Media Prima Bhd kembali mengaut keuntungan pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2021 (1QFY21) dengan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM4.2 juta, perubahan lebih 100 peratus berbanding kerugian bersih RM30 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Hal ini didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi dan perbelanjaan operasi yang lebih rendah, lapor The Edge.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia, pendapatan Media Prima meningkat 6.75% kepada RM254.53 juta daripada RM238.44 juta setahun yang lalu, disokong oleh pendapatan daripada aktiviti pengiklanan dan bukan iklan.

Tambah laporan itu lagi, pendapatan penyiaran Media Prima meningkat 16% pada 1QFY21 berbanding dengan 1QFY20 yang dipimpin oleh pendapatan iklan televisyen yang lebih tinggi dalam tempoh semasa.

Pendapatan content creation pula menurun 57% apabila perkhidmatan produksi televisyen dipindahkan ke segmen penyiaran pada 3QFY20 sehingga menghasilkan pendapatan intersegmen yang rendah.

Sementara itu, cabang media digital, REV Media Group, mencatatkan keuntungan bersih RM600,000 pada suku pertama. Keuntungan ini membalikkan kerugian sebanyak RM70,000 pada suku yang sama tahun lalu.

Pendapatan untuk segmen ini juga meningkat 11% kepada RM19.3 juta.

REV Media terus meletakkan kedudukannya sebagai syarikat digital terkemuka di Malaysia dengan memenangi dua anugerah pada suku pertama.

Pada bulan Mac tahun lalu, kumpulan ini juga melancarkan perkhidmatan penstriman filem bayar per tontonan baru yang disebut ‘tonton CINEMA’.

Menurut Ketua Kumpulan, Datuk Syed Hussian Aljunid, hasil ini menandakan perubahan yang penting bagi Media Prima setelah diuji dengan pandemik COVID-19 yang telah banyak mempengaruhi ekonomi dan industri.

“Pendapatan dari pengiklanan, percetakan dan pengedaran surat khabar, dan penjualan konten telah meningkat, terima kasih kepada pasukan kami yang menunjukkan kreativiti, fleksibiliti dan ketahanan selama masa yang sangat mencabar,” katanya.

Media Prima untung bersih RM18.1 juta untuk suku tahun keempat 2020. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Media Prima Untung Bersih RM18.1 Juta Untuk Suku Tahun Keempat 2020

Media Prima Kembali Catat Untung Dengan Rekod RM12.43 Juta Bagi Q3 2020

ntv7 Masih Terus Beroperasi Dan Tidak Ada Perubahan Pemilikan, Kata Media Prima