Hot Ones merupakan satu rancangan talk show baharu di iFlix di mana rancangan ini bakal memilih individu yang berpengaruh di Malaysia bagi membincangkan topik hangat dengan cara berbeza. Untuk setiap soalan yang ditanya, tetamu dikehendaki menjawab soalan dan merasa pelbagai tahap kepedasan sos yang ada di atas meja.

Lebih menarik, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipilih untuk menjadi tetamu pertama untuk siri ini. Maya Karin selaku pengacara telah bertanya beberapa soalan panas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu semasa dan karier politiknya dalam rancangan Hot Ones.

Seperti yang rakyat Malaysia sedia maklum, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditahan sebagai tahanan politik melebihi tiga kali dan turut dipenjarakan untuk beberapa kali. Namun, Datuk Seri tidak pernah berputus asa dalam perjuangan politik beliau dan terus bangkit membantu kerajaan ‘Malaysia Baru’ untuk kesejahteraan rakyat jelata.

Antara soalan yang diajukan Maya Karin kepada Anwar adalah, “Adakah berbaloi perjuangan politik beliau setelah menanggung sengsara dan dipenjarakan selama ini?”

Datuk Seri Anwar telah menjelaskan bahawa ianya sangat berbaloi sekiranya seseorang itu mempunyai keyakinan yang kuat dan bersedia untuk mengambil risiko dalam usaha memberikan perubahan yang baru untuk negara tercinta daripada mereka yang menyalahgunakan kuasa.

Seterusnya, Maya Karin turut bertanya kepada Dato’ Seri, “Bagaimana beliau begitu yakin bahawa untuk Pilihan Raya Umum 2018 lalu,  parti politik yang diwakili beliau dan Tun Dr Mahathir akan menang dan membawa perubahan kepada negara Malaysia?”

Keyakinan untuk kemenangan pada kali ini adalah kerana beliau telah melihat purata dasar tahun 2013 dengan 50 peratus sokongan diberikan kepada parti Pakatan Harapan dan yakin bahawa Tun Dr Mahathir berjaya menambah lagi 23 peratus sokongan untuk memenangi pilihan raya pada tahun 2018.

Antara soalan nakal Maya Karin untuk Datuk Seri Anwar adalah sama ada beliau tahu tentang beg Birkin dan tentang kapal Equanimity. “Saya tahu hanya orang seperti Jho Low yang mampu membeli kapal ini,” jawab Datuk Seri Anwar secara sinis.

Maya dan Datuk Seri Anwar turut membincangkan tentang ketirisan wang daripada akaun 1MDB yang menyebabkan nama Malaysia terkenal di seluruh dunia untuk perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Anwar turut menambah jika negara masih di bawah pemerintahan Dato’ Sri Najib Razak, skandal 1MDB pasti akan diteruskan dan dilindungi oleh kerajaan.

Saksikan temubual penuh antara Maya Karin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di aplikasi iflix, dan anda dengar sendiri pandangan Anwar Ibrahim dalam pelbagai perkara termasuklah bagaimana beliau membuang sentimen peribadi dan memilih jalan untuk menyelamatkan negara. Steady tahan pedas, Datuk Seri.

https://twitter.com/ookamir1n/status/1126522813781663744