Kecoh baru-baru ini apabila sebuah kafe membuat ‘kelainan’ apabila membina pagar di luar kedai di mana beliau mendakwa pembinaan tersebut dibuat atas faktor keselamatan serta mengelakkan daripada motosikal parkir pada tempat tersebut.

Pembinaan pagar yang menyusahkan pejalan kaki serta dilarang ini sekaligus telah menimbul pelbagai persoalan dan respon di kalangan netizen yang mempertikai tindakan yang dibuat.

Isu ini menjadi lebih panas apabila pemilik kafe ini tampil membuat kontroversi di media sosial selepas didakwa terdapat pihak lain yang menularkan kafe beliau.

Terbaharu, isu yang tular telah mendapat perhatian Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di mana pihak MBPG tampil membuka struktur binaan kekal (pagar) di kawasan kaki lima premis perniagaan.

Difahamkan langkah pembukaan pagar ini dibuat berikutan ketiadaan permit atau kebenaran daripada pihak MPBG selepas mengeluarkan dua kali notis lawatan sebelum tindakan penguatkuasaan tersebut diambil kepada pemilik premis yang terlibat.

Hasil pemantauan dan pemeriksaan susulan yang diadakan mendapati bahawa pemilik premis tersebut masih gagal mematuhi notis lawatan yang telah dikeluarkan.

Bukan itu sahaja, kafe yang membina pagar tersebut sekali lagi mendapat perhatian netizen selepas tampil dengan komen yang mengguris golongan OKU.

“Kalau kau datang sini ramai sahaja nak tolong dukung kau” ulas kafe ini.

Sebelum diambil tindakan oleh pihak MBPG, kafe ini turut mendakwa sudah membayar kepada pihak MBPG untuk bahagian hadapan kedai. Tindakan membuang struktur binaan pagar pada kedai ini sekaligus mengesahkan kafe ini gagal mendapat pengesahan dan permit yang sah daripada pihak MBPG.