Mee segera mempunyai konotasi negatif, seperti menghakis perut, penyebab kanser dan lain-lain.

Meskipun begitu, masih ramai orang menikmati mee segera disebabkan ianya sedap dan mudah dibuat. Untuk mereka yang mengejar masa, mee berbentuk buku ini adalah penyelesaian yang mengenyangkan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tahukah anda di sebalik pelbagai mee segera yang wujud sekarang, ianya bermula atas satu sebab ringkas – untuk mengatasi masalah kebuluran?

Mari kita ikuti kisahnya.

Momofuku Ando

Momofuku Ando ketika muda. Celeb Family

Pada 15 Ogos 1945, sehari selepas Jepun menyerah diri kepada Tentera Bersekutu, Momofuku Ando menyaksikan kesan peperangan terhadap daerah tempat tinggal beliau, Osaka.

Beliau kehilangan pekerjaan, dan dari jauh melihat tinggalan pejabat dan kilang yang beliau dirikan sendiri akibat letupan bom.

Ketika ini, beliau menyaksikan begitu ramai orang kelaparan dan mencari makanan.

Subsidi tepung

Roti. Slate

Krisis makanan melanda seluruh Jepun. Amerika Syarikat datang membantu dengan mengeksport tepung ke negara matahari terbit ini, dan menggalakkan rakyat Jepun mengadunnya menjadi roti.

Momofuku Ando pelik dengan situasi ini, kerana pada fikirannya, bukankah lebih baik tepung ini dijadikan mee atau ramen sebagai makanan bantuan seluruh negara?

Melalui matanya sendiri, di sebalik runtuhan bangunan, beliau melihat ramai warga Jepun bersesak-sesak beratur untuk mendapatkan semangkuk mee. Ini menguatkan lagi azam beliau untuk menyelesaikan masalah kelaparan melalui mee.

Malangnya, terdapat satu kelemahan. Berbanding roti, mee pada ketika itu adalah lebih mudah rosak.

Eksperimen bermula

Mee di dalam minyak tempura panas. Great Big Story.

Selepas perang dunia kedua, Momofuku Ando dilantik sebagai presiden sebuah bank. Pada tahun 1957, bank tersebut gagal.

Ando kehilangan kerjanya, dan beliau sekali lagi meneruskan cita-cita untuk menyelesaikan masalah kebuluran.

Satu demi satu kajian beliau gagal, selama bertahun-tahun lamanya.

Ternyata cita-cita beliau untuk menghasilkan makanan dalam skala yang besar, dengan tekstur dan rasa yang betul, mudah disediakan dan tahan lama bukanlah satu tugas mudah.

Pada satu malam, ketika isterinya memanaskan minyak tempura panas, Momofuku Ando bertemu jawapannya.

Ando sengaja memasukkan beberapa helai mee ke dalam minyak tersebut, dan beliau melihat ini bukan sahaja menyebabkan mee tersebut terdehidrat tetapi juga mengakibatkan perforasi berlaku.

Lubang-lubang kecil akibat peforasi membuat mee tersebut boleh dimasak semula dengan segera.

Eureka!

Mee segera ke seluruh dunia

Mee Segera Nissin

Daripada peristiwa ini, bermulalah sejarah mee segera!

Sejurus selepas memasuki pasaran, mee segera Momofuku Ando menemui kejayaan besar, lebih-lebih lagi ketika mee segera berbungkus diperkenalkan pada tahun 1950-an.

Satu demi satu syarikat lain memperkenalkan mee segera jenama sendiri, Momofuku Ando pula telah memulakan kempen memperkenalkan makanan Jepun ini ke Amerika Syarikat.

“Biarkan mereka makan menggunakan garfu!” kata Momofuku Ando setelah resah melihat rakyat Amerika tidak pandai menggunakan chopstick.

Pada tahun 1978, mee cawan diperkenalkan.

Akhirnya mee segera Momofuku Ando berjaya memenangi hati rakyat Amerika dan rakyat negara-negara lain. Pelajar-pelajar kolej tidak kira di mana sahaja memang gemarkan mee yang mudah dimasak senang dimakan ini.

Sehingga sekarang, Nissin, syarikat beliau, menjual sebanyak 40 bilion unit setiap tahun. Momofuku Ando pula diangkat menjadi ikon kulinari rakyat Jepun.

Daripada satu niat yang tulus suci, siapa sangka Momofuku Ando bukan sahaja berjaya menyelesaikan masalah krisis makanan, tetapi juga berjaya memperkenalkan budaya Jepun ke seluruh dunia.

Sesiapa yang teringin mencuba Mee Samyang halal boleh dapatkannya di sini.