Tatu  secara mudahnya adalah satu taboo bagi masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Usahkan mencacah jarum berdakwat warna warni itu ke tubuh, malah bercakap tentangnya saja bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara terbuka. 

Bayangkanlah pandangan yang diterima jika anda adalah seorang Melayu Islam yang mempunyai tatu dan lukisan di badan. Sudah pasti cabaran dan persepsi yang diterima bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi dalam kehidupan sehari-harian. 

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tidak mahu perkara tersebut terus tenggelam dek persepsi masyarakat Melayu yang sering memandang tatu sebagai sesuatu yang negatif serta tergolong dalam perkara yang akan memisahkan mereka yang bertatu ini dengan masyarakat, kami memutuskan untuk menemu bual beberapa individu terpilih ini. 

Perjalanan kami kali ini bukanlah mahu mengatakan yang ia adalah ‘okay’ untuk mencacah tatu ke tubuh tetapi lebih kepada mahu mengetahui dan menyelami dengan lebih dekat golongan Melayu Islam yang bertatu ini.

Sebenarnya, mereka ini juga sedar tatu adalah sesuatu yang haram dari sudut pandang agama. Tetapi mereka juga tidak pernah bercerita kepada masyarakat apa yang terbuku di dalam hati mereka.

DSCF4061
Aween Adli

Bagi kami ia adalah sesuatu yang tidak adil bila masyarakat umum di luar sana membicarakan perihal badan mereka dan mereka pula tidak mempunyai peluang serta ruang untuk berbicara tentangya.

Untuk menyelami dengan lebih mendalam cabaran yang dihadapi dan persepsi masyarakat terhadap golongan Melayu Islam yang bertatu ini, kami telah menemu bual dua individu, Aween dan Ezzart – dua individu Melayu Islam yang bertatu dan tinggal di sebuah negara yang mana agama rasminya adalah Islam dan terkenal dengan sifat ketimuran yang tinggi.

Individu pertama adalah seorang penerbit filem tempatan yang dikenali dengan nama Aween Adli atau lebih senang disapa sebagai Aween. Manakala temu bual kedua juga merupakan orang seni- dikenali sebagai Ezzart dan merupakan pemuzik kumpulan indie, Couple.

Mungkin ramai yang menganggap bila seseorang itu mempunyai tatu, mereka ini akan menghadapi detik-detik sukar untuk berhadapan dengan orang sekeliling terutamanya kawan-kawan dan ahli keluarga dek kerana perbuatan mereka yang dianggap melanggar hukum  agama.

DSCF4155
Ezzart

Buat Aween, perkara itu bukanlah langsung tidak pernah berlaku kepadanya. Tetapi dia tidak menerima pandangan yang terlalu negatif daripada masyarakat dan keluarganya. Malah, ada ketikanya Aween akan mengiyakan saja pertanyaan ‘mak cik dan pak cik’ yang bertanyakan sama ada dia berasal dari Sabah dan Sarawak ; sedangkan beliau sebenarnya berasal dari Kg Pandan Kuala Lumpur sahaja.

Seperti yang diketahui umum, tatu sangat sinonim dengan kebudayaan masyarakat di sana dan ia bukanlah sesuatu yang janggal jika kita melihat pemuda-pemudi di sana bertatu kerana amalan itu sudah sebati dengan masyarakat mereka. 

Malah ketika pertama kali mencacah tatu di badan, beliau sudah memaklumkan tentang perkara itu kepada keluarganya. Bapanya tidak pula mengamuk dan memarahinya kerana telah melakukan apa yang dianggap sebagai salah satu ‘dosa besar’ oleh sebahagian besar masyarakat Melayu.

Ketika itu, bapanya hanya bertanya sama ada dia menyedari atau tidak perkara yang dilakukannya itu adalah salah di sisi agama dan mengingatkan kembali dia pernah berpesan kepada Aween tentang hukum-hakam agama sebelum ini. 

“Bapak aku dari kecik dia pesan pada aku ; Ween (Aween) kalau kau nak buat apa-apa kau bagitahu aku, aku tak mahu orang lain bagitahu aku.

13662353_10210155712592123_7664444850725405875_o
Aween bikin filem

“Biar aku tahu dulu daripada orang lain tahu,” jelas Aween kepada kami. 

“Dalam dunia ini, bila aku dah lepas dengan mak bapak aku, orang lain pergi mati. Aku tak peduli apa orang akan cakap.” katanya. 

Cabaran Untuk Berkahwin Bila Bertatu

Tetapi cabaran paling besar buat dirinya mula timbul ketika dia mahu mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hatinya- seorang wanita Melayu dari Taiping, Perak.

“Aku kenal dia tak lama. Kali ketiga aku jumpa dia, aku dah ajak kahwin. 

“Dia terkejut, jadi dia cakap kalau betul nak kahwin dengan dia, pergi jumpa mak ayah dia di Taiping. Aku setuju, aku pergi taiping jumpa keluarga dia,” kata Aween.

Family_
Aween dan keluarga

Tekad untuk mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya itu, Aween kemudiannya memutuskan untuk berjumpa dengan keluarga teman wanitanya itu di Perak ketika sambutan Hari Raya Aidil Adha. 

“Aku duduk di ruang tamu, selepas itu aku terus buka baju. Aku cakap (dekat semua) ini aku, nama aku sekian-sekian, asal aku sekian-sekian, selepas itu aku cakap aku nak kahwin dengan anak pak cik,” tetapi jujur dalam hatinya, dia sudah berserah jika bukan itu jodohnya.

“Bapak mertua aku tanya, aku gangster ke kat Kuala Lumpur. Aku cakap dengan dia, ini bukan gangster. Kalau gangster design tatu ini lain.

“Aku tambah lagi, kalau tak boleh (kahwin dengan anak dia) saya faham. Kalau boleh, saya betul-betul nak dengan anak pakcik,” kata Aween.

Tetapi kalau sudah jodoh dan ketentuan Tuhan telah tetapkan, ia akan jadi milik kita. Begitulah Aween, dia berkahwin dengan isterinya dan mereka sekarang mempunyai dua cahaya mata perempuan.

Screenshot 2020-03-14 at 2.39.14 AM
Aween dan anaknya

Mengenang kembali mengenai peristiwa itu, Aween berkata semua itu berlaku di atas kehendak dan kekuasaan Yang Maha Esa yang memudahkan urusannya untuk mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya itu.

“Keluarga mertua aku powerlah. Aku rasa ini Tuhan punya kerja paling power dan (sebab itu)  aku tak boleh kecewakan aku punya isteri,” jelasnya.

Berbicara lanjut mengenai kekuasaan tuhan yang memudahkan urusan perkahwinannya – walaupun dengan keadaan beliau yang bertatu, Aween berkata dia sendiri belum pasti akan dapat menerima jika ada lelaki bertatu yang berhajat untuk bersama dengan puteri-puterinya.

“Sebab bila fikir balik ikut logik kalau aku yang ada tatu ni,  kalau anak aku bawa balik teman lelaki ada tatu, belum tentu aku nak terima,” keluhnya. 

Enam Tatu Dalam Masa Lapan Tahun

Mengingat kembali kisahnya ketika mula-mula mendapatkan tatu, Aween memberitahu perkara itu dilakukan tanpa sebarang perancangan pada awalnya.

DSCF4072
Antara tatu yang ada di tubuh badan Aween

Dia yang kini mempunyai enam tatu di tubuhnya mendedahkan dia membuat tatu pertamanya ketika berada di kota Bangkok, Thailand kira-kira lapan tahun lalu.

“Masa tu aku pergi Bangkok, malas nak pusing. Kemudian aku nampak kedai tatu.

“Tengok harga mampu milik, aku terus buat. Tak pernah terfikir,” kongsinya.

Daripada apa yang bermula sebagai minat dengan hanya menonton rancangan televisyen yang memaparkan pembuatan tatu, Aween kini sudah pun mempunyai sejumlah lapan lukisan tatu di tubuhnya.

Tatu pertama yang dibuatnya adalah bermotifkan guidance star atau bintang pembimbing ketika berada di Bangkok. Kemudiannya ketika berada di Sepanyol, Aween mencuba pula untuk menambahkan ‘seri’ tatu pertamanya itu dengan mencacah nama arwah ibunya ‘Maharani’ di atas bintang tersebut.

DSCF4090
Maharani – nama arwah ibu Aween.

Mengakui proses mendapatkan tatu boleh membuatkan seseorang itu ketagih, Aween kemudiannya mendapatkan satu lagi tatu dengan nama emaknya di bahagian belakang badannya.

Dek kerana kesedapan jarum menikam kulitnya itu juga, Aween makin berani untuk mencuba sesuatu yang baharu dengan mencacah tatu dengan teknik tradisional Sarawak, tatu yang dilukis menggunakan buluh.

“Aku lagi suka borneo look. Itu adalah Asian punya identiti. Bukan nak jadi Mexico ke apa,” ceritanya dengan teruja.

Bagaimanapun, daripada kesemua tatu yang dimilikinya, pengalaman mendapatkan tatu terakhir di Langkawi adalah antara kenangan yang tidak dapat dilupakannya.

“Asalnya yang ni Lillahi memang tiada (perancangan) apa. Nak keluar beli makanan. Terlalu pula depan kedai tatu. 

DSCF4059

“Aku lalu, singgah dan terus buat. Balik bilik member tanya makanan mana? Eh duit makan aku dah terpakai buat ni. Dia buat satu aku buat satu (sambil menunjukkan kepada kawannya yang turut serta dalam sesi temu bual). Settle duit makan!” kongsinya kepada kami.

Sudut Pandang Ezzart

Berbeza dengan Ezzart, bassist kumpulan couple ini mempunyai pandangan berbeza mengapa beliau berminat untuk mencacah tubuhnya. Semuanya bermula dengan memahami apa yang mahu dilakukan.

Dia yang berasal dari Terengganu ini telah dibesarkan dalam satu ruang yang berbeza semasa di Kerteh, Kemaman. Kebanyakan daripada kawan-kawannya telah menelaah dan memahami wujud dunia lagi mencabar selain Kerteh.

Bagi Ezzart, pendedahan budaya sudah mula tersebar ketika beliau di zaman sekolah lagi. Dikelilingi oleh rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama telah sedikit sebanyak membuka mata beliau.

“Benda yang paling exposed aku dalam tatu adalah hardcore punk punya bendalah,” kata beliau.

DSCF4208
Ezzart dan tumbuh-tumbuhan

Di sekolah, komuniti yang beliau tinggal dikelilingi oleh keluarga yang bekerja sebagai jurutera. Disebabkan komuniti di sana kecil dan datang dari pelbagai latar belakang. Ia sedikit sebanyak memudahkan Ezzart untuk memahami wujud perbezaan diluar sana.

Beliau menyambung ; “Itu early 90s, sebab aku punya sekolah campur tau. Sekolah ada mat salleh, ada Chinese, ada Indian. Ada Surrendran, ada Lim Kit Siang, so it’s a bit different la for us,” katanya.

Tambah Ezzart lagi perkembangan budaya itu juga wujud di dalam keluarganya. Beliau ceritakan kepada kami bahawa salah seorang daripada pak ciknya adalah pendengar setia Enigma, sebuah kumpulan dari Jerman yang popular pada tahun 90-an.

“Bila aku tahu pak cik aku layan Enigma. Aku cari pasal Enigma. Aku belajar dan aku dedahkan diri aku dengan benda ini pula.

“Rasa ingin tahu itu wujud apabila kita didedahkan dengan sesuatu perkara yang berbeza, yang tidak diajar di sekolah,” tambah Ezzart.

DSCF4271
Ezzart bikin kopi

Dari situlah perkembangan budaya berlangsung. Beliau berkembang daripada seorang anak kecil yang melakukan semua benda – skate, muzik, art, surf, kopi – kepada seseorang yang berbeza sekarang – pemain muzik, barista dan pencinta tumbuh-tumbuhan.

Jadi penting buat Ezzart untuk memahami apa yang dia mahu lakukan. Ezzart sedar bahawa sesuatu perkara itu akan memberi kesan kepada beliau – sebagai ahli muzik dan Melayu Islam.

“Aku nak buat apa pun, aku akan plan. Aku akan kaji, aku akan tengok consequence dari apa yang aku nak buat. So bagi aku untuk buat tatu atau apa-apa, kau kena tahu apa kesannya.

“Tatu ni pengaruh dia lebih kurang kau terpengaruh dengan muzik punk la. So dekat situ benda tu dah influence kau. Tapi it’s more like an ideology,” katanya.

Perkara ini turut diakui oleh kajian daripada Universiti Sains Islam Malaysia yang bertajuk A Pilot Study on Tattooing Culture in Peninsular Malaysia di mana hasil akhir kajian menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia mempunyai kepelbagaian pengaruh dalam budaya tatu.

DSCF4186

Penulis menyatakan muzik juga antara pengaruh kepada seseorang itu untuk bertatu. Secara besarnya kajian ini menyatakan bahawa simbolisme, perhatian dan ‘gian’ dengan rasa sakit antara motivasi besar di sebalik keinginan untuk bertatu.

Kenapa tatu?

Ada yang menyatakan bahawa tatu ini adalah seni. Alasan mereka adalah lukisan ini tidak dilukis di atas kertas atau kanvas, tetapi di kulit. Bagi Ezzart, seni ini tidak hanya tertakluk kepada satu benda sahaja.

“Lukisan ini bukan terhad pada mana-mana medium atau permukaan sahaja. Ia boleh jadi lebih.” Katanya.

Setiap tatu ini mempunyai makna yang tersirat. Tambah Ezzart, setiap lukisan di badan kalau tidak mempunyai maksud sekali pun, mesti ada cerita di sebalik kisahnya.

Beliau pernah membantu beberapa artis tatu untuk belajar mencacah tatu dengan reka bentuk yang lebih mencabar. Mereka kebanyakannya memerlukan badan untuk berlatih kemahiran mereka. Jadi Ezzart selalu menadah badannya untuk dijadikan tempat artis muda ini menajamkan kemahiran mereka.

DSCF4169

“Tatu artis bosan juga, kau buka buku, ada kala jengking, butterfly, macam what the f*** kan, takkan dia nak buat benda ni je sepanjang hidup. Diorang pun nak try out something new, nak expand creativity

“Aku rasa aku punya (quarterback) aku bayar murah untuk dia practice.” Kata Ezzart. Tambah dia lagi bahawa ada beberapa orang yang membuat tatu untuk perjuangan.

Ini mungkin jalan untuk memberi suara kepada apa yang mereka perjuangkan. Atau untuk mengingatkan mereka bahawa satu-satunya perkara yang menjadikan mereka sekarang, adalah pilihan yang mereka buat, kata Ezzart.

Namun bagi Ezzart, nikmat paling abadi sekali adalah ketika mana beliau hadir ke tempat melukis tatu, di sana, semua orang melayan beliau dengan baik. Mereka sendiri akan meminta pendapat beliau sebagai tuan punya badan – bagaimana nanti hasil terakhir yang dia idamkan.

Bagi beliau sikap profesional dari tatu artis ini sedikit sebanyak telah membantu mereka untuk survive dalam industri ini.

DSCF4180

“Contoh macam Simon David, Russell Blond, Lina David atau Erin. Di orang semua jenis terbuka. Jenis plan punya orang. Jarang la orang successful tak ada sistem.”

Tatu – simbol pemberontakan?

Sesetengah pihak menyatakan bahawa tatu ini adalah simbol pemberontakan yang datang daripada pelbagai sudut. Ada orang menunjukkan pemberontakan melalui muzik, manakala yang lain melalui tulisan. 

Namun bagi Ezzart, memberontak juga perlu berpada-pada, “Memberontak kena tengok tempat la. Sebab tatu ini unsur dia kekal. Kena fikir dari setiap sudut.” Kata Ezzart.

Kata Ezzart lagi kadang-kadang dia juga mahu memberontak disebabkan selalu sangat ada mulut jahat di sekeliling yang mahu menghukum. Antara kata-kata yang sering dilemparkan kepada beliau adalah pertanyaan mengenai bangsa dan agama beliau.

Beliau juga pernah bertemu dengan beberapa kelompok yang akan memandang dia dari atas sampai ke bawah.

DSCF4157

Namun jelas Ezzart di sebalik semua pemberontakan perlu ada adab. Dia tidak akan melenting kerana dia memahami budaya Malaysia. Tambah lagi dia faham situasi ini akan berlaku dari hari pertama dia mencacah tatu.

Ezzart sendiri akui dia seorang pendiam. Dia tidak banyak bercakap. Dia fokus pada kopi dan tumbuhan. Dia tengah bina taman di belakang The Basikal. Jadi, dia tidak rasa sebab perlu memberontak.

“Aku suka diam je.” Kata Ezzart.

“Aku tak suka post dekat Instagram ke, tulis tulis ke, type panjang panjang ke dekat Facebook. Kalau aku nak kutuk atau cerita ke, aku lepak dekat luar. Lepak dengan kawan.”

DSCF4113

Terakhir kata Ezzart, tatu ini juga kadang-kadang buat dia faham bahawa tak semua orang boleh terima apa yang mereka tidak mahu terima. Dia tak boleh halang atau paksa mereka untuk faham. Tapi apa yang dia boleh buat adalah diam dan tidak respon.

Aween dan Ezzart – Kesimpulan

Setiap yang berfikir sedar dengan apa yang mereka lakukan. Kedua-duanya mempunyai kefahaman yang tinggi dengan apa yang mereka lakukan. Disebabkan itu, mereka berdua sangat bersyukur jika ada yang menerima. 

Seperti cerita Aween dan keluarga mertua, manakala Ezzart dan teman-teman. Semua itu bagi mereka berlaku di atas ketentuan Dia.

Mereka faham apabila masuk bab agama ia akan jadi satu soal yang berat. Namun melihat keajaiban yang berlaku, buat mereka lebih bersyukur. Tambah mereka lagi, tiada langsung rasa terpinggir atau diskriminasi apabila mereka bertatu. 

DSCF4064

Untuk rekod, YouGov Omnibus pernah mengeluarkan satu kajian bagi melihat sikap terbuka rakyat Malaysia dalam menerima pekerja mereka yang bertatu. Daripada 1,022 responden, lebih separuh daripada mereka tidak boleh menerimanya.

Diskriminasi ini tidak terhad kepada Melayu dan Islam. Tetapi kepada bangsa lain juga di Malaysia. 

Melihat situasi Aween dan Ezzart, kami percaya bahawa suatu hari nanti Malaysia lebih terbuka dan tidak mendiskriminasi kumpulan ini. Boleh jadi lambat atau cepat tetapi perjalanan itu sudah ada. 

Buktinya adalah semasa kekecohan berlaku semasa Expo Tatu Malaysia berlangsung, beberapa kelompok rakyat Malaysia tampil mempertahankan acara ini dengan menyatakan bahawa telah wujud lama kelompok tatu di Malaysia dan isu itu dibangkitkan tidak lebih sebagai provokasi politik sahaja.

Bagi kami, dua sosok ini melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandang yang berbeza. Tetapi tidak bermaksud mereka tidak menerima apa yang orang lain terima. Bagi mereka, perbezaan pendapat tidak menentukan siapa menang dan siapa tewas. Namun perbezaan pendapatlah yang membuatkan sifat kebencian wujud.

DSCF4310

Tatu hanyalah satu simbol keinginan yang wujud dalam diri manusia. Ia adalah norma yang sudah sebati dalam diri kita sebagai manusia. Keinginan ini juga wujud dalam pelbagai bentuk dan medium. Disebabkan itu wujud perbezaan antara kita dan melalui penerimaan sahaja yang mampu membuatkan kita aman dari membeza-bezakan.

Perkongsian ini hanyalah untuk berkongsi pandangan golongan kecil melayu yang bertatu. Kami tahu tatu salah di sisi Islam dan tidak menggalakan orang beragama islam untuk bertatu. Untuk bacaan lanjut laporan lain, klik pautan di bawah.

Bagaimana Perbalahan Antara Muslim Dan Hindu Boleh Tercetus Di India Ketika Ini?

Filem Skandal Kewangan Terbesar Dunia, 1MDB Bakal Ditayangkan Di Bangkok

Tunku Abdul Rahman Adalah ‘Dalang’ Di Sebalik Konspirasi Penculikan Sultan Abdul Hamid