalam ramai netizen meluahkan rasa kekecewaan apabila pawagam tempatan memotong masa tayangan filem animasi tempatan Mechamato Movie untuk memberikan laluan kepada filem dari luar negara Avatar: The Way of Water.

Terbaharu, Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil berkongsi satu berita baik buat semua peminat animasi tempatan tersebut apabila Ketua Pegawai Eksekutif FINAS mengesahkan kepada beliau bahawa pihak pawagam bersetuju untuk menambah masa tayangan Mechamato Movie.

Baca Juga:

Khabar baik itu telah mendapat pujian daripada netizen, mereka sangat kagum apabila melihat isu terbabit dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam sahaja.

Sekaligus ini memberikan peluang kepada orang ramai memanfaatkan masa cuti sekolah untuk membawa anak-anak mereka menonton filem animasi yang berjaya menembusi pasaran global di samping turut tersenarai di dalam kalangan 100 Karya Anime Terbaik menerusi Festival Anugerah Anime Tokyo 2023.

https://twitter.com/zulfiqri1607/status/1603996428229316609?s=20&t=jZ099P8g6Z3r7OtCpSnlNg

https://twitter.com/secretservicemy/status/1603995707043893250?s=20&t=jZ099P8g6Z3r7OtCpSnlNg

Terdahulu pengarah filem animasi Mechamato Movie, Nizam Razak mendapati tiada tayangan filem tersebut pada waktu malam bagi memberikan ruang kepada filem Avatar 2 yang baru sahaja memasuki pawagam-pawagam di Malaysia pada minggu ini.

Untuk rekod, Mechamato Movie berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM10 juta hanya dalam masa enam hari tayangan di pawagam.

Sebelum ini The Vocket ada berkongsi sebab-sebab mengapa filem Mechamato Movie ini mempunyai sambutan hangat sehingga berjaya mendapatkan kutipan jutaan ringgit dalam masa singkat.

Selepas ini bagi yang masih belum menonton filem ini, bolehlah curi-curi masa untuk pergi ke pawagam dan menontonnya sendiri. Bersama-samalah kita menyokong industri animasi tanah air.