Mengapa saya selalu bercerita berkenaan rasuah dan salahguna kuasa?

Kerana orang Melayu tidak dapat mengaitkan tadbirurus dengan tradisi Islam.

Sebab itu ramai yang mendesak hukuman dikenakan kepada pencuri sedangkan di zaman sekarang, kesan mencuri adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan kesan buruk jenayah rasuah dan salahguna kuasa yang kerugiannya boleh sampai jutaan atau bilionan.

Jenayah rasuah dan salahguna kuasa menyebabkan, antaranya:

Kezaliman, di mana pihak yang tidak layak mendapat peluang ekonomi dan perniagaan berbanding dengan pihak lain yang lebih layak;

Kos projek menjadi lebih tinggi dari sepatutnya, menafikan dana yang sepatutnya digunakan kepada rakyat lain yang juga berhak kepada dana tersebut;

Nik Hasyudeen, seorang akauntan bertauliah adalah penulis artikel ini.
Nik Hasyudeen, akauntan bertauliah, penulis artikel ini.

Negara atau organisasi dinafikan nilai sebenar harta yang dijual kepada pihak ketiga dengan harga murah dari harga pasaran supaya pihak menjual mendapat imbuhan secara peribadi;

Cukai yang tinggi terpaksa dikenakan bagi menampung pertambahan kos dan kehilangan hasil. Ini membebankan semua orang termasuk orang miskin dan yang tidak berada; dan

Alam sekitar menjadi punah bila dikerjakan oleh penyanggak yang telah merasuah pihak yang sepatutnya menjadi penjaga.

Mengapa orang-orang agama kita jarang bercerita berkenaan rasuah dan salahguna kuasa?

Kerana tidak ramai dari mereka yang mendapat peluang untuk mentadbir.

Kebanyakannya hanya berceramah berdasarkan rujukan masa lalu, tidak ramai yang pernah menghadapi cabaran melaksanakan apa yang mereka ceramahkan.

Jika ada yang mendapat peluang pun, berapa banyak institusi yang mereka pimpin boleh dijadikan contoh sebagai institusi yang mempunyai tadbirurus yang mantap?

Bagi mereka yang berpolitik, parti politik mereka memerlukan dana. Tadbirurus yang kukuh akan menyebabkan kesusahan untuk mendapat dana politik.

Memang malang bagi satu-satu masyarakat yang tidak peduli dengan integriti dan berserah kepada manusia hanya kerana universiti atau institusi yang dia belajar.

Ramai orang yang belajar perakaunan tetapi bukan semua mereka akauntan professional.

Ramai yang belajar kejuruteraan tetapi bukan semua yang diiktiraf sebagai jurutera professional.

Jadi, adakah semua orang yang mempunyai ijazah agama mempunyai keupayaan untuk mengamalkan ilmunya di dalam masyarakat?

Seperti yang selalu dikatakan oleh orang putih, “One must walk the talk”.