Beberapa hari lalu tular satu rakaman video cctv di mana berlaku seorang lelaki bergelut dengan sekumpulan lelaki yang cuba menangkap segerombolan anjing.

Sehubungan dengan itu pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian melibatkan penangkapan anjing liar yang dijalankan penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Taman Kanagapuram di sini pada Rabu lalu.

Baca Juga:

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam.

“Ketika operasi dijalankan, terdapat seorang lelaki cuba menghalang dengan memasukkan anjing-anjing yang hendak ditangkap ke dalam premisnya.

“Tindakan lelaki tersebut sekali gus mengakibatkan operasi penangkapan anjing liar tersebut gagal dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, kejadian tersebut turut mencetuskan pergelutan antara lelaki tersebut dan penguatkuasan MBPJ ketika operasi dijalankan.

“Kejadian mengakibatkan lelaki tersebut terkena batang rod yang digunakan untuk menangkap anjing ketika terjadinya pergelutan itu.

“Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.