Media Prima Bhd (Media Prima) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM23.4 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9MFY21), memperbaiki kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM36.2 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya (9MFY20).

Pendapatan kumpulan meningkat sebanyak lapan peratus kepada RM804.3 juta pada 9MFY21 berbanding RM743.5 juta pada 9MFY20, didorong oleh pendapatan pengiklanan yang lebih kukuh oleh Media Prima Omnia, iaitu bahagian jualan kumpulan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Segmen penyiaran Media Prima mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi berjumlah RM41.0 juta pada 9MFY21 berbanding RM17.1 juta pada 9MFY20 disebabkan peningkatan pendapatan sebanyak RM326.0 juta, yang juga adalah lonjakan 32 peratus berbanding tempoh dalam perbandingan.

Pendapatan daripada jualan kandungan kreatif turut meningkat kepada RM29.1 juta pada 9MFY21 daripada RM8.7 juta pada 9MFY20, hasil daripada kolaborasi kumpulan dengan platform penstriman popular.

Pendapatan daripada bahagian digital kumpulan, REV Media Group (REV Media) meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM66.6 juta pada 9MFY21 berbanding pada 9MFY20, didorong oleh peningkatan pendapatan pengiklanan sebanyak 11 peratus.

Perniagaan penerbitan kumpulan, yang diwakili oleh The New Straits Times Press (NSTP), mencatatkan keuntungan RM532,000 pada 9MFY21 berbanding kerugian RM26.9 juta pada 9MFY20.

Pendapatan NSTP menurun lapan peratus pada 9MFY21 terutamanya disebabkan oleh jualan akhbar yang lebih rendah, namun disokong oleh pertumbuhan pendapatan daripada unit percetakan dan pengedaran akhbar sebanyak 49 peratus kepada RM14.4 juta pada 9MFY21 berbanding 9MFY20.

Bagi segmen perdagangan kumpulan, pendapatan WOWSHOP pada 9MFY21 kekal stabil, biarpun menurun sedikit kepada RM217.0 juta berbanding RM230.9 juta pada 9MFY20.

WOWSHOP akan terus bekerja rapat dengan Omnia untuk menyediakan pakej yang merangkumi gabungan ruang masa siaran komersial dan perdagangan untuk pelanggan.

Media Prima juga mengumumkan keputusan untuk tiga bulan berakhir 30 September 2021 (3QFY21), mencatatkan keuntungan suku tahunan yang kelima berturut-turut sejak 3QFY20.

Kumpulan mencatatkan PAT sebanyak RM6.6 juta pada 3QFY21 daripada PAT sebanyak RM11.8 juta dalam tempoh perbandingan.

Pendapatan kumpulan menurun sebanyak empat peratus kepada RM257.3 juta pada 3QFY21 berbanding RM268.8 juta pada 3QFY20.

Biarpun berhadapan cabaran bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, kumpulan terus mengekalkan kedudukannya pada suku tahunan.

Jualan kandungan kreatif kumpulan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM8.3 juta pada 3QFY21 berbanding 3QFY20, didorong oleh strategi pengedaran kandungan kreatif Media Prima dengan platform penstriman popular.

Pendapatan pengiklanan untuk 3QFY21 menguncup sedikit, iaitu kurang daripada satu peratus berbanding 3QFY20.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata Media Prima telah melalui perjalanan yang jauh untuk mencatat keuntungan suku tahunan kelima berturut-turut sejak 3QFY20, dipacu oleh pertumbuhan stabil dalam pendapatan pengiklanan.

Beliau berkata, trajektori pendapatan pengiklanan memberi keyakinan bahawa kumpulan telah membuat keputusan yang betul dengan penubuhan Omnia yang telah menyepadukan platform dan jenama popular kumpulan sebagai sebahagian daripada penyelesaian media untuk pengiklan.

“Kami kekal yakin dengan prestasi kumpulan memandangkan perbelanjaan pengiklanan yang meningkat semula. Dengan situasi COVID-19 yang semakin stabil di Malaysia, yang mana lebih banyak negeri yang sedang memasuki Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara, kami berupaya memberi yang terbaik untuk pelanggan dan penonton kami.

“Masih banyak yang akan kami laksanakan untuk mengekalkan momentum ini dan kami akan terus berusaha dengan lebih gigih sambil memastikan kecekapan operasi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, Kumpulan menamatkan suku ketiga dengan sekali lagi merekodkan keputusan kukuh walaupun berhadapan dengan tekanan pasaran yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

“Perolehan daripada pengiklanan, cetakan dan pengedaran akhbar serta jualan kandungan kreatif terus berkembang manakala perolehan segmen perdagangan kekal stabil walaupun persaingan global semakin meningkat.

“Kami juga gembira melihat tanda-tanda pemulihan di seluruh perniagaan Kumpulan, seperti NSTP yang mencatatkan keuntungan dua suku tahunan berturut-turut,” katanya.

Menurutnya, Media Prima adalah Kumpulan media terkemuka berdasarkan jumlah audiens yang menggunakan peranti mudah alih dan kami juga berada di kedudukan ketiga di Malaysia berdasarkan jumlah capaian audiens digital.

“TV3 kekal sebagai saluran televisyen terkemuka Malaysia dan antara 10 saluran yang teratas di platform YouTube dari segi jumlah pelanggan dan tontonan video di Malaysia.

“Dalam pengedaran kandungan kreatif, rancangan terbitan kami adalah antara yang paling banyak ditonton di platform-platform penstriman di Malaysia.

“Sekiranya semua berjalan lancar, kami yakin bahawa Kumpulan akan meraih hasil pada skala yang lebih besar tahun depan berdasarkan inisiatif-inisiatif yang telah kami laksanakan,” katanya.

Sebelum ini, Media Prima turut mencatat keuntungan bersih pada suku pertama 2021. Baca lagi pada pautan di bawah.

Media Prima Bhd Catat Keuntungan Bersih Sebanyak RM4.2 Juta Pada Suku Pertama 2021

Klip ‘Jatuh Bot’ Jadi Parodi Mat Salleh, Wartawan TV3 Kongsi Kisah Abang Aziz Kepada Netizen

Sumber