Maybank mengumumkan tawaran cuti bersalin dilanjutkan sehingga 365 hari berkuat kuasa 1 Mac yang lalu kepada kakitangan wanita yang layak. Dasar baharu ini menjadikan Maybank sebagai institusi kewangan pertama di Malaysia menawarkan faedah tersebut.

Kakitangan yang layak dibolehkan menyambung cuti sehingga setahun dengan 90 hari cuti bersalin sedia ada bersama gaji penuh, tambahan tiga bulan lagi dengan separuh gaji, seterusnya enam bulan tanpa gaji.

Manfaat ini diumumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Manaf pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa di menara Maybank semalam.

“Dasar ini memberi peluang kakitangan wanita berdepan tuntutan sebagai ibu dan untuk bayi. Mereka perlu mengimbangi keperluan kerja dan kehidupan sebelum kembali ke pejabat dan melaksanakan peranan berkesan di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata, tempoh cuti bersalin yang dilanjutkan tidak akan menjejaskan rekod pekerjaan kakitangan, sebaliknya mereka akan turut mendapat perlindungan perubatan dan insurans mengikut gred ganjaran pekerjaan masing-masing.

Jelasnya lagi, polisi ini adalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif Maybank untuk mewujudkan pengalaman tempat kerja yang menarik bagi kakitangan untuk berkembang maju dan memberi kekuatan mereka mengimbangi tuntutan kerja dengan kehidupan berjalan lancar.

Pengumuman ini keseluruhannya menerima respon yang sangat positif.

Sumber