Sepanjang rencana hidup, saya tidak pernah menyangka untuk sampai ke Pulau Lesvos ini, malah mendegarnya pun tidak pernah apatah lagi menyangka bahawa pulau ini benar-bena berada dalam peta dunia.

Namun, Adik Aylan Kurdir telah membawa saya ke pulau ini untuk jauh memahami dan menyelami kisah kemanusiaan yang penuh tragis dan begitu buruk dalam era kemodenan dunia, saya tidak pernah menyangka ia sekejam dan seburuk itu!

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Saya hanya mahu bercerita, bahawa dunia kemanusiaan sedang parah dan saya hanya mahu menjadi setitis ubat untuk mengurangkan duka mereka.

Cerita dari kem. 2.30 AM

Pada malam ini, saya ditugaskan untuk berjaga di khemah medikal Moria. Hanya pasukan medikal NGO kami sahaja yang berjalan 24 jam. Setiap kali bertugas untuk ‘night shift‘, memang sangat mendebarkan. Yang pastinya tiada malam yang tenang di Kem Moria.

Kedengaran bunyi bas tiba di perkarangan kem. Saya bersama sukarelawan yang lain berlari mendapatkan bas. Kata rakan setugas, malam ini diberitahu ada 8 bot akan tiba di persisiran pantai. 1 bot bererti akan ada lebih kurang 30 orang minimum dalam satu bot. Bagaimana untuk saya harungi malam ini, saya pun tidak tahu. Yang pastinya, malam ini khemah perubatanlah yang akan jadi paling ‘havoc’!

Orang-orang tua, lelaki dan wanita , kanak-kanak dari pelbagai umur. Ada yang menangis, menggigil kesejukan, dan ada yang masih tersenyum, gembira bagaikan penantian dan penat lelah mengharungi rintangan untuk tiba di Eropah telah berakhir.

Kata sukarelawan lain, mereka mendapat berita akan ada 2 ke 3 bot lagi yang akan tiba. Maksudnya hari ini semua yang bertugaas pada shift malam harus bersedia dengan apa jua kemungkinan.

Iya, mereka berjaya tiba di persisiran pantai, dan mereka selamat tiba di kem. Raut wajah mereka gembira dalam tangisan. Ada yang masih dalam status ‘shock‘, hypothermia, traumatik. Sesak, dan suasana ketika itu penuh dengan pelbagai emosi dan ragam.

Begitulah suasana hari-hari di Lesvos. Saya bersama rakan-rakan NGO Health Point Foundation. Bermacam kisah. Paling menakutkan adalah mengharungi syif malam. Syif malam sangat menyeramkan kerana pada waktu 2-3 pagi akan tiba bot-bot para penyeludup di persisiran pantai Lesbos. Dan hanya khemah perubatan kami yang buka 24jam!

Setiap malam kisah berbeza dan saya masih ingat kisah-kisah pesakit dan suasana di kem sehingga kini.

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-2

Saya hanya Siti Fatimah, Bercita-cita menjadi doktor pakar

Nama saya Siti Fatimah Zaharah Zulkapli, lebih mesra dikenali Akiey. Saya berasal dari Melaka, dan merupakan graduan perubatan dari Republik Czech.

Pada peringkat awal persekolahan, saya bersekolah di Lancaster Primary School, UK, kemudian pulang ke Malaysia untuk menyambung persekolahan di Alor Gajah, Melaka. Sekolah menengah pula, saya bersekolah di SMK Telok Mas, Melaka dan SMS Sains Muar pada Tingkatan 4 dan 5.

Alhamdulillah, saya ditawarkan oleh MARA untuk membuat persediaan dan mengambil IB di Kolej Mara Banting sebelum menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Palacky University Olomouc, Republik Czech selama 6 tahun.

Tentang kerjaya pula, impian saya adalah untuk bekerja di Jerman dan menjadi doktor pakar tulang. Kini, selepas 6 tahun belajar di Republik Czech, saya mempelajari bahasa Deutsch di Berlin dan Frankfurt. Saya percaya tanah German ini mampu mengubah hidup dan persepsi saya dalam cita-cita dan impian saya.

Saya juga membuat kerja separuh masa sebagai pemandu pelancong di Eropah, perancang percutian Eropah dan juga pembantu tukang masak di Frankfurt.

Saya sangat percaya bahawa kehidupan ini adalah sebuah pengembaraan yang unik, lagi jauh saya berjalan maka pelbagai kisah bakal saya lalui dan rasai.

Siapapun saya, paling penting saya hanya pengembara yang bernama Siti Fatimah.

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-16

Sambungan kisah dari kem…

Bermacam ragam, bermacam manusia yang datang bersama pelbagai cerita hadir dalam khemah kami. Peluang ini kurasakan sangat berharga. Saya bukan sahaja dapat membantu meringankan kesakitan fizikal, bahkan tekanan emosi juga.

Pesakit ramai yang masuk ke khemah kami menceritakan apa yang telah mereka lalui sepanjang perjalanan. Mendengar kisah mereka, bukanlah sesuatu yang mudah.

Kami para sukarelawan telah diingatkan untuk tidak menangis di hadapan pesakit. Saya bukanlah seorang yang mudah menitiskan air mata, tetapi ada juga cerita yang sangat meruntun jiwa.

Tambahan pula ada antara mereka yang menangis teresak-esak di hadapan saya. Yang pastinya, pengalaman ini mengajar saya untuk lebih cekal dan berfikir lebih kreatif untuk mengubah suasana suram kepada lebih ceria.

Saya juga telah mengambil inisiatif untuk belajar sedikit bahasa Pashto (Afghanistan), bahasa dari Pakistan, Bahasa Arab (Syria).

Cerita-cerita Bollywood dahulu yang saya belajar dari TV sangat lah berguna di kem kerana aku dapatlah menceriakan pesakit-pesakit dari Pakistan! Mereka cukup terhibur apabila saya bertanya ‘Aap ke nahm hei? ‘Mujhse dosti karoge? Haha!

Dalam pasukan saya, minggu pertama hanya saya seorang pelajar perubatan yang menjadi sukarelawan. Syukur Alhamdulillah, meskipun pengalaman saya paling sedikit dalam kumpulan perubatan ini, rakan-rakan doktor dan jururawat sangat membantu dan sentiasa membimbing.

Bahkan saya sendiri ditugaskan untuk memberi penerangan tentang cara penggunaan nebulizer yang telah saya bawa (hasil duit daripada kutipan derma) semasa perjumpaan bersama semua ahli HPF.

Dan hakikatnya bukan calang-calang orang dalam pasukan yang saya sertai. Tetapi mereka semua membuatkan diri saya yang kecil ini rasa diterima dalam pasukan.

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-3
STOP DEPORTATION! Dibuat oleh para sukarelawan.
pengalaman-di-kem-pelarian-syria-4
Tapak tanganku ‘DR FATIMAH, M’sia sebagai kenangan bersama HPF team.

Beberapa hari selepas meninggalkan Lesbos bukanlah mudah untuk  saya lalui. Fizikal saya telah meninggalkan pulau itu, tetapi hati saya masih tertinggal di Lesbos.

Rupa-rupanya bukan saya sahaja yang merasai kehilangan. Bahkan rakan-rakan sukarelawan yang lain. Percaya atau tidak, sehingga kini saya masih teringat imej-imej suasana di kem, lambakan jaket keselamatan dan muka-muka manusia penuh harapan, membuatkan saya seringkali terfikir – adakah betul saya berada di Eropah? Am I really in Europe? Is this Greece?

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-5
Suasana sekitar kem. Terdapat tinggalan ‘life jacket’ oleh pelarian yang baru tiba di kem malam sebelumnya.
pengalaman-di-kem-pelarian-syria-6
Sukarelawan membina ‘Prayer Tent’ ruang solat untuk para pelarian. Subhanallah, mereka sangat baik!

Krisis pelarian sudah pun melanda Eropah sejak tahun lalu. Ketika itu, saya masih lagi pelajar tahun akhir di Palacky University, Olomouc. Tambahan, gambar tragis kanak-kanak kecil Aylan Kurdir yang lemas di persiriran pantai di Turki membuatkan saya nekad untuk ke sana dan membantu apa yang boleh.

Namun, pergerakan saya agak terbatas kerana masih ada satu lagi kertas peperiksaan terakhir untuk saya duduki sebelum menamatkan pengajian ini.

Maka niat ini saya nazarkan. Jika peperiksaan terakhir O&G (Obstretic And Gynaecology) selesai dan saya berjaya menjadi seorang doktor, walau bagaimana sekalipun, saya akan kembali semula ke Pulau Lesbos dan menjadi sukarelawan perubatan di sana.

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-7
Permandangan kem Moria dari kaki bukit.

Mengapa Pulau Lesbos?

Sebelum krisis pelarian melanda, Pulau Lesbos adalah salah satu kepulauan Greece yang popular di kalangan pelancong.

Kini, Pulau Lesbos adalah laluan masuk utama untuk sampai ke Eropah dari Turki memandangkan lokasi geografi Pulau Lesbos yang jaraknya hanya lebih kurang 6 batu dari perairan Turki.

Ini menjadikan Pulau Lesbos sasaran para penyeludup dan aktiviti pemerdagangan manusia. Purata dalam sehari Lesbos akan didatangi lebih kurang 2,000 hingga 3,000 orang satu malam.

Terdapat pulau Greek lain seperti Kos dan Khios yang juga berhampiran dengan Turki. Tetapi penyeludup lebih memilih pintu masuk melalui Lesbos ini kerana perairannya yang lebih tenang, jadi untuk merentasinya lebih mudah.

Pihak berkuasa juga boleh dikatakan sengaja terlepas pandang akan penyeludup-penyeludup bagi membolehkan pelarian Syria dapat sampai ke Eropah.

Pada Januari, ketibaan pelarian mencatatkan jumlah yang tertinggi iaitu kira-kira lebih 50,000 pelarian masuk melalui Lesbos. Dengan itu, tenaga kerja dan bantuan sangat diperlukan di Lesbos.

Kebanjiran warga pelarian di sini telah membawa rakan saya, Sabrina memperkenalkan kepada saya aktivis dari Czech bernama Maria yang telah mempunyai pengalaman sebagai sukarelawan di Lesbos.

Melalui Marie ini, saya masuk ke group volunteers Lesvos di Facebook, dan diperkenalkan kepada Ms Charity, coordinator HPF (Health Point Foundation).

Setelah saya berjaya melepasi peperiksaan O&G pada 21 Januari, dengan segera saya terus beli tiket penerbangan ke Mytilini, Lesbos.

Persiapan turut dibuat termasuk mengutip dana di laman sosial dengan tujuan untuk membeli perkakas perubatan seperti Automated Blood Pressure monitor, makanan dan sebagainya.

Alhamdulillah, daripada kutipan tersebut, lebih 1000 Euro berjaya dikumpulkan dalam masa 2 minggu.

Dan pada 7 Februari, saya berlepas dari Prague ke Athens, dan akhirnya ke Pulau Lesbos seorang diri. Hanya Allah yang mengetahu betapa tak sabar dan berdebarnya menanti hari ini!

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-8
Ruang legar dan tempat permainan untuk anak-anak pelarian. Dan di belakang kanan adalah ruang makan.
pengalaman-di-kem-pelarian-syria-9
Permandangan Moria pada pukul 6 pagi.

Suasana di hari ketibaan

Susah untuk  saya butirkan perasaan saya dalam kata-kata. Saya tiba di lapangan terbang Mytilini pada waktu malam. Di airport, saya bertemu Daniel yang merupakan sukarelawan dari Jerman dan kami telah pun bersetuju untuk berkongsi membayar tambang teksi menuju ke bandar sebelum tiba di Pulau Lesbos ini.

Keesokannya saya bergerak ke kem Moria dengan menaiki teksi. Di pulau ini jika tidak memiliki kereta, susah untuk bergerak dari bandar ke kem kerana kedudukan kem yang terletak agak jauh dari bandar.

Ketika itu susah untuk saya gambarkan perasaan saya. Blurr pun ada. Saya tidak dapat jangkakan apa yang akan berlaku kerana inilah pengalaman sulung berada di kem pelarian. Mungkinkah sengsara, penuh derita, kelam kabut, dan semuanya suram dan muram?

Namun setibanya di kem, suasana di situ bukanlah seperti yang pada awalnya telah saya cuba gambarkan dan bermain di fikiran. Raut wajah ceria menyapa ketibaan saya dan ternyata mereka yang berada di sini cuba meneruskan kehidupan.

Setelah tiba di khemah perubatan, rakan-rakan setugas memberikan penerangan tentang skop tugas saya sebagai sukarelawan perubatan dan membawa saya ke sekitar kem.

Apa yang saya lihat, sukarelawanlah yang paling sibuk. Ada yang mengecat kem untuk menjadikan kem lebih kelihatan ceria.

Ada yang membersihkan longkang dan membaiki saliran air sekitar kem, mengemas gudang pakaian dan mengagihkan baju-baju kepada pelarian, ada yang memasak, dan ada juga yang bermain dengan anak-anak pelarian di sekitar kem.

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-1

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-10
Warga pelarian berebut menunggu giliran untuk mendaftar.
pengalaman-di-kem-pelarian-syria-11
Sedang menyiapkan beg Ambulatory Emergency Bag.

Antara kisah pelarian perang

Kisah 1 – Terpisah dengan keluarga, gadis hidup sebagai pelarian sejak berumur 10 tahun.

Kalau nak tulis kesemua kisah yang telah dikongsikan oleh pelarian ini, memang takkan cukup satu buku. Antara kisah-kisah yang masih segar diingatan adalah kisah seorang gadis bernama Nina (bukan nama sebenar) gadis berumur 16 tahun dari Afghanistan.

Perbualan saya dengannya adalah menggunakan bahasa Inggeris. Kefasihan beliau membuatkan saya kagum kerana kata Nina, dia tidak pernah bersekolah sejak kecil.

Nina melarikan diri ke Iran bersama kakak saudaranya yang lebih dewasa. Ketika itu, usianya cuma 10 tahun.

Manakala ibunya masih tinggal di kampung halaman di sebuah perkampungan kecil di Afghanistan. Nina mengharapkan kehidupannya akan menjadi lebih baik apabila di Iran nanti, namun sangkaannya meleset.

Kata beliau, pelarian dari Afghanistan sering kali dipandang rendah oleh orang-orang tempatan. Agak sukar bagi Nina untu mendapat kerja.

Tambahan pula, beliau cuma berusia 10 tahun! Namun akhirnya beliau diambil kerja sebagai tukang sapu di sebuah pejabat. Kesempatan itu juga diambil, beliau mempelajari bahasa Inggeris dengan usaha sendiri.

Tahun demi tahun, beliau bekerja dan menyimpan duit hasil daripada bekerja sebagai tukang sapu di pejabat itu.

Sambung Nina lagi, tahun lalu, beliau mendapat berita dari ibunya bahawa bapanya mahu mengahwinkan Nina dengan saudara lelakinya.

Kata ayahnya, jika Nina enggan, ayahnya akan menghantar ahli keluarganya untuk mengambil Nina pulang ke Afghanistan. Nina memberitahu saya bahawa ayahnya mempunyai kaitan dengan Taliban di sana.

Dengan nekad, Nina melarikan diri dari Iran, merentasi Turki dan akhirnya tiba di Greece selepas 5 bulan perjalanan.

Figure 2 Saya bersama Michaela dari Italy dan Dr Chrissy dari Canada

Kisah 2 – Tabahnya Sepasang suami isteri membawa 2 anak kembar OKU

Sepasang suami isteri Syria datang ke khemah perubatan di suatu hari. Bapanya mengendong 2 anak kecil, kembar lelaki berumur 4 tahun, manakala ibunya mengendong bayi lelaki kecil berusia 7 bulan.

Kedua-dua anak kembar lelaki itu menghidapi Cerebral Palsy, atau Palsi Serebrum, iaitu salah satu kategori ketidakupayaan perkembangan di mana bahagian-bahagian otak tertentu yang mengawal koordinasi dan pergerakan otot-otot dalam badan seseorang mengalami kerosakan.

Bayangkan, bukan seorang anak kecil yang kurang upaya, tetapi dua. Mashaallah, melihat nasib mereka, hati sayaberasa hiba dan sedih.

Ibunya, Safya (bukan nama sebenar) fasih berbahasa Inggeris. Safya memberitahu saya, dia memiliki master dalam jurusan ekonomi dan bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah.

Namun beliau tidak sempat menghabiskan ijazah PHD kerana peperangan yang melanda di negara mereka. Saya masih ingat lagi betapa positifnya Safya. Beliau berulang-kali mengatakan, ‘Innallaha ma’ana’ (Allah bersama kita).

Ketika saya ditugaskan untuk ‘clerking’ pesakit lain dan penterjemah Bahasa Arab pula tiada, Safya membantu saya menterjemahkan soalan saya kepada pesakit.

Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada saya sebelum meninggalkan kem kami. Kata-kata Safya sehingga kini saya masih ingat ketika beliau memeluk saya,

Do what you love most, do it because of Allah. You’ll be forever happy and always in His blessings’.

Sungguh saya kagum dengan Safya. Meskipun hakikatnya beliau berstatus pelarian, tapi masih sempat menitipkan kata-kata semangat buat saya.

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-18
Syif malam bersama Dr Hadia dan Michaela. Kami menyelubungi badan dengan selimut dan ponco kerana cuaca yang sangat dingin dan sejuk pada waktu malam di dalam khemah perubatan.

Kisah 3 – Habiskan wang simpanan untuk rentas perairan Aegean

Mohamed, berasal dari Damsyik, Syria. Kata beliau, untuk merentasi perairan Aegaen dari Turki ke Greece, mereka terpaksa membayar 1000 Euro seorang kepada penyeludup di Turki.

Penyeludup ini telah menjanjikan bermacam janji manis kepada pelarian yang terdesak mencari kehidupan baru.

Mohamed memberitahu saya dia telah merentasi perairan Turki dan Lesbos dengan sebuah bot kecil, yang dipenuhi lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Kata beliau, sekurang-kurangnya ada 40 orang memenuhi bot kecil berukuran 9 meter besar. Mendengar cerita beliau, saya terpana.

Memang tidak hairanlah mengapa pada tahun lepas sahaja, lebih daripada 700 orang telah mati dalam cubaan merentasi perairan itu yang cuma 6 batu jauh. Bot sekecil itu dimuatkan seramai 40 orang!

Di Moria, polis memberitahu Mohamad dia hanya boleh memohon ‘asylum’ (perlindungan) hanya di Greece, dan tidak boleh di negara luar.

Beliau sangat risau dengan ura-ura pada ketika itu (yang kini sudah sah) bahawa pemimpin EU akan mengikat perjanjian dengan Turki bahawa mereka akan menutup pintu sempadan dan kawalan sempadan akan diketatkan.

Mana-mana pelarian yang tidak berdaftar akan dihantar pulang. All nationalities are likely to be deported. Bagi rakyat Syria, mereka akan dihantar pulang ke Turki, kerana Eropah tidak mahu menerima lebih dari 72,000 orang pelarian.

Baca: Traveler Malaysia Berkongsi Perasaan Selepas Lihat Keadaan Pelarian Syria Di Budapest

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-19
Saya bersama Michaela dari Italy dan Dr Chrissy dari Canada.

Apa yang telah saya pelajari sepanjang di sini

Banyak pengajaran dan pengalaman berharga telah saya pelajari sepanjang misi ini.

Antaranya apabila melihat kesungguhan dan keikhlasan sukarelawan-sukarelawan di sini yang datang dari jauh membuatkan saya rasa sangat rendah diri dan lebih bermotivasi.

Kebanyakan mereka mengambil cuti tanpa gaji berbulan lamanya untuk menjadi sukarelawan di sini.

Ada yang pada perancangan awalnya mahu datang cuma 2 ke 3 minggu, namun melihat betapa perlunya sukarelawan, mereka memanjangkan lagi cuti.

Sikap mereka ini membuatkan saya lebih teraspirasi untuk membuat yang terbaik dan ikhlas.

Di khemah perubatan pula, khemah kami tidak putus-putus didatangi pesakit 24 jam. Namun, rakan-rakan doktor dan jururawat sentiasa memberikan khidmat dan layanan yang terbaik.

Melihat anak-anak kecil yang datang ke kem kami dan mengukir senyuman apabila diberikan barang permainan, terasa sungguh tersentuh di hati ini.

Misi kami di sini adalah mahu meringankan kesusahan dan beban saudara- saudara kita dan senyuman anak-anak kecil sedikit sebanyak mengubati keperitan hidup mereka.

Melihat nasib warga pelarian ini banyak menyedarkan saya betapa bertuahnya kita rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana aman damai dan harmoni.

Tidak terbayang di fikiran bila memikirkan jika mereka ini adalah ibu bapa, atau keluarga sendiri yang terpaksa meninggalkan kampung halaman dan negara demi meneruskan hidup.

Pengalaman berharga ini juga membuatkan saya lebih bermotivasi untuk menjadi doktor pakar dan menjadi seorang yang kaya untuk membela nasib saudara-saudara kita yang susah.

Saya juga berpeluang bertemu dengan banyak individu yang bukan calang-calang persona. Mereka ini bukan sahaja banyak harta dan berjaya, malah sanggup datang dari jauh (UK, US dan banyak lagi), turun padang ke kem pelarian dan bertanyakan sendiri apa keperluan yang patut dibeli dalam khemah perubatan. Subhanallah semoga Allah membalas setiap perbuatan baik mereka.

Pandangan saya tentang apa yang saya mahu lakukan pada masa hadapan berubah 360 darjah. Sebelum ini, impian saya hanya mahu menjadi seorang doktor pakar. Namun selepas Lesbos, saya ingin menjadi lebih daripada itu.

Saya mahu berbakti bukan hanya kepada satu kumpulan. Saya ingin menjadi seorang usahawan berjaya dengan harapan dapat dapat membina satu yayasan untuk membela nasib anak-anak pelarian yang tidak berpeluang menyambung persekolahan.

Kerana saya percaya, hanya dengan pendidikan mereka dapat mengubah nasib keluarga dan masa depan mereka.

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-12
Syuf malam bersama rakan sepasukan dari pelbagai negara: Italy, UK, Australia, Sweden, Germany dan Malaysia (saya dan Pablo).
pengalaman-di-kem-pelarian-syria-13
Alat bantuan kerusi beroda dibeli hasil sumbangan orang-orang Malaysia. Terima kasih kerana atas sumbangan!

Pesanan buat pembaca The Vocket

1. Sebagai umat Islam, janganlah kita melupakan nasib saudara-saudara kita yang terpaksa berjuang demi meneruskan kehidupan di sana.

Mungkin kita merasakan tiada apa sangat yang boleh dibantu. Mungkin ada juga yang merasakan mengapa perlu kita tolong orang-orang luar sedangkan rakyat negara sendiri susah.

Hentikanlah pemikiran sebegitu. Selagi ada ruang dan peluang untuk kita hulurkan bantuan teruskan. Ruang dan peluang tidak selalu datang. We can do so much more only if we want to.

2. Sekiranya kita tidak mampu membantu saudara seagama dari segi pertolongan fizikal, sumbangan berbentuk wang ringgit, sokongan dan doa janganlah dilupakan.

Apa yang paling penting adalah tingkatkan ilmu pengetahuan tentang isu semasa yang melanda umat Islam di masa kini.

3. Kepada pemuda dan remaja di luar sana, libatkanlah diri kalian dengan misi-misi kemanusiaan.

Percayalah, pengalaman tersebut pastinya akan mengubah persepsi anda tentang kehidupan dan menjadikan diri lebih bermotivasi untuk maju dan membina dunia yang lebih baik.

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-14
Kem medikal HPF, ruang pembedahan minor dan pergigian.

Misi saya yang akan datang

Pengalaman lalu bersama pelarian di kem memanggil-manggil saya untuk kembali ke sana lagi. Kali ini insyaallah misi saya adalah ke Jordan pada awal Oktober ini.

Dan kali ini, saya akan menyertai NGO bernama Atlantic Humanitarian Relief yang ditubuhkan oleh seorang doktor Syrian-American dari Boston.

Bersama lebih 30 sukarelawan perubatan dari pelusuk dunia, kami akan ke kem pelarian yang terletak 1 jam dari Amman. Untuk pengetahuan kem pelarian ini  tidak diselia di bawah PBB.

Misi Oktober 2016 di Jordan ini merupakan kolaberasi antara 2 NGO, iaitu Atlantic Humanitarian Relief , bersama Syrian American Medical Society (SAMS) dan SCM Medical Missions.

Saya akan bertolak pada awal Oktober ini. Sebagai persediaan, saya masih dalam usaha mengumpul dana sebanyak yang mungkin agar dapat digunakan untuk pembelian ubat-ubatan, keperluan asas hidup, hygiene pack dan sebagainya.

pengalaman-di-kem-pelarian-syria-15

Bersama seorang rakan yang sangat berbakat dalam seni, Farrah Aini, kami juga menjalankan projek menghasilkan seni untuk dijual bagi menambah dana. Jika anda berminat, boleh hubungi saya di Facebook. Harga boleh runding.

Dengan rendah hati, saya menjemput anda para pembaca The Vocket untuk bersama-sama menyumbang bagi kutipan dana ini. Tidak kira berapa yang ingin anda sumbangkan, kecil atau besar nilainya itu tidak penting bagi saya. Yang utama adalah keikhlasan di hati anda.

Sumbangan boleh dibuat ke:

1. Akaun Paypal YOUCARING di link berikut – YOUCARING.

2. Atau bank in ke akaun Maybank saya
155050333776 – Siti Fatimah Zaharah Zulkapli

Saya tak mampu merealisasikan misi ini berseorangan, saya perlukan anda semua!

Baca lagi: ‘See You In Jannah’ Ucap Pelarian Syria Kepada Sukarelawan Malaysia Di Perancis